19 September 2012

Isteri Cerdik Yang Solehah






“Abang, saya risau tengok anak kita tu,” ujar Ibu semasa kakinya lembut melangkah menuju ayah. Surat khabar masih utuh di tangan. Berita yang termuat dalam akhbar semakin hari semakin menggusarkan. Kalau Ibu membaca di pagi hari, pasti rasa terguris itu terbawa-bawa hingga ke malamnya.

“Apa pulak yang awak risaukan? Kan dia tu dah besar panjang?” Jika dilihat dari hadapan, kepala Ayah masih berbungkus surat khabar. Ibu sudah bersimpuh di sebelah.

“Iya-lah, anak kita tu kan perempuan. Kenapa Abang senang-senang sahaja bagi dia keluar dengan Arifin tu?”

“Pulak…Arifin tu kan tunang dia. Budak baik lagi pun. Lulusan universiti luar negara pula. Bukan orang entah dari mana. Kitakan kenal rapat dengan dia dan keluarganya?” Jawab Ayah dari balik tirai kertas kelabu bercetak pelbagai hikayat manusia hari semalam.

“Sungguh Bang. Tapi, -kan syaitan tu degil. Bukan dia peduli semua rekod baik dan segala lulusan tu,” ujar Ibu. Wajahnya makin disolek kegusaran. Mata Ibu berkalih melirik melihat jam yang lewat pukul 9.00 malam.

“Awak ni nak mula ceramah dengan saya -lah ni?”

“Bukan nak ceramah Bang. Saya pun bukannya ada tauliah nak bagi-bagi ceramah ni. Saya sangat risau dengan keadaan semasa keluarga kita. Risau dengan Syarifah, anak kita tu. Risau dengan polisi-polisi Abang yang mesra maksiat tu,” kata Ibu perlahan. Ayah menampakkan wajahnya. Kemerah-merahan menahan pedih tusukan kata-kata Ibu. Jika dibandingkan dengan sebilah pedang; ‘polisi mesra maksiat’ itu matanya yang meruncing dan tajam amat.

“Abang, Abang lupa ya kenapa kita berkahwin dulu? Apa yang saya pesan waktu kita mula-mula bersama dulu?” Tanya Ibu. Muka Ibu serius seratus peratus. Namun masih manis dan bersinar kesan wudhu’ Ibu yang sempurna.

Ayah masih diam. Resmi orang lelaki agaknya. Menadah telinga sungguhpun cupingnya bersimbah dengan warna merah.

Ibu nekad meneruskan bicaranya. Masih santun tapi menusuk.

“Kita berkahwin dan membina keluarga hingga sekarang ni tak lain nak dekatkan diri kita dengan Allah Bang. Nak dapatkan keredhaanNya. Kan begitu? Bahkan masih saya ingat apa yang dikhutbahkan oleh Imam Rashid yang menjadi jurunikah kita dulu. Ayat al-Quran yang sangat-sangat saya pegang dan seharusnya menjadi rujukan kita bersama dalam membuat sebarang ketetapan untuk keluarga ini,”

Sebentar mata Ayah ke ruang tamu yang pada dindingnya terhias catan khat melukis ayat Tuhan dengan maksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka, yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu berhala. Di atasnya ada malaikat yang amat kasar lagi keras perlakuannya. Mereka tidak mengengkari Allah apabila disuruh dan mereka tentu melaksanakan apa yang diperintahkan” [al-Tahrim 66 : 6]
Ia hadiah yang dibeli di Turki semasa Ayah dan Ibu berbulan madu. Lama dahulu. Masih utuh dan menggetarkan bila diingat-ingat semula.

“Masakan boleh Abang biarkan anak kita tu diusung ke hulu ke hilir dengan alasan dia dah besar panjang Bang? Dengan alasan Arifin budak baik lagi terpelajar? Kalau begitu Nabi dulu patutnya dihantar untuk beri peringatan kepada budak-budak sahaja. Orang dewasa -kan dah pandai jaga diri masing-masing? Tak perlu diperingatkan lagi. Dan kepandaian Arifin pun tidak menjamin iman dan dirinya terselamat dari tipu daya syaitan yang licik tu. Apatah lagi kita membukakan jalan untuk syaitan menjalankan pekerjaannya dengan mudah?”

“Kita yang orang tua kita kawal ketat dahulu pun bagai separuh nyawa menahan rasa semasa bertunang, inikan budak-budak sekarang dilepaskan berdua begitu. Allah Bang… risau hati saya ni,”

Abah masih diam membungkam. Namun rona merah diwajahnya sudah reda. Mungkin kata-kata Ibu itu pahit untuk ditelan tetapi sifatnya menyembuh luka-luka di dalam. Gores-gores jahiliyah.

Ibu masih berbaki dos ubatnya. Mahu disuakan ke mulut Ayah.

“Sekarang ni ya kita satu keluarga. Abang saya sayang, Syarifah pun saya sayang. Tapi nanti di padang mahsyar kita boleh sahaja bermusuhan. Tuduh-menuduh untuk selamatkan diri masing-masing daripada azab Allah yang dah ternampak dek mata kepala kita sendiri. Saya tak mahu kasih-sayang saya hanya di dunia. Saya tak mahu sayang membuta tuli hingga menghalalkan apa sahaja yang ahli keluarga saya berbuat meski melanggar tetapan Tuhan dengan alasan murahan saya sayangkan semua. Jika betul saya sayang, saya perlu sayang sampai akhirat. Fikir sampai akhirat. Cinta sampai akhirat. Itulah namanya cinta dan sayang yang abadi,”

Ibu mengatur nafas. Masih, wajah Ibu begitu redup dipandang meski sedang tekun memberikan nasihat.

“Macam mana kita nak cakap dengan anak kita yang sorang tu?” Akhirnya Ayah bersuara. Ibu senyum bersungguh-sungguh sambil hatinya memuji-muji Allah yang sudi melapangkan hati sang suami mendengar keluhan dan nasihat daripada isteri. Ibu cepat-cepat mencari tangan Ayah dan menggenggamnya erat.

“Alhamdulillah. Saya syukur Abang boleh terima apa yang saya sampaikan tadi. Tentang nak beritahu Syarifah Abang jangan risau, insya-Allah saya ada ideanya,”

Ayah mengeluh panjang. Mungkin menyesali pendirian-pendiriannya yang lama dan terpesong itu. Konon mahu menjadi bapa yang sporting. Sebenarnya Ayah tersilap. Syukur Allah karunia Ayah dengan seorang isteri berdarah serikandi seperti Ibu.

Ibu tahu Ayah menyesal. Ibu kucup tangan Ayah berkali-kali dan meletakkannya di pipi. Mungkin Ibu juga tersangat risau jika ada kata-katanya yang mengguris hati Ayah hingga terlalu kuat kesannya. Ibu memohon maaf.

Tetapi masih tiada bahasa antara keduanya. Masing-masing sedia memahami. Masing-masing sedia memaafi.

Sumber: ?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

comment here

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...