24 Oktober 2012
Apabila Agama Menghakis Tuhan
Oleh: Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Ramai pelajar pulang ke tempat masing-masing sempena Krismas. Oxford lengang dari pelajar. Hanya tinggal orang tempatan dan pelancung. Ataupun, orang yang tidak pulang ke tempat mereka seperti saya. Ini tidak ramai. Krismas bagaikan hariraya di tempat kita.
Setiap orang pulang berjumpa keluarga masing-masing. Ramai pasangan di sini yang tidak berkahwin mereka hanya ‘partner’. Oleh kerana sambutan Krismas lebih kepada nilai kekeluargaan, maka setiap orang pulang menemui keluarga sendiri. Ada yang pulang ke Perancis, ada yang ke Jerman, ke Austria, ke Russia dan pelbagai negara.
Pada hari Krismas ramai yang akan ke gereja, walaupun ramai mereka itu tidak pergi pada setiap Ahad. Krismas bagaikan satu tradisi yang tidak semestinya mewakili keimanan, tetapi satu perayaan. Masyarakat kita pun bukan sedikit yang sebegitu pada hariraya.
Agama itu kadang-kala sebagai saluran bersosial bukan semestinya satu kepercayaan yang pasti. Maka jangan hairan jika novelis tersohor Graham Greene yang banyak menulis berasaskan pegangan Catholic menyifatkan dirinya sebagai seorang penganut Catholic yang tidak mempercayai Tuhan. Betapa ramai yang sepertinya.
Oxford dan Charles Darwin tidak dapat dipisahkan. Darwin dirayakan dan dinobatkan di sini. Pada tahun 1860, satu debat agung berlaku antara bishop Oxford Samuel Wilberforce dengan Thomas Huxley yang merupakan seorang biologist dan orang kanan Darwin. Apabila Wilberforce bertanya apakah Huxley sanggup mengaku datuk neneknya monyet? Huxley menjawab bahawa dia tidak malu untuk mempunyai datuk nenek monyet tetapi malu mempunyai hubungan dengan seseorang yang seperti Wilberforce yang menggunakan kelebihannya menghalang kebenaran.
Apakah Itu Agama?
Pun begitu tidak dinafikan bahawa masih ramai yang mempercayai ajaran Kristian namun versi yang pelbagai. Perdana Menteri Britian, David Cameron minggu lepas mengistiharkan Britian sebagai Negara Kristian dan beliau berharap agar ahli politik dan gereja tidak keberatan untuk mengungkapkan hal tersebut. Memang agak ganjil sebab dalam banyak hal mereka cuba mengasingkan agama dari ruangan awam (public space), tapi mereka juga mengisytiharkan negara mereka negara agama. Ini disebabkan maksud agama itu mungkin berbeza dari yang kita hayati, ataupun itu satu kenyataan yang mempunyai agenda politik yang tersendiri.
Kawan saya Elizabeth Syrkin seorang yang berketurunan campuran. Bapanya kristian ortodoks dari Rusia, sementara ibunya seorang yahudi. Sempena Krismas ini beliau ke Perancis bertemu keluarganya di sana. Saya bertanya beliau apakah persiapan beliau untuk Krismas? Beliau berkata bahawa beliau sebenarnya tidak mempercayai kewujudan Tuhan. Sebab itu, beliau hanya merayakan Krismas ala-ala kadar sahaja. Padahal Krismas itu perayaan atas asas agama. Ternyata bukan semua yang merayakan Krismas, mempercayai Tuhan, apatah lagi untuk mempercayai Jesus. Agama bukan menjadi begitu ‘ceroi’ jika gagal menghadapi perkembangan moden ini.
Apakah maksud agama pada mereka? Apakah ia sekadar perayaan, atau suatu kepercayaan yang jazam tentang rukun keimanan bagi agama itu. Ternyata, di Barat ini memakai baju dan lambang agama, atau merayakan perayaan belum tentu seseorang itu mempercayai agama berkenaan. Dalam konteks ini, Kristianiti.
Kemudian, kepercayaan kepada Tuhan juga tidak bererti seseorang mempercayai mana-mana agama secara khusus. Tuhan pada sebahagian mereka adalah ‘beyond religion’ atau merentasi segala agama. Pada mereka, Tuhan tidak boleh dipenjara dalam satu agama sahaja. Agama adalah bikinan manusia yang berkepentingan dan mempunyai latar sosial dan sejarah yang tersendiri.
Atheism
Atheism berkembang dalam dunia pada hari ini. Dikatakan 2.3 peratus penduduk dunia ini telah mengaku atheist. Bahkan ia sedang meningkat dengan hebat sehingga ada yang mendakwa 15 peratus sebenarnya atheist. Perkataan atheism adalah gabungan dua komponen Greek. A, bermaksud tanpa dan theism bermaksud kepercayaan kepada Tuhan atau tuhan-tuhan.
Etheism mempunyai sejarah yang sangat lama, lebih dua ribu tahu iaitu sejak kemunculan tokoh-tokoh falsafah Greek dan Rom lagi. Tiga tokoh besar silam etheism Epicurus, Diagoras dan Lucretius. Namun, sejak kebelakangan ini dengan kemunculan tokoh-tokoh baru seperti saintis Richard Dawkins dengan buku ‘The God Delusion’ dan seumpamanya telah menyemarakkan perkembangan ‘agama baru ini’. Hari ini golongan atheist ini juga menganggap mereka sebagai satu agama yang tersendiri atas asas mereka juga mempunyai sistem kepercayaan mereka.
Hal-hal ini berlaku disebabkan agama Kristian khususnya telah gagal memberikan jawapan kepada banyak persoalan saintifik dan falsafah yang dibangkitkan. Kegagalan memberikan jawapan yang tuntas dan tindakan gereja yang suka menghukum sesiapa yang berbeza tanpa memberikan jawapan kepada persoalan yang timbul telah mengikis kepercayaan awam terhadap agama dan kadang-kala sekaligus kepada kewujudan Tuhan itu sendiri.
Seperti yang kita tahu, Galileo Galilei seorang ahli fizik, matematik dan astronomi (1564-1642) telah dihukum oleh gereja. Bukunya disenarai ‘haram’kan oleh pihak gereja sehingga tahun 1835. Namun, pada tahun 1992, Pope John Paul II dalam usaha untuk me’relevan’kan agama Kristian yang makin mendapat kritikan, beliau telah membuat kenyataan umum menyesali tindakan dan layanan gereja terhadap Galileo.
Apabila menyebut kisah ini saya selalu teringatkan tindakan pihak berkuasa agama di Malaysia mengharamkan beberapa buku yang tidak serasi dengan mereka. Sebahagian buku itu tidak ada bukti jelas bercanggah dengan Islam seperti buku ‘Pelik Tapi Benar’ tulisan Ustaz Abdul Rahman Mohamed dari Singapura. Tanpa ada sebarang dalil putus, pihak jawatankuasa agama di Malaysia mengharamkan buku seperti ini. Hanya kerana ‘tidak sama selera’.
Lebih malang, yang mengharamkan itupun tiada sebarang karya ilmiah yang boleh diangkat. Malaysia, perlu berubah. Ada banyak pengurusan kita yang perlu dirombak. Jika tidak, krisis permusuhan atas nama agama yang dipergunakan akan terus berlarutan. Kita patut mengambil iktibar apa yang telah berlaku kepada gereja.
Islam dalam sejarahnya tidak memusuhi ilmu. Bahkan Islam agama dialog dan hujah. Berapa banyak ayat-ayat dalam al-Quran yang mengajak kepada dialog dan memerhatikan ciptaan alam. Tidak seperti Kristianiti, sains berkembang di bawah Islam. Antara kurun kelapan dan keempat belas, saintis muslim telah begitu tekun mengembangkan sains. Dunia tidak dapat menafikan sumbangan agung tersebut sehingga dipanggil Islam’s Golden Age.
Berfikir
Banyak nas-nas al-Quran yang menggesakan penelitian terhadap alam dan menjadikan itu sebagai tanda-tanda kebesaran Allah. Berulang setiap kali Allah menceritakan kejadian alam dan memberikan ruang berfikir kepada manusia. Allah menyatakan
“yang demikian itu bukti-bukti (kebesaran Allah) bagi mereka yang berfikir” (ar-Ra’d: 3, ar-Rum: 21, az-Zumar: 42),
juga disebut:
“yang demikian itu bukti-bukti (kebesaran Allah) bagi mereka yang berakal” (ar-Ra’d: 4, an-Nahl: 12, ar-Rum 24),
atau disebut:
“yang demikian itu bukti-bukti (kebesaran Allah) bagi mereka yang beriman” (an-Nahl: 79, an-Naml: 86, al-‘Ankabut: 24, ar-Rum: 37, a-Zumar: 52),
atau disebut:
“yang demikian itu bukti-bukti (kebesaran Allah) bagi mereka yang mahu mendengar” (Yunus: 67, ar-Rum: 23, as-Sajdah: 26) ,
atau disebut:
“yang demikian itu bukti-bukti (kebesaran Allah) bagi mereka yang berakal matang” (Taha: 54, 128),
dan seterusnya.
Jika umat Islam mengamalkan Islam yang sebenar, bersedia mengemukakan hujah, dialog, alasan dan perbincangan yang matang, maka secara lojiknya atheism tidak akan berkembang dalam masyarakat Islam. Bahkan, kepercayaan kepada agama juga tidak akan terhakis dengan perkembangan falsafah dan sains disebabkan Islam itu agama hujah.
Namun, malang sekali, pihak yang menguruskan Islam ini banyak yang mengambil sikap gereja di zaman kegelapannya, sehingga cenderung mengharam dan menghukum sebelum berdialog dan berbincang. Agama ini banyak diambil kesempatan oleh golongan yang dangkal akal tetapi menggunakan Islam untuk menonjolkan diri. Inilah yang berlaku termasuk di negara kita. Ramai golongan agama yang gagal berdialog secara matang, membakar emosi orang awam yang terikut-ikut atas nama slogan agama.
Lihat saja, sejak sekian lama laungan takbir ‘Allahu Akbar’ digunakan oleh golongan politik sekalipun ketika memaki hamun dan sumpah seranah terhadap orang lain. Nama Allah Yang Maha Besar dihina secara tidak langsung. ‘Allahu Akbar’ mengiringi kata-kata nista dan kejumudan akal. Inilah juga yang berlaku baru-baru ini apabila Pemuda UMNO Petaling Jaya bertakbir selepas mengugut untuk menampar dan meludah mahasiswa. Agama juga yang menjadi mangsa.
Islam mesti bergerak dalam dimensi yang baru. Era ini menuntut pendekatan baru disebabkan cabaran baru. Penolakan terhadap Tuhan atau mungkin menolak agama secara khusus akan berlaku jika muslim gagal menguruskan dakwah Islam di era ini. Ambil iktibar apa yang berlaku di Barat.
Sumber: http://drmaza.com/
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
comment here