12 September 2012

Khilaf

 Oleh: Pahrol Mohd Juoi


Kadangkala saya senyum sendirian membaca tulisan-tulisan lama oleh saya sendiri. Terasa betapa lantang dan vokalnya saya menulis pada masa itu. Kini setelah berusia, saya jadi lebih berhati-hati. Mana yang lebih baik? Entahlah, Allah yang Maha Mengetahui. Namun, yang pasti sewaktu muda-muda dahulu kita terlalu obses dengan pandangan sendiri. Dan memang sinis dan skeptik dengan pandangan orang lain yang berbeza. Setiap yang berbeza kerapkali ditafsirkan sebagai satu pertentangan.

Kini saya jelas, yang berbeza itu indah. Berbeza bukanlah masalah. Tetapi yang kerap menimbulkan masalah ialah SIKAP orang yang berbeza pandangan itu. Kerap kali sikap itulah yang menimbulkan perbalahan, bukan perbezaan itu. Malah pada banyak keadaan, perkara khilaf yang dipertikaikan menyebabkan terkorbannya akhlak budi yang lebih aulawiyat dipertahankan. Pernah agak saya selama setahun saya bingung dengan ‘school of thought’ yang berbagai-bagai aliran – salafi, sunni, sufi, wahabi dan sebagainya. Saya jadi pencari semula seperti pada zaman remaja dahulu…

Sering saya bertanya, dan sering juga saya ditanya. Kekadang oleh sebab kedangkalan ilmu saya banyak berdiam. Cuba terus belajar. Ke sana kemari, mendengar dan meneliti. Pada ketika itu saya berpegang kepada apa yang diyakini dan tinggalkan apa yang diragui. Namun saya tidak pernah menutup pintu untuk mendengar dan berbincang. Tetapi apa pun akhlak dan adab mesti dipertahankan. Jangan dicampur soal personel dan jurusan ilmu dan kaedah berfikir yang sifatnya lebih profesional.

Yang memertahankan qunut hingga meninggalkan solat berjemaah. Yang tidak berqunut, berhujjah sehingga mencarikkan ukhwah. Kenapa? Dia itu wahabi, tauhidnya uluhiyyah dan Rububiyyah. Dia itu As’ariah dan Maturidiah dengan jumud Sifat 20. Dia itu Salafi yang menentang bid’ah. Dia itu Sufi, yang asyik dengan tazkiatun nafsi. Dan kini di Malaysia, ada yang menjawab (bahkan menulis), “saya muslim Ahli Sunah” bila ditanya soalan, “apa agama kamu?”Ketika ditanya mengapa jawapan kamu begitu? Dia menjawab, “saya nak bezakan dengan muslim wahabi”

Ah, apakah ini langkah ke depan, atau langkah ke belakang atau langkah pusingan U?

Padahal sewaktu kecil dahulu kita diajar melalui Kitab Risalah Tauhid (tauhid), Mutaa Badrin (feqah), Penawar Bagi Hati (akhlak atau tasawuf). Itulah kitab yang mengenalkan kita kepada agama yang holistik. Kemudian bila meningkat dewasa, di universiti mula pula belajar Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah. Ataupun melalui majlis usrah yang dikendalikan oleh para naqib dan mas’ul. Kedua-dua kaedah menuju matlamat yang sama – menanamkan roh tauhid. Tidak ada sebab untuk ‘bergaduh’. Memang ada perbezaannya, tetapi titik pertemuannya terlalu banyak!

Oleh sebab Al Ghazali menghentam Ibnu Sina dan Al Farabi dengan hujjahnya dalam al Munqizul minad Dalal dan Tahafut al Falasifah, saya yang begitu dekat dengan Ihya Ulumuddin turut mengambil sikap berhati-hati dengan Ibnu Sina dan tokoh-tokoh yang sewaktu dengannya. Tetapi bila Ibnu Sina disebut sebagai role model, saya tidak membantah. Mereka mungkin ada hujah yang tidak saya ketahui. Pada saya biarlah gajah sama gajah yang berhujjah, saya yang kancil ini ambil sahaja yang yakin, yang muktamad dan masyhur… itu pun belum dan tidak habis-habis untuk diamalkan.

Saya melihat kesan ilmu dan sumbernya. Bukan hanya melihat kesan tetapi meninggalkan sumber. Atau bukan hanya meneliti sumber tetapi meminggirkan kesan. Kedua-duanya harus sebati dan serasi. Akhlak adalah buah ibadah. Ibadah adalah buah ilmu. Ilmu itu sumber keyakinan dan kepercayaan. Alhamdulillah, kini saya rasa serabut iktilaf, furu’ dan bid’ah terungkai dengan jelas. Dalil di sana dan di sini kekadang sama setara dan seimbang. Tidak ada obsesi diri dan puak. Tidak ada kafir mengkafir. Tidak ada penyakit ‘ana khairu minhu – aku lebih baik daripada kamu!

Ingin tahu, tulisan apa yang membuat saya tersenyum? Ya, cerpen bertajuk: Derap Kasutnya yang saya tulis pada tahun 1987. Saya membaca kekasaran, keceluparan dan kelantangan yang tidak dibaluti hikmah dan adab. Namun, kita manusia… semakin dewasa dan berusia kita jadi semakin sederhana. Semakin berhati-hati. Sudi kiranya berkongsi betapa mentahnya gaya berhujah saya 23 tahun yang lalu. Bacalah:

DERAP KASUTNYA!

Dia tak sabar lagi.Marah benar.Mana boleh, telunjuk dah mencucuk mata. Ular lidi dah cuba nak jadi naga.

“Dia benar-benar mencabar kewibaanku.Kewibawaan Prof. Dr Zawawi yang punya Ph.D Usuludin,Universiti Colorado USA,Ketua Jabatan Usuludin Universiti Bijak Bistari, universiti Tanah Air yang paling terkenal. Sepatutnya dia mesti hormat pada gelaran dan jawatanku,”gerutu rasa Prof. Dr. Zawawi bertalu-talu. Kepala botaknya jadi panas. Licin dan berkilat. Itu bukan sebarang botak. Botak inteleks,lambang bijak. Tanda banyak fikir. Hingga rambut pun tak berani tumbuh. Takut, hormat kepada kepala seorang cendekiawan.

“Budak mentah itu perlu diajar.Baru dua tiga tahun kenal dakwah dah mula tunjuk lagak.Dah mula rasa bijak. Ilmu cetek, kepala besar,” cebik Dr. Zawawi terus menerus. Air mukanya berjerebu.

Kebenciannya pada Nizam terus subur.Kebencian itu cukup memanaskannya pada pagi yang kelam itu.Bagi Prof. Dr. Zawawi,Nizam adalah crook dalam filem arahannya.Dia jadi hero.Hero yang mesti bunuh crook dan selepas itu filem bolehlah tamat. Ia terus melangkah, membawa susuk tubuhnya yang sasa. Tubuh yang amat ibanggakan,berkat jogging dan ikut kelas aerobic bersama isterinya, Puan Maznah. Bila kawannya bertanya apa rahsia badannya setegap itu walaupun usiannya sudah menjangkau lima puluh tahun? Prof. Dr. Zawawi akan menjawab, “Life begin at forty”.

Dia terus berjalan.Tumit kasut tingginya yang hitam berkilat itu dihentak-hentak keras. Dap..dap…dap…Macam nak retak simen kaki lima Universiti Bijak Bistari. Kalau boleh biar orang tahu Ph.D Dr Zawawi berjalan. Biar orang tahu Tuan Ketua Jabatan Fakulti Fikrah Islamiah sedang berjalan. Biar semua tahu Prof. Dr. Zawawi sedang berjalan. Kembang kuncup hatinya membayangkan yang megah, hebat, gagah.

Langkahnya tambah cepat. Nota-nota persediaan kuliah Tamadun Islamnya dikepit erat dalam fail hitam. Siap-siaga macam senjata penting untuk satu misi tentera. Pintu dewan kuliah ditolak keras. Derap kasutnya berpadu dengan dengung air-conditioner dewan kuliah yang pada pagi itu bagai medan perang buat Prof. Dr. Zawawi. Bingkai cermin matanya terlentuk sedikit.Hidung peseknya jadi kembang kempis.

Wajahnya diseriuskan, tanda wibawa. Bush jacket biru laut dengan poket-poket kosong bertaburan itu dirasakan amat menawan. Tambah seri dengan pen Parker warna emas terselit di poket sebelah kanan.

Itulah simbol statusnya. ‘Syiar’ Usuludin yang dipelajarinya selama lima tahun dibawah tarbiah Prof. David Kent. Hasil menadah kitab dari cendekiawan dan intelek negara atas angin yang ilmu islamnya diperakukan dan diiktiraf. Lengkap dengan hujah autentik,saintifik dan logik. Mahagurunya, Profesor David Kent amat arif dalam tauhid dan falsafah Islam walaupun dirinya sendiri tidak Islam!

Di Universiti Colardo itulah terhasil tesisnya-‘Menifestasi Tauhid Dalam Kehidupan Manusia’.Gah bunyinyakan?Itulah hasil bersarang dan mengeram dalam perpustakaan, majlis diskusi dan seminar. Buah tungkus-lumusnya siang malam mengkaji dan meneliti.Yang kadang-kadang sampai terlupa hendak sembahyang.

Kehadirannya menyebabkan suasana dewan kuliah sepi.Celoteh dan gelak tawa siswa-siswi mati. Mata Dr. Zawawi liar ke depan. Terus mencari sasaran.Ha, itu pun Nizam. Mudah mencarinya,duduk paling depan dengan kopiah di kepala, yang pada Dr. Zawawi seperti membalut otaknya.

“Duduk depan konon tak mahu bercampur gaul dengan perempuan. Pooh…hipokrit,apa salahnya duduk di tepi Liza,Yati,Suhaimi dan lain-lain?”amuk Dr. Zawawi dalam hatinya.

“Biar.Ini giliran aku.Budak pondok sesat di Menara Gading ini perlu diajar,”azam Dr.Zawawi.

Kuliah dimulakan.Suaranya lantang,padat dan memikat.Memang kalau berhujah dan berpidato dia terkenal jaguh. ‘Best speaker’ Sudut Pidato yang sering menyalak bukit semasa menuntut di universiti dulu.

Mula-mula ia bercakap tentang Tuhan, tentang Islam,tentang sifat Uluhiah dan Rububiah, tentang manusia, falsafah hidup, tentang alam. Habis semua disentuhnya.Dirangkum,dicantum dan dipersembahkan dengan terang dan lantang. Cukup? Ah! Belum,belum cukup lagi.Wajib ditambah dengan ulasan-ulasan para Orientalis Barat. Apa kata Prof. Arnold Toynbee, apa kata Juynboll, Gol Ziher dan lain-lain. Tidak lupa disertakan nama buku, pengarang journal ini, makalah itu, cetakan tahun sekian. Muka surat sekian.Nah itu baru lengkap.Persis gaya dan teknik Tok gurunya, Prof. David Kent sewaktu member kuliah di Amerika dulu.

Siswa-siswi tahun akhir Fakulti Fikrah Islamiah terlopong mendengar. Liza yang di sebelah Suhaimi giat mencatit,merenung ke depan dan mencatit semula. T-shirt sendat yang membalut ketat tubuhnya sedikit pun tidak menganggu konsentrasinya. Konsentrasinya pada kuliah tentang undang-undang Allah, tamadun dan kebudayaan Islam.

Liza memang bijak,score selalu dalam peperiksaan. Anak emas Dr. Zawawi.Ia kaya dengan prinsip – ilmu untuk akal, pakaian pada tubuh, iman pada hati.Itulah pegangan Liza, siswi tahun akhir Fakulti Fikrah Islamiah, Universiti Bijak Bistari. “Mungkin? Mungkin dalam tubuh aku yang berpakaian seksi ini tersemat iman seberat gunung.Siapa tahu?” begitulah Liza pernah berhujah bila ditanya mengenai pakaianya yang terdedah itu.

Dr. Zawawi berhenti sejenak.Matanya liar menjelajah satu demi satu wajah pelajar akhir tahun itu.
“Ada apa-apa soalan?”tanya Dr. Zawawi. Dipandangnya Liza.

“Bagus.Cergas.Tangkas seperti biasa,”bisik hati kecil Dr. Zawawi. Pandangannya beralih ke belakang.Air mukanya berubah. Paling tidak senang bila melihat Halimah dan kawan-kawannya.Gadis bertudung labuh yang duduk di belakang sekali, sebelahnya tentulah Saudah di sebelah lagi tentu Fauziah.

“Huh…gagak-gagak hitam kampus. Back Benchers! Entah-entah tidur di sebalik kain tudungnya yang labuh, siapa tahu? Pemegang B.A Hons Syariah pun tak teruk macam kau orang,”ejek Dr Zawawi dalam hati.

“Ada apa-apa soalan?”ulang Dr. Zawawi.Muka Nizam direnungnya.
“Apalagi, sahutlah cabaranku. Aku telah bersedia untuk kuliah pagi ini.Hujah-hujahmu di kelas tutorial tempohari akan kupatahkan…” Harap Dr. Zawawi.Nizam direnungnya terus.Tapi mata Nizam tetap tenang,senyuman menguntum di bibirnya. Dia tetap sejuk. Dr. Zawawi tambah geram.

“Seperti yang saya terangkan pada keluasan empayarnya,banyaknya Hasil seni bangunan yang amat unik seni binanya, lahir pula tokoh-tokoh umat Islam di pelbagai bidang perubatan.Lahir Rhazes atau Ar Razi dan Avecienna di bidang perubatan.Lahir Al Hazm di bidang optik dan fizik, Al Farabi, Al Khindi, Ibn Rusyd dan lain-lain,”Dr. Zawawi melanjutkan kuliahnya.

Nizam diam.Tetapi dalam hatinya membantah keras.Perasaannya meloncat-loncat untuk menjawab tetapi ditahan .Sabar…pujuk hatinya. “Oleh itu bangunan seperti Istana Al Hambra, Taj Mahal, Masjid Besar Cordova adalah setanding dengan Menara Condong Pisa, Piramid dan Tembok Besar Negeri China. Tokoh-tokoh Islam seperti Avecienna,Ar Radzi, Al Farabi mesti kita sanjung sepertimana kita menyanjungi Voltaire, Newton, Einstein, Socrates, Plato dan lain-lain,”katanya lagi.

Dalam diam Halimah tersenyum,Saudah juga tersenyum.Fauziah menggeleng-gelengkan kepala.

“Tak sangka,begini berjayanya orientalis menusuk jarum halus idealismenya sehingga erti Tamadun Islam diselewengkan oleh intelek Islam sendiri.Tokoh-tokoh palsu disanjungi. Mana diletakkan para sahabat Nabi? Mana disembunyikan salafussoleh sekitar tiga kurun? Mana kehebatan Imam Mazhab yang empat?”protes Fauziah dalam diam.

“Empayar Islam pula kurang sedikit luasnya dari apa yang dipunyai oleh Empayar Monggol di bawah Genghiz Khan.Uma Islam satu ketika kuat di lapangan ekonomi dan ketenteraan.Banyak senjata-senjata peperangan moden hari ini diilhamkan dari senjata tentera Turki abad ke-17. Di sinilah kekuatan Islam, keagungan Islam, kehebatan Islam,” tambah Dr. Zawawi, air liurnya bersembur, mukanya merah,semangatnya bernyala-nyala.

“Kita mesti meraih semula keagungan ini. Untuk itu umat Islam mesti progresif menggunakan segala kemudahan teknologi dan saintifik. Kita harus bebas memahamikan agama mengikut suasana, perkembangan institusi keilmuan masa kini. Bebas dari belenggu kaum Asha’ariah, Maturidiah dan kaum sufi yang penuh mitos dan kaku,” serang Dr. Zawawi betalu-talu.

“Nizam, kamu seolah-olah tak setuju.Saya tahu kamu tak setuju. Katakan !”cabar Dr. Zawawi. Dia dah tak sabar lagi. Dendam terpendamnya akhirnya meletus.

Suasana dewan berhawa dingin itu panas. Liza amat resah. “Entah-entah orang tua ini mengamuk sampai dua jam, aku ada ‘date’ dengan Farid di cafeteria ni,”detik hati Liza. Dia sedar kalau kena gayanya Dr. Zawawi akan melalut lebih lama. Lebih dari sukatan pelajaran dan masa yang ditentukan. Pada Liza, ilmu Islam itu cukuplah sekadar sukatan pelajaran. Buat apa nak lebih-lebih, bukan disoal dalam peperiksaan.

Dr. Zawawi mundar-mandir,terangguk-angguk sekejap ke kiri, sekejap ke kanan.Macam ayam jantan mencabar nak berlaga. Kembang tangan dan dadanya. Kalau bolehlah, dia pun mahu berkokok.
“Tuan professor,eer…Tuan Dr. saya sebenarnya mahu berbincang secara tertutup hal ini. Memang benar, ada perkara-perkara yang saya musykilkan.Tapi saya rasa elok kita bincangkan berdua sahaja,”perlahan Nizam bersuara seolah-olah merayu.

“Tidak, jika awak rasa benar,awak mesti menyatakannya depan saya, depan kawan-kawan awak.Kebenaran itu bukan sahaja untuk awak tapi untuk semua. Nah saya bagi awak peluang. Nyatakan kebenaran awak,” jolok Dr. Zawawi terus-terusan.

Nizam diam,tetapi kepalanya ligat berfikir,hatinya laju menimbang, perlahan-lahan berdoa, “Aku berlindung kepada Allah dari ilmu yang tak bermanfaat”.
“Baiklah Tuan Dr. saya akan cuba,”kata Nizam.
“Nah jeratku bingkas.Engkau akan terjerat Nizam,”melonjak-lonjak hati Dr. Zawawi girang.

Halimah,Saudah dan Fauziah mula berpeluh. Suhaimi teringat programnya untuk keluar minum dengan Rokiah, “Melepaslah aku”,keluhnya. Liza tak dapat diceritakan lagi. “Bertengkarlah lagi aku dengan Farid,” Bentak hati Liza.
Pada Suhaimi dan Liza soal itu tidak penting.Bukan ditanya dalam peperiksaan.Bukan ada dalam sukatan kuliah .Semua tak penting. Apa itu tamadun Islam sebenarnya tidak penting?Siapa tokoh Islam sebenarnya mereka tidak kisah.Pokoknya, study nota kuliah. Lulus periksa sudah cukup. Apa nak pening-pening kepala sangat?

Liza tak kira,Farid tak kira,Suhaimi tak kira, Rokiah pun tak kira sama ada tokoh Islam Avecienna atau Imam Syafie Ibn. Rusyd atau Imam Al Ghazali…tapi yang dia ,minat Madonna,Vanilla Ice, New Kids On The Blocks. Tak penting sama ada betul Taj Mahal itu lambang keagungan Islam atau tidak, pokoknya panggung wayang tetap buka, bangunan Daya Langit tempat mereka bercanda tak roboh cukup. Begitulah luasnya pemikiran mahasiswa-mahasiswi tahun akhir Fakulti Fikrah Islamiah, Universiti Bijak Bistari.Hebat…progresif…dinamik.

“Sebenarnya pada saya,ada bezanya dengan tamadun Islam dengan tamadun orang Islam. Tamadun Islam ialah tamadun yang dibina berlandaskan Al Quran dan Al Sunnah.Matlamat dan perlaksanaanya sekali-kali tidak melanggar syariat. Tamadun ini bermula pada zaman Rasulullah lagi.Ia tidak berlandaskan kepada tamadun dan kebudayaan orang lain sebelum atau selepasnya,”Nizam mula bersuara.

“Mengapa awak membezakan keduanya?”Bagi saya, tamadun yang saya sebutkan tadi adalah tamadun Islam.Avecienna ,Ibn. Rusyd dan lain-lain itu adalah orangorang Islam.Jadi,kemajuan dan kerja mereka adalah tamadun Islam.Tak ada apa-apa keraguan tentang itu kecualilah awak nak kafirkan Avecienna,Ibn. Rusyd dan lain-lain tu,”potong Dr. Zawawi dengan penuh sindiran.

Liza terasa nak melompat.Minatnya mula timbul kepada persoalan itu. “Come on! Dr. Zawawi!”jerit hati Liza dalam diam.Padanya apa yang dikatakan oleh Dr, Zawawi memang benar.Logiknya jelas, tamadun orang Islam adalah tamadun Islam.Titik, Habis.Tak ada tapinya lagi.

Tapi Fauziah di belakang ada pandangan berbeza.Rasanya nak menyampuk juga. “Tapi biarlah Nizam saja ke depan,”bisiknya.

“Saya tidak berniat mengkafirkan sesiapa.Cuma saya jelaskan di sini, jika umat Islam membina kemajuan berlandaskan falsafah Yunani, faham kapitalisme,sosialisme,komunisme dan nasionalisme kemudian terhasil satu bentuk tamadun,itu bukan tamadun Islam tetapi tamadun orang Islam. Al kindi,Ibn Al Farabi dan Ibn Sina tak dapat dinafikan membina kemajuan tetapi mereka telah terpengaruh dengan dahsyatnya oleh falsafah Yunani…

“Di sudut-sudut tertentu ada kecacatan pada fahaman dan akhlak mereka.Mereka bukan contoh terbaik umat ini.Mereka sebenarnya tidak dikenali dalam dunia Islam dan hampir dilupai,sehingga mereka ditonjolkan kembali oleh orientalis Barat yang sekularis,”patah demi patah perkataan keluar dari mulut Nizam yang berjanggut nipis itu.

“Habis pada pendapat awak kemajuan-kemajuan yang disebutkan tadi bukanlah keagungan Islam?Begitu?”Dr. Zawawi dengan senyum sinis penuh kejengkilan. “Kalau begitu di mana keagungannya Islam? Pada kopiah?Pada jubah awak ke? Atau pada hidup kolot yang menolak kemajuan saintifik?”

“Keagungan Islam tidak hanya terletak pada jubah,serban atau purdah pada jeans ketat dan mini skirt atau pakaian yang lain,”perlahan tapi jelas kedengaran suara Nizam.Tembus ke telinga Liza, telinga Suhaimi,linga Halimah,Saudah,Fauziah dan telinga siswa-siswi dalam dewan kuliah yang semakin panas itu.

“Ai…kau hentam aku ke?”desir hati Liza.
“Kalaulah keagungan Islam itu dikenali pada luasnya empayar,pada bangunannya yang indah,pada kemajuan bidang ilmu dan intelektualiti taklah gagah,taklah hebat,”ujar Nizam penuh teratur.

“Kenapa awak berani kata begitu?”sanggah Dr. Zawawi tak sabar.

“Sebab, terbukti tanpa ajaran Islam pun orang boleh meluaskan empayar membina bangunan dan lain-lain pembangunan fizikal. Genghiz Khan boleh menawan dunia tanpa Al Quran dan sunnah.Shih Huang Ti mampu membina Tembok Besar China tanpa pertolongan wahyu.Thomas Elva Edison dapat mencipta alat-alat elektrik tanpa berpandukan hadis,”hujah Nizam lagi.

“Keagungan Islam adalah tersendiri,”sambungnya “Tak akan tercapai dengan jalan-jalan lain kecuali denganmengikut Al Quran dan Al Sunnah…”

“Apa dia?”hujah Dr. Zawawi tak sabar.

“Islam agung kerana mampu melahir manusia yang mencintakan Allah, kasih sesama manusia,mampu mengalahkan hawa nafsu,memerangi syaitan.Manusia yang menjadikan syurga sebagai idaman, ingat mati, takut neraka jihad dan pengorbanan sebagai amalan dan pakaian hidup.”

“Itu tak hebat!”celah Dr. Zawawi.

“Bagi saya cukup hebat kerana dengan itu muncullah orang kaya pemurah, orang miskin yang sabar, ulama yang berani, pemerintah yang adil, rakyat yang setia, suami yang bertanggungjawab, isteri yang patuh, peniaga yang jujur,majikan yang bertimbang rasa, buruh yang rajin.Dengan itu dunia pun jadi aman tenteram.Inilah uniknya Islam.Ia mampu memproses hati memanusiakan manusia.Inilah yang diamalkan pembangunan insan,” jelas Nizam satu per satu.

Dewan sunyi sepi,kaku,dan terpaku dengan kata-kata lembut Nizam.

“Kita mesti faham hakikat ini.Inilah yang akan membangkitkan rasa mahu untuk mengamalkan Islam bukan sekadar tahu apa itu Islam.Kita mahu roh dan fikrah Islamiah.Tak cukup sekadar fikrah Islamiah yang jadi ‘mental exercise’semata-mata.Islam mesti diamalkan bukan dikaji teori dan falsafahnya untuk dipolimikkan semata-mata…”

“Awak kolot.Tidak intelek.Kaku.Jumud,”serang Dr. Zawawi kehilangan rasional.

“Kita mahu amaliah Islam bukan sekadar ilmiahnya.Islam mesti dipasak di hati uintuk jadi amalan.Tak cukup berlegar di kepala sahaja.Islam untuk dikerjakan bukan untuk dikerja-kerjakan,”Nizam terus berkata tanpa terganggu oleh serangan Dr. Zawawi.

“Kamu bermimpi Nizam.Mana ada generasi melainkan yang kamu idamkan itu.”

“Ia pernah wujud.Wujud di zaman Nabi dan para sahabat. Dan ia boleh wujud lagi sekarang kalau kita benar-benar berusaha”.

“Kita mesti bebas dari dogma orthodok itu.Mana mungkin masalah seribu empat ratus dahulu sama dengan masa kini yang sudah berkembang dan berubah,”tangkis Dr. Zawawi. Peluhnya mula menitik walaupun sejuk hawa dingin dalam kuliah itu semakin mencengkam.

“Kita tidak boleh memandang Islam dari kaca mata Orientalis…” Nizam berhenti sejenak. Direnungnya Dr. Zawawi.penuh kasih, penuh harap.

Ia mengharap tanda-tanda insaf akan terbayang akan bola mata Dr. Zawawi.Serban hijaunya terlilit kemas sekemas luahan hujah-hujahnya. Mata Liza,Suhaimi melirik tajam kepadanya.

“Ya Allah,berilah kekuatan kepadaku seperti yang pernah engkau kurniakan pada Jaafar bin Abi Talib ketika berdialog dengan Najasy,” doa Nizam dalam hatinya.

“…Jika kita memandang Islam dari mata kaca orientalis apalagi terus meyakini intelek Islam yang hanya ada Fikrah Islamiah bukan roh Islamiah. Ertinya,Islam hanya bertunjang pada akal,bukan dalam hati. Mereka hanya tahu Islam baik tapi kemahuan untuk melaksanakannya sangat lemah. Kalah dengan bujukan nafsu. Intelek Islam tetapi tidak sembahyang. Culas beribadah. Mengabaikan zakat. Tidak ada jiwa jihad. Tandus sifat pengorbanan.Yang dipentingkan hanya gaji, pangkat dan nama,” terang Nizam lagi.

Dr. Zawawi geram.Dia terasa ditelanjangkan dengan kata-kata Nizam. Sembahyang?dia memang malas.Keluar zakat? Setakat zakat fitrah bolehlah. Zakat harta? Income tax pun sudah mebebankan.

“…Ada intelek Islam yang makan riba dalam dia tahu yang riba itu haram,”tambah Nizam.

Kereta mewah dan banglo Dr. Zawawi menerjah dalam ingatannya. Semua itu dibeli cara riba.Cara berhutang. Pinjaman dari Bank.Apa nak buat, terpaksa.

“…mencemik pada purdah tapi pejam mata pada dedah. Mereka mahu Islam ikut otak dan nafsu mereka.Dan ditempel itu dengan istilah maju, progresif dan moden,”tambah Nizam.

Dr. Zawawi rasa terpukul.Diakah intelek Islam yang dimaksudkan oleh Nizam?. Soalan-soalan itu makin menekan jiwanya.Nafsunya turun naik. Geram dan sakit hatinya membumbung langit. Tiba-tiba mata Dr. Zawawi berbintang-bintang dan berkunang-kunang. Dewan kuliah gempar Dr, Zawawi rebah pengsan.

Esok.lusa, tulat, Universiti Bijak Bistari sunyi dari derap kasut tinggi Dr. Zawawi.Beliau cuti tiga bulan-dipaksa rehat oleh sakit jantung dan darah tingginya.Sementara itu mahasiswa tahun akhir Fakulti Fikrah Islamiah telah tamat tahun akhir. Jika lulus masing-masing akan mendapat ijazah. Pakai jubah labuh,topi empat segi,di majlis seribuy megah,bermandi cahaya flash kamera dan bertukar-tukar tahniah. Secebis kertas berisi nama, bertinta emas,bertanda tangan,bercop dan diukir indah,diarak depan kawan dan keluarga.

Liza akan bangga,Suhaimi akan bangga dengan Ijazah Muda Fikrah Islamiah, lesen untuk mendapat kerja dan ribuan ringgit sebagai ganjaran! Perjuangan Islam? Ah, itu bukan tanggung jawab aku! Itu fikir mereka.

Sumber: http://genta-rasa.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

comment here

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...