24 Mei 2013

KOD E : Halal atau Haram ?



Mengharamkan yang halal dan penyebaran fitnah

Prinsip Islam berkenaan halal dan haram menekankan bahawa halal dan haram adalah hak Allah s.w.t semata-mata dan perbuatan mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram sama dengan syirik kepada Allah s.w.t.

Imam Syafie meriwayatkan di dalam bukunya “al-Umm”, daripada Qadhi Abu Yusof, sahabat Imam Abu Hanifah berkata:

Aku lihat ramai dari para guru kita dari orang-orang yang ahli dalam ilmu fekah, mereka sentiasa benci untuk mengeluarkan fatwa-fatwa agama dengan mengatakan: “Ini halal dan ini haram” kecuali menerangkan apa yang memang sudah tersebut di dalam Al-Quran dengan terang tanpa perlu penafsiran lagi”.

Semasa zaman Rasulullah s.a.w di Madinah, terdapat beberapa inividu dari kaum Muslimin yang bersikap keras dan keterlaluan dengan mengharamkan rezeki yang baik-baik ke atas diri mereka. Maka Allah s.w.t menurunkan firmanNya yang jelas untuk menghentikan mereka pada batas-batas Allah dan mengembalikan mereka ke jalan Islam yang lurus.

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu), kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.” Al Maa`idah: 87

Dalam surah Al A’raaf pula, terdapat perbincangan lain yang menegaskan tetang kemurkaan Allah s.w.t terhadap orang-orang suka mengharamkan semahunya sendiri, disamping Allah s.w.t menerangkan sebab pengharaman yang kekal.

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Siapakah yang berani mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya. Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau tersembunyi, perbuatan dosa, dan perbuatan melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, dan (diharamkan-Nya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya), dan (diharamkan-Nya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang tidak kamu ketahui”. Al A’raaf: 32-33

Islam mengecam kedua-dua golongan iaitu orang-orang yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram, namun kecaman yang lebih kuat dan lebih berat dikhususkan kepada orang-orang yang mengharamkan yang halal. Ini kerana, golongan ini menyebabkan kongkongan terhadap orang ramai dan meyempitkan apa yang Allah s.w.t luaskan kepada mereka tanpa ada sebab memaksa.

Penyebaran maklumat, sama ada benar ataupun palsu mudah berlaku dalam era teknologi komunikasi moden pada masa kini. Kemudahan emel, laman web dam khidmat pesanan ringkas (sms) membolehkan penyebaran maklumat tanpa perlu bersua muka, lebih mudah, cepat, meluas dan murah. Teknologi yang sepatutnya dimanfaatkan untuk kebaikan sering disalahguna untuk menyebarkan berita atau maklumat palsu.

Saya pasti ramai di antara kita sebelum ini pernah menerima maklumat mengenai senarai ubat-ubatan yang mengandungi babi di pasaran Malaysia, senarai produk-produk haram dan ayam restoran makanan segera tidak halal yang disebarkan melalui emel, sms dan laman web. Ramai juga diantara kita yang turut membantu menyebarkannya tanpa menyelidiki terlebih dahulu kesahihannya dan sumber pertama yang mengeluarkannya. Jika berita tersebut tidak benar, secara tidak langsung kita terlibat menyebarkan fitnah terhadap produk yang terbabit dan lebih teruk lagi kita turut mengharamkan sesuatu yang halal untuk orang ramai.

Islam menekankan supaya kita menyelidik, berfikir dan memastikan kebenaran sesuatu maklumat supaya tidak terperangkap dengan berita palsu atau maklumat berunsurkan fitnah. Wajib bagi Muslim menghalusi setiap berita yang diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsurkan fitnah. Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita yang tidak benar.

*Dipetik daripada buku ” Ubat Daripada Sumber Babi dan Pilihan Alternatif” bab 10 Mengharamkan Yang Halal dan Penyebaran Fitnah.

Buku ini mendedahkan lebih 90 Jenis Ubat-ubatan yang menggunakan sumber khinzir dan pilihan-pilihan alternatif yang ada selain memuatkan pandangan-pandangan ulama dan fatwa-fatwa perubatan terkini.


Penjelasan mengenai KOD E : Halal atau Haram ?

Kadang kala, apabila kita membelek untuk melihat isi kandungan sesuatu produk, kita sering terserempak dengan kod-kod pelik yang biasanya dimulakan dengan E seperti E471, E152, E280, E635 dan macam2 lagi. Semestinya pernah terlintas di fikiran untuk mengetahui apa sebenarnya maksud kod2 ini. Maklumlah, terdapat banyak benda yang tidak diketahui dan kadang2 ragu2 juga.

Kod2 tersebut yang bermula dengan E yang ditambah dalam makanan dikenali sebagai Kod E atau E Numbers. Kod2 E adalah kod nombor untuk bahan tambahan atau aditif makanan(food additives) yang telah diuji penggunaannya untuk digunakan di Kesatuan Eropah(European Union). E di hadapan kod tersebut diambil dari huruf pertama European iaitu E.

Kod E merupakan tambahan makanan yang digunakan sebagai perasa, pewarna, pengawet, bahan pengental dan sebagainya. Kod2 E boleh dibuat daripada tumbuhan atau haiwan, bergantung kepada jenis Kod E. Ada yang boleh dibuat daripada mana2 sumber iaitu tumbuhan sahaja atau haiwan sahaja. Adakah ia halal?

Masalah timbul apabila Kod E dibuat daripada haiwan. Kod E adalah halal jika sumber haiwan itu bukan dari sumber yang haram seperti khinzir, anjing atau haiwan yang tidak disembelih mengikut hukum syarak. Keraguan terhadap Kod E meningkat dengan tersebarnya khabar angin bahawa sesetengah Kod E dibuat daripada sumber tidak halal. Contoh yang menyatakan kod2 yang tidak halal ialah seperti di sini.

Terdapat banyak produk2 di pasaran yang menggunakan kod2 E ini dan antara yang popular adalah aiskrim dan chocolate. Banyak pula produk2 yang menggunakan kod E yang dikatakan haram tetapi mendapat pengiktirafan JAKIM. Jadi, bagaimana sekarang? Adakah JAKIM terlepas pandang?


Semestinya JAKIM tidak terlepas pandang. JAKIM diurus oleh ramai orang yang juga pengguna muslim dan mereka juga semestinya mahu menggunakan yang halal. Jadi, proses pengeluaran pengiktirafaan sijil halal adalah sangat teliti. Antara langkah2 memohon sijil halal ialah menyenaraikan semua bahan mentah produk.
Jadi di sini, JAKIM boleh memastikan sumber Kod E tersebut.

Salah satu contoh ialah Kod E yang paling popular iaitu E471. E471 ialah sejenis emulsifier yang merupakan asid lemak mono dan digliserida. Asid lemak sintetik ini dibuat daripada gliserol dan asid lemak semulajadi daripada sumber tumbuhan atau haiwan. Produk yang mempunyai E471 dan mendapat pengiktirafan halal JAKIM bererti E471 itu dibuat dari sumber tumbuhan atau haiwan(disembelih) yang halal. Justeru itu, produk tersebut adalah halal dan selamat untuk dimakan.

Lebih banyak maklumat boleh didapati tentang Kod E. Antaranya ialah:

http://en.wikipedia.org/wiki/E_number
http://en.wikipedia.org/wiki/E471

Berikut adalah response JAKIM kepada produk2 yang mempunyai Kod E:


Salam, Untuk pengetahuan Tuan, kod E digunakan secara meluas sebagai penunjuk kepada bahan tambahan kimia seperti perasa, pengawet, pewarna, bahan pengental dan sebagainya. Ia didapati daripada sumber tumbuhan, haiwan dan kimia sintetik. Bagi pemegang sijil pengesahan halal JAKIM, kami memastikan sumbernya adalah nyata suci dan halal. Jika ia daripada haiwan, hendaklah ia daripada haiwan yang halal dimakan dan diproses/sembelih mengikut hukum syara’. JAKIM sentiasa memeriksa dan memantau dengan teliti dari bahan ramuan, proses, kendalian, pembungkusan sehinggalah premis pengeluar produk tersebut.Kesimpulannya, terdapat sumber lain bagi bahan berkod E tersebut selain daripada haiwan.

Sumber: http://www.halal.gov.my/


Assalamualaikum, Terima kasih untuk soalan-soalan tersebut.Kod-kod E yang dinyatakan puan adalah terdiri dari bahan kimia makanan seperti pewarna, pengawet, perisa dan sebagainya. Bahan-bahan ini diperbuat daripada samada hasilan tumbuhan atau pun haiwan. Setiap barangan yang disahkan halal oleh JAKIM telah diperiksa kandungan dan dari mana hasilannya. JAKIM memastikan setiap kandungan dinyatakan dengan jelas status halalnya dengan meminta syarikat mengemukakan sijil halal dari JAKIM atau badan Islam yang diiktiraf JAKIM.Bagi produk yang disahkan halal oleh JAKIM, kami sudah memastikan ianya adalah halal dari prosesnya dan bahan ramuannya. Pengguna tidak perlu panik terhadap barangan yang telah mendapat sijil pengesahan halal JAKIM yang mengandungi kod-kod E tersebut.Harap maklum

Sumber: http://www.halal.gov.my

Kesimpulannya, produk2 yang menggunakan Kod E adalah halal dan selamat dimakan jika produk tersebut mendapat pengiktirafan sijil halal JAKIM. JAKIM memeriksa dan memantau bahan ramuan setiap produk yang mendapat sijil halal.

*Dipetik daripada tulisan Pengguna Muslim (www.jurnalhalal.com)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

comment here

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...