Oleh: Nurul Adni Adnan
 Isteri A berkongsi, sebagai seorang student yang berjumpa suami jarang-jarang...
“Dah lah jarang berjumpa, bila jumpa, suami tak tanya pun khabar saya..” luah isteri ini yang baru sebulan dua bernikah.
"Suami tahu tak…?” tanya saya.
"Takkan itu pun nak bagitahu…?" jawabnya.
Isteri B pula berkongsi, banyak perkara-perkara 'kecil' yang dia suka suaminya lakukan..antaranya,
"Bila keluar pergi kerja, saya suka kalau suami cium saya..”
"Suami tahu tak..?" tanya saya.
“Malulah nak bagitahu…”jawabnya.
Jangan Abaikan Perkara Kecil
 
“Perkara
  kecil” seperti tanya khabar ‘Sayang apa khabar?’ dan ‘sepotong ciuman’
  ini adalah antara perkara yang perlu dikomunikasikan, jika tidak hal  
yang kelihatannya kecil ini perlahan-lahan memudarkan cinta di hati  
pasangan. Isteri rasa tak disayangi, padahal banyak lagi kebaikan dan  
bentuk kasih sayang suami padanya.
Belajar Bercakap
“Saya
 banyak belajar dari  perceraian ini walaupun perit.. di awal-awal 
perkahwinan dulu kami  terlalu sibuk dengan kerja, hingga banyak perkara
 tak sempat  dikomunikasikan dengan baik. Kami selalu berselisih 
pendapat…” luah  seorang isteri yang berakhir pernikahannya setelah 3 
tahun.
“Belajar bercakap…” maka itulah  jawapan saya 
apabila ditanya oleh seorang teman yang bakal menginjak  kaki ke alam 
pernikahan, 'apakah persediaan sebelum bernikah?'
Saya 
bukanlah orang yang arif lagi berpengalaman luas tentang  pernikahan, 
apatah lagi pernikahan sendiri yang baru mencecah usia dua  tahun. 
‘Masih belum menghadap realiti’, kata sesetengah orang. Biasanya,  
setahun dua usia pernikahan dikatakan masih di fasa ‘honeymoon’, jadi  
masih banyak perkara yang kita tidak nampak dan lalui.
Jadi
 saya hanya kongsikan  tentang persediaan pernikahan di sini berdasarkan
 apa yang telah dilalui  dan dari pengalaman teman-teman lain yang juga 
telah berumahtangga.
Kembali kepada ‘belajar bercakap’, bagi saya ia teramat penting. Bahasa modennya, berkomunikasi.
Sangat-sangat
 penting. Walau  sibuk bagaimana sekalipun, tidak ada kesempatan untuk 
berdua menatap  muka, jika kita ada masa untuk sms client tentang urusan
 yang berkaitan,  untuk emel report dan segala dokumen lain atas urusan 
kerja, maka  gunakanlah segala teknologi ini untuk menyusun seindah 
bicara  mengkomunikasikan harapan dan kehendak pada pasangan. Untuk 
meneguhkan  rumahtangga dalam pelayaran hidup yang sementara.
Bangunkan Komunikasi
Sebelum
 bernikah, ada di antara  kita yang begitu ‘menjaga’, hingga komunikasi 
tidak dibangunkan. Atau  minima sekali. Tidak berbincang dan tidak ada 
perkongsian tentang apa  dan bagaimana kehidupan suami isteri yang 
diharapkan.
Ada pula yang ‘tak menjaga’,  terlebih 
komunikasi – ungkapan rindu sayang bertali arus, hingga  komunikasi 
menjadi begitu intim mengalahkan intimnya komunikasi suami  isteri. 
Malah komunikasi yang keterlaluan membuka hati dan perasaan pada  
hubungan yang terlarang.
Maka sebelum bernikahan, kita  
berusaha membangun komunikasi yang pertengahan, bersederhana. Kuncinya, 
 ittaqilah (taqwa). Secara langsung atau tidak langsung.
Ungkapkan
 harapan dan  perancangan hidup kepada bakal suami atau isteri dengan 
kepercayaan dan  ketelusan. Kongsikan latar belakang keluarga, kelemahan
 dan keaiban diri  seadanya dalam berusaha membina penerimaan dan 
kefahaman. Luruskan  expectations yang meleset dari jangkauan supaya 
kelak tidak merasa  ‘tertipu’ dengan penampilan luaran pasangan.
Hal-hal
 yang dikomunikasikan  sebelum dan di awal-awal pernikahan adalah 
teramat penting dalam  menentukan arah tuju kebahagiaan rumahtangga yang
 dibina.
Kita mungkin biasa terdengar, salah satu faktor utama perceraian ialah kegagalan komunikasi berkesan.
Komunikasi berkesan…apakah ini…? Complicated sangatkah?
Ya,
 perkahwinanan akan jadi  complicated bila kita tak pandai bercakap – 
tak pandai menyuarakan  keinginan dan tak pandai menyuarakan 
ketidakpuasan hati tentang  rumahtangga dan pasangan.
Bangunkan Keserasian
Kita
 susah nak ‘serasi bersama’  suami isteri jika tidak tahu bagaimana 
menyatakan penghargaan dan  kekecewaan. Banyak perkara ingin diluah, tak
 terluah. Tak tahu cara yang  betul atau memang tak suka nak berkongsi. 
Dan, banyak juga yang tak  sepatutnya disebut dan diungkapkan, telah 
menjadi ayat dan bait-bait  kata yang mencederakan perasaan pasangan.
Tidak
 di lupakan juga, lelaki  dan perempuan ‘bahasanya’ berbeza walaupun 
maksudnya sama. Bukalah  buku-buku tentang cara berkomunikasi lelaki dan
 perempuan.
Pada lelaki, bukalah ‘women’s dictionary’.
Pada perempuan, belajarlah ayat-ayat yang berhikmah lagi berkesan untuk memuji atau menegur kesalahan suami.
Contoh lain dialog suami isteri:
“Takde apa..ok je..” jawab si isteri walau mukanya menunjukkan ‘ada apa-apa’.
“Oklah,
 kalau tak ada apa-apa,  abang pergi dulu, kawan-kawan abang dah 
tunggu…” maka suami pun  ‘selamba’ meninggalkan isteri yang mungkin ada 
masalah yang ingin  diluahkan kepada suami. Isteri menahan sendu dan 
airmata, suami keluar  dengan rasa tenang hati kerana merasakan 
‘semuanya ok, tak ada apa-apa’.
Wahai isteri, takkan pernah suami itu mampu membaca fikiranmu.. Jawablah dengan bahasa yang difahami lelaki.
Wahai suami, tanyalah penuh perhatian menunjukkan kepedulianmu..Belajarlah sedikit bahasa psikologi seorang isteri.
Tidak
 perlu salahkan sesiapa,  bukan salah sistem pendidikan yang tak pernah 
ajar tentang psikologi  pernikahan dan hubungan lelaki perempuan, bukan 
salah ibu ayah kita yang  sering bercakap dengan bahasa yang saling 
menjatuhkan – lalu kita pun  mengikut gaya bahasa sebegitu.. tapi..
TAPI..mulakanlah dengan diri kita, yang akan bernikah dan telah bernikah.
Muhasabahlah
 cara kita berkomunikasi dengan pasangan, adakah CARA kita  bercakap 
telah membantu menenangkannya, menggembirakan, memujuk, atau  CARA kita 
bercakap sering ‘membelasah’ dan ‘meremeh-remehkan’ pasangan  walaupun 
kita tak berniat nak meremeh-remehkannya, hingga hatinya  terhiris 
terluka.
Setelah dua tahun bernikah ini,  saya masih 
belajar meningkatkan komunikasi suami isteri. Selama dua  tahun bernikah
 ini, saya juga telah komunikasikan banyak benda kepada  suami. 
Komunikasi secara berdepan, melalui esemes (SMS) , wai-em (YM),  emel 
etc…
Minggu-minggu terakhir sebelum  bernikah, banyak 
pendedahan-pendedahan dari pihak suami kepada saya  (bakal suami waktu 
itu). Beliau secara telus mengungkap pengharapannya  kepada saya bakal 
isteri, beliau juga tidak segan mengkhabarkan  kelemahan dan keaiban 
diri buat persediaan untuk hidup bersama. Beliau  turut menceritakan 
perancangan-perancangan jangka pendek dan jangka  panjang setelah 
bernikah.
Ia tidak berhenti di situ.  Setelah bernikah, 
komunikasi itu perlu kita teruskan dengan jujur dan  hikmah. Setelah 
hidup berdua, sebumbung dan sekatil, kita makin  mengenali karakter 
pasangan, kita makin memahami erti hidup  berumahtangga.
Komunikasikan
 lagi apa yang  telah kita dapat dari pasangan dan rumahtangga sejak 
minggu-minggu dan  bulan-bulan awal , apa perkara yang kita syukuri pada
 ALLAH tentang  pasangan, apa perkara yang kita ingin diri kita dan 
suami perbaiki,  duduk bersama suami isteri memuhasabah tentang hubungan
 suami isteri  secara berkala – mingguan dan bulanan.
Mulakan Dari Awal perkahwinan
Di
  awal perkahwinan, menbina keserasian dengan komunikasi ini  
sangat-sangat penting. Wajib menyediakan masa untuk bercakap dari hati  
ke hati. Kita sedang membina sistem rumahtangga, kita sedang mencari  
kesefahaman, kita sedang ingin menumbuhkan penghormatan dan kasih sayang
  pada insan asing yang telah bergelar suami atau isteri kita.
Setiap
 sesuatu sikap dan  pemberian yang baik dari pasangan, kita hargai dan 
berterima kasih.  Walaupun ia amat kecil pada kita. Supaya pasangan kita
 tahu dirinya  telah berbuat sesuatu yang baik dan betul sebagai suami 
dan isteri.
Setiap sesuatu sikap dan  tindakan pasangan 
yang tidak kita sukai, kita perlu luahkan walau kita  bimbang dirinya 
akan berkecil hati dengan teguran kita. Supaya suami  atau isteri tahu, 
dirinya telah berbuat sesuatu yang pasangan tidak  selesa dan tidak 
gemari.
Yang boleh diubah, kita  perbaiki. Yang memang 
tidak boleh atau terlalu sukar untuk diubah, kita  terima dengan lapang 
hati. Ketika itulah rumahtangga mampu menjadi medan  kasih sayang dan 
amal bakti setulus hati. Komunikasi yang baik akan  melimpahkan 
keharmonian dan mendamaikan hati dalam melalui ujian dan  dugaan 
kehidupan seharian.
Sebelum bernikah, ya, kita tahu  di 
dalam sebuah rumahtangga akan ada elemen kewangan, hubungan intim,  
mertua-ipar duai, kerjaya, anak-anak, hobi, leisure, aktiviti dan  
tanggungjawab lainnya… tapi kita hanya akan faham tentang elemen-elemen 
 itu bila ia mula menimbulkan konflik dalam rumahtangga. Bila kita  
menghadapinya, ketika itulah kita akan mempraktikkan teori tentang  
pernikahan yang kita tahu.
Maka komunikasi teramat perlu untuk meredakan dan meluruskan konflik yang timbul.
Berkomunikasilah…bagaimana
  pendapatan suami isteri dan kewangan keluarga dibahagi-bahagikan. 
Supaya  suami isteri tak bersangka-sangka bahawa mereka hanya 
menghabiskan duit  untuk kepentingan sendiri. Supaya suami isteri boleh 
bersinergi  mengukuhkan bajet keluarga.
Berkomunikasilah…apa
 cabaran dan  kebaikan dalam pergaulan dengan mertua dan ipar duai. Jika
 tidak suka  atau tidak selesa dengan gelagat mertua atau ipar duai, 
nyatakan secara  jelas dan berhikmah pada pasangan. Jangan sekadar buat 
muka masam  mencuka dengan kehadiran mereka yang tidak disenangi, jangan
 mencela tak  tentu hala, namun duduk berbincang suami isteri, apa jalan
 tengah untuk  meluruskan isu ini.. Perjalanan pernikahan kita masih 
panjang, tidak  mungkin mampu kita hadapi jika perbalahan subur 
sentiasa.
Berkomunikasilah…untuk  mengindahkan hubungan 
intim suami isteri, untuk terus menyuburkan cinta  kasih sesama 
pasangan. Harus bagaimana untuk saling memuaskan pasangan,  harus 
bagaimana mencari masa berkualiti untuk bermanja-manja suami  isteri 
sewaktu urusan anak-anak, tekanan kerja dan kewangan tak pernah  jauh 
dari fikiran.
Pastinya komunikasi tentang  hubungan intim 
bukan di hadapan anak-anak, bukan sewaktu tengah lapar di  meja makan, 
bukan ketika fokus memandu, tapi ketika ada ruang  bermesra-mesra, 
ketika itulah sedikit-sedikit membina keserasian  hubungan seksual. 
Bukankah ada kajian menunjukkan kadang-kadang  bertahun-tahun baru suami
 isteri dapat menikmati hubungan seksual yang  memuaskan…?
Namun
 segala isu ini- kewangan,  keluarga mertua, hubungan intim etc - 
kuncinya, komunikasi. Supaya kita  tak menzalimi pasangan dalam 
hak-haknya. Supaya kita dapat mencicip  sediki kebahagian dalam 
rumahtangga yang kita bina bersama.
Akui Kesilapan Sendiri, Maafkan Pasangan SELALU
Nada
  bercakap, perkataan dan ayat-ayat yang terungkap dari bibir-bibir kita
  telah banyak mengguris hati pasangan bukan? Mungkin dengan  
perkataan-perkataan kita, hati pasangan telah terluka parah atau mungkin
  kelukaan kecil.
Maka usah bertangguh dan merasa  berat 
memohon maaf, kenali dan akui kesalahan-kesalahan kita pada  
pasangan..mohonlah maaf kerana ALLAH. Maafkanlah pasangan..kerana ALLAH.
  Saya teringat sebuah pepatah:
Perkahwinan yang bahagia itu, lahir dari suami isteri yang suka memaafkan.
Ya,
 kerana kita bernama manusia  tidak berhenti melakukan kesilapan 
perkataan dan tindakan. Berusaha yang  terbaik memperbaiki diri, dan 
maafkan saja perkara-perkara yang amat  sukar diperbaiki.
Saya
 rasa seperti baru semalam  bernikah, dengan cinta dan rindu yang selalu
 ada pada suami. Nah, bukan  cinta rindu ini sentiasa ada kerana tak ada
 konflik, konflik mingguan  dan bulanan memang ada untuk kita semua...
Saya
 juga perempuan seperti  kalian, ada masa duduk di kerusi isteri yang 
bagus lagi menenangkan :P  dan ada masanya di kerusi isteri yang suka 
membesarkan masalah kerana  mengikut melulunya perasaan… :(
Namun
 bila sering konflik besar  dan kecil datang menduga – bila 
konflik-konflik ini kita luruskan dengan  komunikasi yang baik, kasih 
sayang akan makin berkembang segar. Kita  merasa difahami, pasangan 
merasai disayangi, malah komunikasi yang baik  membawa dua-dua suami 
isteri melalui kehidupan yang damai dan harmoni  walau hujan masalah 
secara berkala menimpa.
Justeru,  Berkomunikasi untuk serasi, dan berkomunikasi untuk menjadi lebih baik sebagai suami dan isteri!
Sumber: http://sisi-kehidupan.blogspot.com/