29 Oktober 2009

Warkah buatmu, tunangku..


Oleh: Mohd Syahid Abd Aziz


Bagi aku mendirikan sebuah mahligai tidaklah begitu sukar berbanding dengan mempertahankan sesebuah mahligai yang telah dibina. Lebih-lebih lagi bertahan dengan berlandaskan syariat Islam. Namun bukanlah isu mempertahankan yang ingin aku kongsikan di sini. Yang ingin aku katakan adalah pengisian setelah atau selepas sesebuah mahligai itu didirikan.

Mampukah aku memenuhi segala ciri-ciri untuk menjadi seorang pemimpin, suami dan mungkin juga nanti seorang ayah yang soleh. Mampukah aku? Mampukah memberikan kasih sayang yang secukupnya untuk kebahagian dan penghormatan di hari muka. Mampukan aku mendidik mereka supaya menjadi insan yang beriman berlandaskan al-quran dan sunnah agar selamat di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat sana? Mampukah aku mengaturkan hidup mereka supaya menjadi muslim sejati yang tahu menilai permata dan kaca dalam kehidupan? Mampukah aku memberikan sedikit kesenangan dalam hidup mereka? Dan cukup baikkah aku untuk menjadi pasangan dan suri hidupnya? Dan sanggupkah nanti menerima aku yang serba-serbi kekurangan kerna garis-garis perbedaan dan jurang yang mungkin atau sememangnya jelas kelihatan. Sanggupkah nanti bersama aku mengharungi segala kepayahan dan kesusahan kerna aku tak punya apa-apa untuk dipersembahkan apatah lagi untuk dibanggakan.

Bila memikirkannya terlalu berat rasanya tanggungjawab yang bakal ditanggung setelah mahligai itu terbina. Tak terdaya rasanya untuk memikulnya. Namun, tanggungjawab perlu dipenuhi lebih-lebih lagi tanggungjawab aku terhadap agama. Aku percaya dan pasrah pada Allah bahwa apa yang telah dijodohkan adalah yang terbaik buat aku. Kerna Allah lah yang maha mengetahui segala yang terbaik buat aku dan sekalian hamba-Nya.

Wallahuaklam…

Buatmu bakal suri hidupku Nor Baizura binti Ramli. Kiranya suatu hari nanti kamu pernah singgah dan terlihat catatan ini. Inilah yang ingin aku katakan padamu dahulu tapi aku tak mampu:

Mungkin dalam tempoh sebelas tahun ini sejak dari alam persekolahan lagi hingga kini aku kurang memberi perhatian padamu. Aku minta maaf. Kerna aku perlu menyayangimu berlandaskan syariat. Kerna itulah yang terbaik buat kita. Andainya nanti bila kita telah bersama. Aku minta maaf jika terdapat kekurangan dan khilafku nanti. Dan jika nanti terlihat akan salah dan silapku, tegurlah aku supaya aku tidak terus leka. Berikanlah semangat dan doronganmu untuk aku meneruskan kehidupan ini berlandaskan syariat. Doakanlah aku supaya menjadi suami yang soleh dan bertanggungjawab. Dan kiranya suatu hari nanti aku akan menyakiti hati dan perasaanmu. Aku minta maaf di atas semua kesilapan dan kesalahan yang belum pernah aku lakukan lagi. Terimalah aku seadanya, kerna jalan berliku ini yang telah kamu pilih.

Sekali lagi maafkanlah aku kerna aku bukanlah sempurna buatmu.

Sumber: Di dalam hati sendiri ^_^

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...