02 Ogos 2013

14 Fakta Imam Syafie Layak Digelar Wahabi

Oleh:  Mohd Hairi Nonchi

Berikut ialah 14 amalan atau ciri-ciri yang sering dikaitkan dengan mereka yang ditohmah dan dilabel dengan gelaran Wahhabi. Mari kita lihat ciri-ciri yang dimaksudkan dan para ulamak bermazhab Syafie yang turut serta memiliki ciri-ciri tersebut.

Pertama: Orang kata Wahhabi ialah mereka yang tidak melakukan qunut solat subuh secara terus-menerus. Maka Imam Taqiyuddin as-Subki asy-Syafie dan Syeikh Abu Hasan al-Karajji asy-Syafie juga ialah Wahhabi kerana mereka meninggalkan qunut subuh atas alasan kelemahan hadisnya. – Lihat al-Bidayah wa an-Nihayah, Ma’na Qaul al-Imam al-Muththalibi Idza Shahhal Hadits Fahuwa Madzahbi (Majmu’atur Rasa-ilil Muniriyyah) dan Thabaqat asy-Syafi’iyyah al-Kubra.

Kedua: Orang kata Wahhabi ialah mereka yang tidak melaksanakan solat sunat qabliyyah dua rakaat (sebelum) solat Jumaat. Maka al-Hafizh al-'Iraqi asy-Syafie  dan Imam Abu Syamah asy-Syafie serta al-Imam Abi al-Thayyib Muhammad Syams al-Haq al-‘Azhim al-Abadi juga ialah Wahhabi kerana mereka  melemahkan pandangan yang mensabitkan solat sunat dua rakaat sebelum Jumaat. – Lihat al-Ba’its al-Inkar al-Bida’ wa al-Hawadits, Tharh al-Tsarib dan ‘Awn al-Ma’bud Syarah Sunan Abu Daud.

Ketiga: Orang kata Wahhabi ialah mereka yang tidak bersetuju dengan azan dua kali Jumaat. Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie yang cenderung kepada Sunnah Nabi, iaitu azan Jumaat hanya sekali di zamannya. – Lihat kitab al-Umm.

Keempat: Orang kata Wahhabi ialah mereka yang membenci kenduri arwah. Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie dan para imam bermazhab Syafie selainnya seperti Syeikh Mustafa Khin asy-Syafie, Syeikh Mustafa al-Bugha asy-Syafie, Syeikh ‘Ali al-Syarbaji asy-Syafie, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari asy-Syafie, Syeikh Daud al-Fatani asy-Syafie, Syeikh Zainul Abidin Muhammad al-Fatani dan ramai lagi. Ini kerana mereka semua amat membenci amalan kenduri arwah. – Lihat kitab al-Umm, kitab I’anatu ath-Thalibin, Kashfu al-Litham, Sabil al-Muhtadin, Bughyatul Tullab  dan kitab al-Fiqh al-Manhaj ‘Ala Madzhab al-Imam asy-Syafie.

Kelima: Orang kata Wahhabi ialah mereka yang tidak bermazhab dan menentang taqlid buta dalam beragama (ikut membuta tuli). Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie kerana tidak bermazhab kepada mazhab-mazhab yang muncul sebelumnya, antaranya ialah Imam Malik (mazhab Maliki), iaitu gurunya sendiri. Juga Wahhabilah Imam asy-Syafie kerana menetang keras amalan bertaqlid buta dalam beragama. – lihat kitab Manaqib asy-Syafie, Siyar A’lam al-Nubala’, Hilyatul Auliya’ dan Tarikh Dimasyqi.

Keenam: Orang kata Wahhabi ialah mereka yang menunaikan zakat dengan makanan ruji seperti gandung, tamar, beras dan seumpama. Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie kerana memfatwakan zakat fitrah hendaklah menggunakan makanan ruji, bukan wang sebagaimana amalan umat Islam di Malaysia - termasuk mereka yang mengaku bermazhab Syafie. – Lihat Kitab al-Umm.

Ketujuh: Orang kata Wahhabi ialah mereka yang tidak membaca lafaz ‘Sayyidina’ ketika berselawat ke atas Nabi. Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie yang tidak pernah menulis di dalam mana-mana kitabnya, baik kitab al-Umm mahupun kitab al-Risalah. Demikian juga Wahhabilah al-Hafizh Ibn Hajar al-‘Asqalani asy-Syafie yang turut menyinggung permasalahan ini di dalam kitabnya yang terkenal,Fath al-Bari (syarah kepada al-Bukhari).

Kelapan: Orang kata Wahhabi ialah mereka yang tidak mengkhususkan bacaan surah Yasin pada malam Jumaat tetapi menggalakkan surah al-Kahfi. Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie yang memfatwakan disukai membaca surah al-Kahfi di malam Jumaat atas alasan ia menepati Sunnah Nabi. Tambahan pula tidak ditemui dalam mana-mana kenyataannya atau pun para ulamak selainnya tentang galakkan membaca surah Yasin pada setiap malam Jumaat.– Lihat kitab al-Umm.

Kesembilan: Orang kata Wahhabi ialah mereka yang enggan berdoa dan berzikir dengan suara yang kuat dan dilakukan secara beramai-ramai selepas solat berjemaah. Jika demikian Wahhabilah Imam asy-Syafie dan para ulamak bermazhab Syafie seperti Imam al-Nawawi,  Ibn Hajar al-Haitsami,  Syeikh Zainuddin ‘Abd al-‘Aziz asy-Syafie, al-Imam al-Baihaqi asy-Syafie  dan selainnya. Ini kerana mereka tidak pernah mengajarkan demikian dalam kitab-kitab mereka. Sebaliknya hanya membolehkan berzikir berjemaah (baca: bukan doa) dalam konteks mengajar makmum sahaja, bukan selalu. – Lihat kitab al-Umm, at-Tahqiq, Minhaj ath-Thalibin, Tuhfat al-Muhtaj bi Syarah al-Minhaj, Fath al-Bari, Fath al-Mu’indan Sunan al-Kubra al-Baihaqi.

Kesepuluh: Orang kata Wahhabi ialah mereka yang tidak melafazkan niat sebelum solat. Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie yang tidak pernah mengajarkan amalan demikian. Demikian juga Wahhabilah al-Qadhi Abu al-Rabi’ Sulaiman bin ‘Umar asy-Syafie kerana menyatakan amalan melafazkan niat sebelum solat itu bukan berasal daripada Sunnah Nabi yang sahih. – Lihat kitab al-Qaul al-Mubin Fi Akhtha’ al-Mushallin.

Kesebelas: Orang kata bahawa Wahhabi ialah mereka yang menafikan sampainya pahala bacaan al-Qur’an yang dihadiahkan kepada si mati. Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie, Syeikh al-Haitsami asy-Syafie dan selainnya yang berpendapat tidak sampai pahala bacaan al-Qur’an yang dikirimkan kepada si mati. – Lihat Tafsir Ibn Katsir, al-Majmu’ Syarah Muhadzdzab dan al-Fatwa al-Kubra al-Fiqhiyyah.

Kedua belas: Orang kata bahawa Wahhabi ialah mereka yang melarang mengkapur dan membina binaan di atas kubur. Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie dan Imam al-Munawi yang menjelaskan kebencian Imam asy-Syafie kepada amalan membangun dan mengkapur kuburan sebagaimana yang mendarah daging dalam tradisi umat Islam yang mengaku bermazhab Syafie. – Lihat kitab al-Umm, Syarah Shahih Muslim dan Faidh al-Qadir.

Ketiga belas:  Orang kata bahawa Wahhabi ialah mereka yang menetapkan sifat al-Istiwa’ Allah di atas ‘Arasy di atas langit, sifat turun (al-Nuzul) dan sebagainya tanpa takwil. Maka Wahhabilah Imam asy-Syafie yang menetapkan kedua-dua sifat itu dan selainnya tanpa sebarang pentakwilan ke atasnya. Demikian juga al-Imam adz-Dzahabi asy-Syafie yang turut menetapkan sifat-sifat Allah. – Lihat kitab Tafsir Ibn Katsir dan al-‘Uluw Li al-‘Aliyyil ‘Azhim.

Keempat belas: Orang kata Wahhabi ialah mereka yang tidak menyapu muka selepas berdoa. Jika demikian maka Wahhabilah Imam al-Nawawi asy-Syafie yang menafikan kesunnahan menyapu muka selepas doa. Demikian juga Imam al-'Izz 'Abd as-Salam asy-Syafie yang menyatakan adalah bodoh orang-orang yang menyapu muka selepas berdoa. - Dinyatakan di dalam 'Irwa' al-Ghalil dan Shahih al-Adzkar wa Dha'ifuhu.

Dan banyak lagi jika hendak diperincikan. Rupanya Wahhabi ialah mereka yang menyelisihi kebiasaan masyarakat dan berpegang teguh kepada al-Qur'an serta as-Sunnah sahihah!    

Sumber: http://www.facebook.com/mohdhairi.nonchi

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...