31 Mac 2011

Saya Pilih Awak Sebagai Suri Hidup Saya




Oleh: Martinelli Hashim

“Saya pilih awak sebab saya rasakan awak adalah gadis yang terbaik untuk menjadi suri dalam hidup saya dan ibu kepada bakal zuriat saya. Saya mahukan seorang isteri seperti Siti Khadijah. Saya mahu awak menjadi ibu yang berjaya mendidik anak-anak saya nanti.”
Ayat biasa yang digunakan oleh lelaki semasa mengayat bakal isterinya. Gadis mana yang tidak bahagia dipuji begitu apalagi yang berkata adalah pemuda idamannya.
Mungkin saja dia akan menjawab, “Kalau saya seperti Siti Khadijah, mampukah awak penyayang seperti Rasulullah saw? Kalau saya mendidik anak, mampukah awak memimpin saya menjadi isteri yang solehah?”
Apakah yang kita lakukan semasa memilih pasangan hidup? Apakah yang kita lakukan setelah kita menerimanya ? Yang paling penting, apakah yang kita lakukan untuk menjadi pasangan yang baik di mata Allah untuk orang yang kita pilih itu?
Firman Allah kepada kita:
الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ ۖوَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ
“Wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji dan laki-laki yang keji adalah untuk wanita yang keji. Sedangkan wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita yang baik..........". [Surah al-Nur, ayat 26]
Setelah kasih terbina sudahkah kita memastikan sekurang-kurangnya 4 batas terjaga agar nanti doa kita tidak terhadang untuk sampai kepada Yang Maha Pemberi?
1. Batas aurat
2. Batas pergaulan
3. Batas masa
4. Batas bicara
Batas-batas ini pendinding dosa, pelindung jiwa, pengukuh hati kepada Ilahi. Melanggar batas-batas ini akan membawa kepada tercabutnya barakah dan jauhnya redho Allah. Bagaimana mungkin bahagia akan dikecap tanpa barakah dan redho dari Yang Maha Esa?
Memperbaiki Diri Mencapai Impian
Impian indah.... tetapi pernahkah kita merangka strategi untuk menjadikannya suatu realiti.
Apakah setiap pertemuan dengan si dia adalah pertemuan kerana Allah agar perpisahan nanti jugalah adalah perpisahan kerana Allah.Di antara peretemuan dan perpisahan di manakah kita letakkan Allah?
Apakah setiap kata-kata kepada kekasih telah ditapis oleh akal dan budi yang terpimpin oleh syar'ie agar ia terlepas dari dosa? Ingatlah, yang paling ramai di dalam neraka nanti adalah mereka yang tidak menjaga lidahnya.
Sekurang-kurangnya ada 7 proses yang perlu kita lakukan untuk mencapai impian menjadi insan yang baik.
1. Meneroka
2. Memerhati
3. Memahami
4. menilai
5. Memilh
6. Mengaplikasi
7. Meletakkan sabar dan tawakal atas segala usaha
Meneroka
Perancangan tidak akan sempurna tanpa maklumat dan ilmu yang cukup. Ilham dan ilmu tidak mungkin datang begitu saja tanpa kita meneroka dan mencarinya. Terokalah kehidupan dengan cara yang baik demi mendapat ilmu dan maklumat untuk digunakan bagi mencapai impian. Alam yang luas terbentang penuh dengan pengajaran. Teroka dengan nama Allah agar ilmu yang ditemui adalah ilmu yang benar.
Memerhati
Perhatikanlah apa yang ditemui dengan persiapan hati yang bersih, mata yang tajam dan telinga yang sedia mendengar. Adakalanya kita terpaksa mendengar kata-kata yang memedihkan telinga dan melukakan hati, namun teruskanlah memerhati. Perhatikan dengan nama Allah agar penglihatan kita tidak dikaburi oleh kesesatan.
Memahami
Fahamilah rahsia disebalik sesuatu kejadian. Allah tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia untuk makhlukNya.
Menilai
Hebatnya akal manusia adalah kerana kita mempunyai akal yang tajam untuk menilai apa yang dilihat, didengar dan dirasa. Nilai sesuatu itu dengan adil dan saksama kerana adil sesaat itu lebih baik dari tahjjud sepanjang malam.
Memilih
Hati yang bersih menjana akal untuk membezakan yang baik dan yang buruk bagi dirinya lalu memilih yang mana yang perlu diambil sebagai pengajaran dan yang mana perlu dibuang dan dijauhkan sebagai I’tibar.( to learn and to unlearn) Letakkan Allah di depan agar pilihan kita adalah pilihan yang terbaik dan diredhoi.
Mengaplikasi
Sesuatu pengajaran akan hilang begitu saja tanpa dipraktikkan segera. Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul.
Meletakkan sabar dan tawakal atas segalanya
Inilah proses yang paling susah untuk dilaksanakan oleh mereka yang bercinta dan lebih mencabar lagi buat suami isteri yang baru mendirikan rumahtangga. Sabar dan tawakal itu kunci ke syurga. Tidak mungkin iblis gembira kalau kita memilikinya. Berbicaralah dengan Allah dengan zikir dan istghfar agar kita mampu memegangnya dengan erat.
Sebelum sah menjadi suami isteri...sabarkah kita menghindarkan diri dari zina mata, zina telinga dan zina hati apatah lagi zina sebenar? Mampukah kita mengatakan tidak apabila dirayu oleh kekasih?
Setelah menjadi pasangan yang sah, sabarkah kita menghadapi realiti yang sangat jauh dari apa yang kita bayangkan sebelum ini? Mampukah kita menahan segala keinginan yang tidak mampu kita miliki kini? Sanggupkah kita bersabar dengan kekurangan yang ada pada pasangan kita?
Berapa kerapkah kita bersyukur kerana mendapat pasangan yang baik?
Berapa kerapkah pula kita bersungut dan berkeluh kesah dengan ujian yang menimpa?
Berapa kerapkah kita memohon ampun sehari-semalam?
Berapa kerapkah kita berselawat kepada junjungan Rasulullah s.a.w?
Senarai soalan ini akan semakin panjang kerana nikmat Allah itu tidak terhitung banyaknya dan dosa kita tidak terukur jumlahnya.
Sumber: martinelli’s blog

Kerana Saya Seorang Ibu


Oleh: Noraslina Jusin
Cuaca petang itu agak panas. Sesekali sahaja angin sepoi-sepoi bahasa bertiup, membawa bersamanya rasa dingin yang cukup menyamankan. Saya, adik kembar dan dua adik yang masih kecil, sedang leka bermain masak-masak menggunakan bekas plastik dan sudu di dapur.
Dalam keasyikan itu, tiba-tiba, bagai terdengar derap tapak kaki seseorang menuju ke rumah.
Saya menjengahkan sedikit kepala, meninjau-ninjau ke luar. Dari mulut pintu dapur yang terbuka luas, saya melihat kelibat emak menyusuri lorong bersemak di belakang rumah. Langkahnya kecil-kecil tetapi pantas. Kelihatan wajah emak sedikit cemas dan agak tergesa-gesa berjalan.
“Eh! Kejapnya mak…dah selesai ke ’rewang’ di rumah Mak Cik Senah tu?” soal kak Eton yang masih di bangku sekolah menengah, kehairanan.
“Belum lagi….” Ringkas jawapan emak sebaik duduk di kerusi makan melepaskan lelah.
Saya juga tertanya-tanya. Rasanya, baru sahaja emak keluar ke rumah Mak Cik Senah membantu kerja-kerja memasak untuk hidangan kenduri esoknya.
“Habis tu, kenapa mak balik?” kak Eton melanjutkan tanya. Emak tersenyum manis.
“Mak ni cemburu orangnya,” luah emak dengan lirikan mata.
Saya perasan emak sedang memandang ke ruang depan. Kebetulan, abang sepupu yang tinggal bersama kami sedang tekun menelaah dan membaca buku. Oleh kerana jarak rumahnya yang agak jauh, juga peperiksaan SPM yang semakin hampir, menyebabkan ibu bapanya meminta keizinan ayah dan emak untuk menumpangkan beliau sebulan dua.
RISAU
Itu antara kenangan bersama almarhumah bonda yang tidak mungkin luput dari imbauan, dengan izin-NYA. Emak yang tidak begitu tinggi pendidikan dan pengajian, tetapi cukup prihatin memelihara adab sopan serta sifat malu pada anak-anak perempuan.
Bukan sekadar menjaga makan dan pakai, malahan cara duduk, bersimpuh dan menyidai ‘pakaian dalam’ diampaian juga turut emak perhatikan. Jangan sesekali ‘menampakkan’ sesuatu yang patut dilindungi dari menjadi perhatian orang lain terutama lelaki ajnabi. Jika tidak, meriah suasana di rumah dengan ‘zikir’ nasihat emak sepanjang hari.
Saya pasti, ramai bersetuju dengan kehebatan kasih seorang ibu. Rasa sayang yang tiada tandingan, bukan palsu. Cinta tanpa syarat yang dihulurkan demi memastikan kebahagiaan dan keselamatan anak-anak yang pernah dikandungnya selama sembilan bulan.
Perasaan itulah yang menyelubungi diri saya saat ini. Apatah lagi melihat ajaran Islam yang mulia semakin dimomokkan sebagai outdated. Ditambah pula ‘zon’ kelabu yang kian melebar, cukup membuatkan hati seorang ummi ini gusar.
Bukan sedikit tidur malam yang terganggu dek risau yang bertukar menjadi mimpi ngeri. Tidak kurang juga air mata yang tumpah saat menatap wajah mulus anak-anak selepas bercerita dan berbicara sepatah dua sebelum mereka terlena. Tidak terhitung rintihan kepada Yang Maha Esa, agar mereka sentiasa di bawah pemeliharaan-NYA walau di mana mereka berada.
Sungguh, jiwa ini bergelodak, tertanya-tanya.
‘Bagaimanakah suasana zamanmu wahai anak bila kalian dewasa kelak?’
MENGONGKONGKAH INI?
“Ha…dengar lagu apa tu?” Tegur saya tatkala mencuri-curi dengar kak ngah dan teman sekolahnya, Shahad yang datang berziarah, menyanyikan sebuah lagu barat dari laman Youtube.
“Ni lagu kat sekolah, ummi. Lagu ni tentang be strong, Miss Bodycote pasang untuk anti-bullying campaign di sekolah,” kak ngah menjelaskan. Mendengar itu, saya menganggukkan kepala.
Sejurus habis lagu tersebut diperdengarkan, Shahad segera mencari lagu-lagu lain yang lebih meriah dan rancak. Saya amati lirik yang berkumandang ke udara.
“Baby, baby, baby ohhh..”
‘Hmm..ni mesti lagu cinta...’ saya berbisik sendiri.
“Cuba kak ngah pasang lagu sami Yusuf ke, Maher zain ke. Biar Syahad dengar,” saya menyarankan. Kak ngah segera menukar’haluan’. Lagu InsyaALLAH menjadi pilihan.
“Owh! This kind of song just make you cry, isn’t it?” rungut Shahad.
“Yea, of course..because it reminds you of ALLAH,” kak ngah mencelah.
Saya tersenyum. Namun, saban kali berdepan suasana begini, pasti terbit persoalan di hati : adakah saya ini terlalu mengongkong?
HANYA BIARKAN?
Melihat keasyikan generasi kecil ini menghayati lirik lagu yang tertera, terkenang seketika kepada usia remaja belasan tahun saya dahulu yang begitu teruja pada lagu-lagu cinta Melayu.
Tanyalah kepada sesiapa sahaja seusia saya ketika itu. Pasti kenal dengan lagu-lagu seperti, Sampai hati, Teratai layu di tasik madu dan Suci dalam debu.
Memang ‘melayu’!
Bak bahasa orang-orang muda, tangkap lentok! Sehinggakan sebahagian teman-teman yang terkena virus cinta monyet bagai mewiridkan lagu-lagu sebegini sebagai penyampai rindu dendam dan cinta yang membara di hati. Natijahnya, tidak kurang pelajaran yang terganggu. Cinta sementara yang entah ke mana haluannya diburu tanpa jemu, alasan demi alasan yang memenangkan nafsu dipalu.
Sedangkan, tidakkah ini sesuatu yang melalaikan? Bahkan, ia menjarakkan mereka dari mengingati tanggungjawab sebagai hamba-NYA dan tidak mendatangkan manfaat apapun kepada kemajuan iman? Ini belum lagi melihat corak pergaulan, penampilan fesyen dan arus penutupan aurat yang dikenakan oleh generasi Y.
Adakah sebagai ibu bapa kita hanya melihat sahaja atas alasan, kita juga pernah muda?
BAIK SANGKA ?
Jika benar, maka tidak hairan wujud orang tua yang memberikan peluang kepada anak-anaknya untuk meneroka dunia sementara ini seluas-luasnya. Membiarkan mereka mengikut arus semasa yang ada. Bila anak perempuan yang telah baligh tidak menutup aurat, si ibu dengan rela membela. Alasannya :
“Anak dara saya ni walaupun pakai ketat, tak tutup aurat, tapi solat dia jaga, mengaji al Quran dan puasa. Mungkin ini berkat doa saya setiap hari agaknya. Alah, ustazah yang pakai litup pun ada yang buat tak senonoh…”
Bila anak lelaki membawa keluar anak dara jiran tetangga berdekatan, si ayah dengan senang hati melepaskan. Alasannya:
“Saya dah kenal ibu bapa mereka. Lagipun, saya percaya pada anak saya. Dia takkan buat benda-benda yang saya tak suka.”
Situasi ini dihangatkan pula oleh teman-teman yang menabur kata-kata sokongan :
“Pedulikan je orang yang suka jaga tepi kain orang ni. Kita lebih kenal anak kita kan? Orang sekarang ni ramai yang berfkiran sempit sangat, tak terbuka. Tak sedar, dia sendiri pun buat dosa.”
Sikap seumpama ini diatasnamakan pula sebagai understanding dan toleransi sehingga dengan senyum dan yakin ibu bapa ini berkata :
“Ye, betul tu. Alah…sampai masa nanti, mereka akan dewasa, lebih matang dan menjadi manusia yang lebih baik. Kita dulu macam tulah juga…”
Inikah yang dinamakan baik sangka ibu bapa?
LETAKKAN SEMPADAN
Mengapa mesti membiarkan anak-anak melakukan kesilapan yang sama yang pernah kita sebagai ibu bapa lakukan dahulunya?
Memang tidak salah melepaskan anak-anak terbang meneroka alam yang luas, akan tetapi letakkan sempadan dan batas. Hulurkan kata-kata pedoman sebagai panduan. Pertahankan kewajipan yang mesti, dan berikan alternatif pada keharusan yang diberi ILAHI.
Jangan kerana ingin membela anak sendiri, perintah TUHAN di’anaktiri’.
Pada saya, ada tiga perkara yang sangat perlu kita fahami sebaiknya :
1) TUHAN yang memiliki rasa malu untuk tidak menghampakan permohonan hamba-hambaNYA, adalah juga TUHAN yang mengungguli rasa cemburu atas setiap perlakuan hamba-hambaNYA yang melakukan dosa.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya ALLAH cemburu dan seorang mukmin juga cemburu. Kecemburuan ALLAH adalah jika seorang mukmin melakukan apa yang dilarang-NYA.” ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim )
2) Iblis yang melata di sekeliling manusia dan mengajak kepada maksiat pada Yang Maha Esa, adalah juga iblis yang pernah menjerumuskan seorang ahli ibadah sehingga tersungkur di pintu neraka ALLAH!
Ia berusaha tanpa jemu. Ia bekerja tanpa putus asa kerana kesabarannya mengatasi kesabaran kita untuk taat, mendepani ketabahan kita menjauhi maksiat. Dengarkanlah sumpahnya ini :
قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغْوَيْتَنِي لأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الأَرْضِ وَلأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ
Maksudnya : Iblis berkata, "Ya Tuhanku, oleh kerana ENGKAU telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya" ( Surah Al Hijr ayat 39 )
3) Nafas yang ada ini entah bila akan berpenghujung tarikannya. Andai kita sempat melalui umur tua, bertaubat dari segala dosa serta berazam tidak mengulangi silap ketika muda, adakah kita yakin, anak-anak kita juga akan punya kesempatan untuk melalui proses yang sama?
Sedangkan hayat ini, bukan kita yang menentukan panjang pendek tempohnya, ia tertakluk pada qudrat dan iradat Yang Maha Kuasa. Hanya DIA Yang Maha Tahu, antara 'pucuk muda' dan 'daunan tua', siapakah bakal pergi lebih dulu.
KERANA SAYA SEORANG IBU
Saya hanya dapat menegur dan menasihati anak-anak sendiri ketika keberadaan mereka. Sementara ketika tidak bersama, orang di sekitarlah yang saya harapkan untuk membantu. Impian murni di hati ini, agar masyarakat terutama mereka yang bergelar ibu bapa di luar sana dapat menjadi ‘mata, telinga dan mulut ’ terhadap perilaku anak-anak saya di luar lingkungan rumahtangga.
Andai melihat anakanda saya melakukan kesilapan, mereka akan membetulkan dengan sopan.
Bukan menyebar umpatan.
Andai mendengar anakanda saya mengeluarkan kata-kata yang tidak baik, mereka akan mendidik.
Bukan mengherdik .
Akan tetapi, akan terlaksanakah harapan ini?
Jika cahaya mata sendiri tidak mereka risau, inikan pula anak orang lain, terlebih tidak mereka hirau.
Akhirnya, saya kembali melihat ke ‘dalam’ diri. Mengumpul kekuatan sambil merenung keputihan awan. Bagai ada bisikan yang memujuk :
“Jangan jemu mengetuk ‘pintu’ langit TUHAN-mu. Dahulukan baik sangka pada-NYA, berusahalah tanpa rasa putus asa dan berdoalah penuh harap terhadap bantuan-NYA.”
Sesungguhnya, tiada sebab lain yang menolak gelodak jiwa ini hingga terluah menjadi tinta. Hanya satu :
"Kerana saya seorang ibu….."
Sumber: http//:ummuhusna99.blogspot.com

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...