“Yang itu mesti husband and wife,” saya mengusik Ummu Saif.
“Mana abang tahu?” isteri saya berhenti menjamah sup cendawan
tengah hari itu. Melihat ke arah pasangan di sudut restoran.
“Seorang baca surat khabar, seorang baca majalah. Apa
faedahnya keluar bersama jika hanya mahu membaca bersama, kecuali semata-mata
kerana mereka masih suami isteri?” saya cuba berteori.
Kami bukanlah sengaja mahu menyibuk tentang urusan orang
lain. Tetapi melihat pasangan suami isteri yang sepi, sunyi, tiada suara dan
tiada bicara, amat menghiris rasa.
Malah mengheret ingatan kepada beberapa ketika dalam
rumahtangga kami sendiri tatkala sindrom sepi dan diam ini melanda. Melakukan muhasabah
ke atas diri sendiri, berkongsi kisah dengan kenalan dan membaca coretan di
sana sini tentang tabiat para suami mendiamkan diri, atau lebih tepat,
membatukan diri… membawa saya kepada beberapa titik renungan untuk difikirkan
bersama.
“Abang, Ani tanya abang ni. Kenapa abang selalu balik
lambat?” tanya seorang isteri kepada si suami.
Sepi.
Tangannya ligat mencabut tali leher, peluh di dahi
dikeringkan sahaja dengan satu kesatan di lengan. Namun mulutnya terus
terkunci. Tidak bersuara.
“Abang dengar ke Ani tanya ni?” tanya si isteri lagi.
“Kalau Ani ada buat salah, cakaplah bang. Macam mana Ani nak
tahu apa masalah abang, kalau abang diam macam ini?” beliau semakin hilang
sabar dengar kerenah si suami.
Lelaki yang dahulunya romantik, menghantar 30 sms sehari di
era bulan madu mereka, dan sering mengucapkan perkataan sayang, kini membatu.
Sepi. Tidak bersuara, tidak berbunyi.
Namun, seorang suami yang mendiamkan diri itu hakikatnya
bukanlah tidak bercakap. Telinganya jauh sekali daripada pekak dan tidak
mendengar soalan bertubi-tubi yang diajukan si isteri. Setiap soalan itu
dijawab oleh sang suami dengan panjang lagi berjela. Namun semuanya dijawab
tanpa suara. Hanya sebuah monolog di dalam hati. Apa yang terlontar hanyalah
sebuah kesepian yang membunuh perasaan isteri.
Diam itu emas…
Tetapi emas yang ini tiada indahnya, malah beracun
memusnahkan rumahtangga.
Saya juga seorang suami. Ada masanya mendiamkan diri itu
sangat memberikan keselesaan. Bukan sahaja untuk diri, malah dirasakan diam itu
adalah pilihan terbaik untuk reaksi kepada keadaan-keadaan tertentu. Tetapi
saya cepat disedarkan oleh isteri bahawa diam itu menyulitkan penyelesaian. Ia
misteri yang membinasakan.
Kali ini, dengan jiwa empati saya mengajak para isteri untuk
meneliti rentetan-rentetan peristiwa yang menjadi punca para suami hilang
bicara. Para isteri boleh bersikap defensif dan menafikan faktor-faktor ini,
tetapi keengganan memprosesnyai, hanya akan menambahkan sakit hati mereka
sebagai isteri, melihat suami terus diam sepi seribu bahasa.
AKUMULATIF
Jarang sekali suami tiba-tiba menjadi pendiam.
Bersuamikan seorang lelaki pendiam yang begitu semenjak di
hari menyatakan persetujuan menerimanya sebagai suami, sang isteri tidak harus
buat-buat terkejut. Diamnya mungkin petanda beliau masih lelaki yang sama
seperti di hari pernikahan anda.
Tetapi kebimbangan kita adalah pada suami yang beransur-ansur
menjadi pendiam. Kesan jangka panjang yang bersifat akumulatif. Sikit-sikit lama-lama
jadi bukit, satu-satu lama-lama jadi bisu. Justeru, sebagaimana seorang suami
yang bercakap beransur-ansur menjadi pendiam, maka usaha untuk mengembalikan
percakapannya juga wajar dibuat secara berhemah, bagai menarik rambut di dalam
tepung. Rambut tidak putus dan tepung tidak tumpah bertebaran
KEPERCAYAAN DAN KEYAKINAN
Sebuah perkahwinan, bermula dengan ikatan janji setia yang
terbina di atas beberapa teras. Antara yang utamanya adalah soal KEPERCAYAAN.
Mustahil untuk kita bayangkan sebuah rumahtangga yang dibina tanpa ada rasa
percaya di antara suami dan isteri berkaitan ketelusan, kejujuran dan
keikhlasan masing-masing. Justeru, perbualan romantik dan indah antara suami
dan isteri sentiasa seiringan dengan rasa percaya dan yakin di antara mereka
berdua.
Apabila seorang suami semakin merosot kualiti komunikasinya,
ada kemungkinan ia berpunca daripada merosotnya keyakinan beliau terhadap sang
isteri. Ia bukanlah berkaitan dengan krisis orang ketiga atau hal-hal luaran
yang mencabar rumahtangga tersebut. Sebaliknya, suami semakin terjejas
keyakinannya terhadap kemampuan isteri berdepan dengan realiti.
“Mampu dan tahankah isteriku untuk mengetahui apa sebenarnya
yang terbuku di hati ini?” mungkin soalan sebegini bermain di benak fikiran suami,
tatkala beliau diam membatu di hadapan isteri yang masih menyoal tanpa henti.
Bukan beliau tidak pernah bersuara dan menyatakan pendirian,
tetapi reaksi isteri yang memedihkan ketika itu menyebabkan suami hilang
kepercayaan. Tanda tanya ini sering timbul disebabkan oleh perbuatan isteri
yang berulang kali tanpa sedar, merosakkan kepercayaan suami bahawa dia
benar-benar terbuka dan sabar untuk menguruskan ‘isu sebenar’.
Cuba kenangkan kembali, pernahkah sang suami menegur anda
atas beberapa perkara yang dirasakan tidak kena? Bagaimanakah reaksi anda
ketika itu? Adakah anda menghargai teguran tersebut, memberikan tindak balas
yang baik, atau anda menyambut teguran itu dengan memuncung sepanjang hari,
mengangkat punggung melarikan diri, atau membalas teguran dengan jawapan alasan
yang bertubi-tubi?
Suami yang tidak pelupa itu, berkemungkinan besar masih ingat
akan kejadian-kejadian tersebut. Bahawa biar pun sang isteri meminta-minta
luahan isi sebenar sang suami, hakikatnya si isteri bukanlah kuat benar untuk
mendengar ‘kisah benar’ yang diminta. Justeru sifat ’sabar’ luar biasa kaum
lelaki, ditelannya sahaja pandangan diri yang sering diperlekeh sebelum ini
untuk dibawa ke kubur nanti. Dan kesan sampingannya, si suami semakin mengeras
jadi batu.
“Lebih baik dia tidak tahu apa sebenarnya pandanganku tentang
rumahtangga ini kerana aku boleh hidup dengannya. Sabarku boleh sampai ke mati.
Tetapi aku mungkin tidak mampu lagi sabar andai dirinya membesar-besarkan
masalah ini. Perasaanku tidak penting. Apa yang penting adalah keselamatan
rumahtangga!” hati suami berkata-kata dengan panjang lebar, tanpa suara.
Oleh itu, seorang isteri yang mahu mengubah sifat pendiam
suami perlu berusaha meyakinkan dirinya semula. Bahawa tatkala si isteri
meminta suaminya berkata-kata, ia bukanlah permintaan ‘mengada-ngada’,
sebaliknya si isteri memang bersedia untuk duduk bersemuka dan berbicara.
Kembalikanlah kepercayaan suami dengan beberapa pendekatan berikut:
HAPUSKAN TEKANAN
Mengajak kepada perbincangan dalam suasana yang penuh tekanan
bukanlah tindakan yang bijak. Malah suami mungkin bertindak bijak mendiamkan
diri, tatkala isteri menembak peluru taburnya kepada suami ketika kaki baru
sebelah melangkah masuk ke rumah sekembalinya dari pejabat.
Sabarkan diri. Beri masa kepada suami untuk bertenang. Malah
lebih baik jika anda usahakan appointment dengan memberitahu suami bahawa anda
ingin mengajaknya minum hot chocolate selepas anak-anak tidur, untuk
berbual-bual tentang hal ehwal anda berdua.
Gurau senda juga amat berkesan untuk mencairkan kebekuan
seorang suami. Bilakah kali terakhir anda mempamerkan sense of humor kepada
suami? Atau dialog yang keluar dari mulut anda semuanya bersifat masalah,
permintaan, arahan, tekanan, teguran dan segala macam benda yang serius lagi
menambah tekanan.
Berguraulah dengan suami.
Jika tiada lawak baru, ungkit sahaja lawak-lawak lama yang
pernah menyebabkan anda berdua ketawa terkekek-kekek suatu ketika dahulu. Jarang
seorang lelaki immune terhadap lawak jenaka. Malah mungkin ketiadaan unsur
inilah yang menjadi sebab utama mengapa suami ceria dan ketawa berdekah-dekah
semasa minum petang dengan kawan-kawannya, tetapi sepi tanpa bicara tatkala
duduk di sisi isteri yang dicintainya.
IKTIRAF KESILAPAN
Tidak rugi bagi seorang isteri untuk merendahkan diri
mengiktiraf beberapa kesilapannya yang lalu. Menyatakan kekesalannya membentak
teguran suami pada suatu ketika dahulu. Yakinkan suami bahawa anda bukan lagi
isteri yang ‘cepat melatah’, melenting dan mengamuk semasa suami bersuara pada
suatu ketika dahulu.
Sikap isteri yang membantah pandangan suami sedemikian rupa
mungkin telah membina satu persepsi di minda suami bahawa isterinya adalah
seorang wanita yang ego. Buktikan kesalahan persepsi itu, bahawa anda adalah
isteri yang masih duduk sama rendah berdiri sama tinggi bersama suami di sisi.
Mungkin bukan salah anda, tetapi demi mencungkil suara suami
yang bagai disumpah sang gelembai itu, rendahkanlah dirimu. Anda boleh terus
defensif, namun harganya ialah bersuamikan lelaki bisu.
BANTUAN ORANG TENGAH
Jika sms dan email anda tidak berhasil, bicara dengan suara
bernada rendah tidak berjaya, mungkin bantuan orang tengah boleh membantu.
Apakah anda mahu meminta bantuan best friend anda atau best
friend suami?
Secara logiknya, usaha menggunakan orang tengah ini akan
lebih berpotensi untuk berhasil jika anda cuba meminta bantuan orang
kepercayaan suami.
Berhubung dan bincanglah dengannya sebaik mungkin. Anda
mungkin juga terpaksa berjuang untuk membina kepercayaan di antara anda dengan
teman akrab sang suami kerana ada kebarangkalian dia itu juga dari spesis yang
sama dengan suami anda sendiri. Namun tanpa tekanan dan gangguan-gangguan
kesilapan lalu, usaha untuk berkomunikasi dengan sahabat suami jauh lebih mudah
berbanding usaha untuk berkomunikasi dengan suami sendiri.
Jika anda bernasib baik, beliau mungkin akan berkongsi dengan
anda isi-isi hati suami tatkala beliau bercakap tanpa suara semasa di hadapan
anda. Dia tidak meluahkannya kepada anda, tetapi kepada teman karibnya. Anda
berhak untuk berkecil hati, tetapi abaikanlah perasaan itu. Sebaliknya
rancangan strategi yang sesuai dengan ‘pendedahan’ yang telah anda perolehi
daripada sahabatnya itu tadi.
Anda boleh jadikan pendedahan itu sebagai alat untuk
memusnahkan terus rumahtangga, atau anda juga boleh menjadikannya sebagai alat
penyelamat. Terpulang…
Apa yang pasti, hanyalah satu.
Perempuan sering tidak rasional semasa membuat bising, lelaki
pula sering tidak rasional semasa mendiamkan diri.
Belajarlah untuk mengurangkan kebisingan, wahai sang isteri.
Belajarlah untuk bersuara, wahai sang suami.
Sumber: http://saifulislam.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
comment here