Assalamualaikum...
Suami ku yang disayangi,
Surat
ini ku tulis dengan hati yang terus menerus berdoa agar kau dan aku
berjaya mengatasi apa jua halangan dalam perjalanan kita mendapat
keredaan Allah. Hingga kini aku terus yakin jika kita mencari kebaikan,
insya-Allah, Allah akan memberikannya.
Terlebih
dahulu ingin aku nyatakan bahawa dalam apa jua pergolakan dan ujian
yang telah berlaku sepanjang kita berumah tangga, aku tetap menghormati
mu. Walaupun ada masanya sikap dan kata-kataku terlanjur dan terkasar,
itu bukanlah kerana aku sudah tidak menghormatimu apatah lagi
membencimu… tetapi semua itu kerana terlalu sayang. Aku tidak mahu
kehilangan dirimu sebagai seorang suami seperti mana anak-anak kita juga
tidak mahu kehilangan kasih-sayang seorang ayah.
Maafkan
aku. Akulah yang lebih banyak bersalah dan tidak bijak menghadapi
ujian rumah tangga ini. Sesungguhnya sejak dari dulu hingga sekarang
aku menagih pimpinan dan panduanmu. Pimpinlah aku untuk menjadi isteri
yang solehah dan ibu yang baik kepada anak-anak kita. Aku tidak mahu
berpisah dengan semua kesayangan ku ini. Oleh sebab itu aku merayu agar
aku terus disayangi, dilindungi, dipercayai dan dipimpin untuk menjadi
wanita yang benar-benar menjadi penyeri hidup seorang suami dan
anak-anak.
Kebahagiaan kita sekeluarga
berada di tangan mu. Dikaulah yang menjadi peneraju dan nakhoda rumah
tangga ini. Aku tahu tugas dan amanah ini sangat berat. Ia menagih
keikhlasan, keimanan dan kejujuran yang tinggi daripada mu. Aku sedar
apa yang akan ditanyakan Allah di Hari Akhirat kelak kepada seorang
suami sebagai pemimpin jauh lebih berat dan sukar dijawab berbanding
pertanyaan Allah kepada seorang isteri. Aku tahu tangung jawab mu
sangat berat. Jadi aku sentiasa sedia dan setia berada di sisi mu untuk
sama-sama mengharungi kepayahan ini.
Marilah
sama-sama kita insafi bahawa hakikatnya umur kita kian bertambah,
upaya dan tenaga kita semakin kurang, tetapi perjalanan kita masih jauh
dan beban kita semakin memberat. Amanah yang ada pun belum selesai
kita tunaikan, apatah lagi untuk menambah beban yang baru. Aku bimbang…
kita berdua akan kecundang.
Oleh
sebab itulah aku sering mengingatkan diriku dan dirimu, marilah kita
kembali menilai peranan dan tanggung jawab kita masing-masing. Aku
sebagai seorang isteri dan kau sebagai seorang suami… Marilah kita
sama-sama bermuhasabah, apakah kiita telah melaksanakan amanah yang kita
janjikan di hadapan Allah ketika kita mula bernikah dahulu?
Pernikahan
disamakan dengan mendirikan masjid. Begitu sucinya ikatan perkahwinan
dalam Islam. Ia bukan dibuat hanya kerana untuk melepaskan hawa nafsu
semata-mata. Jika itulah sahaja niat kita berkahwin, maka apakah yang
membezakan manusia dengan haiwan? Tetapi sebaliknya, Islam meletakkan
hubungan sah antara suami dan isteri sebagai suatu yang sangat tinggi
dan suci.
Ia bukan sahaja perkongsian
fizikal, tetapi perkongsian fikiran, perasaan dan jiwa untuk sama-sama
berbakti kepada Allah. Rumah tangga hakikatnya adalah sebuah masjid… Di
dalam masjid orang solat, berzikir, membaca Al Quran, mendengar
tazkirah kuliah dan laian-lain ibadah.
Aku
rindukan semua itu. Tetapi kerinduan itu tidak akan kesampaian tanpa
bimbangan darimu. Aku lemah wahai suami ku. Pimpinlah aku untuk mendapat
kasih sayang Allah melalui aliran kasih sayangmu. Engkaulah harapan
aku dan anak-anak. Kami hakikatnya telah diserahkan oleh Allah sebagai
amanah kepada dirimu untuk disayangi di dunia dan di akhirat. Janganlah
disia-siakan amanah ini. Kelak buruk padahnya kepada kami dan kepada
mu jua. Relakah engkau melihat kami terkapa-kapa di dunia ini tanpa
pimpinan? Dan di akhirat terhumban ke neraka yang penuh seksaan?
Suami ku,
Atas
kebimbangan itu kekadang aku jadi cemburu. Bila ku lihat langkah dan
sikap mu sedikit terbabas, aku menjadi sangat cemas. Bila ku lihat kau
seakan-akan berubah, aku menjadi sangat gelisah. Bukan kerana benci,
tetapi kerana sayang. Mengapa tidak? Bukankah di tangan kamu kemudi
rumah tangga ini.
Kesilapan dan
kesalahan mu sangat buruk akibatnya kepada kita sekeluarga. Jadi,
fahamilah hati isteri mu ini wahai suami ku… Curiga ku bukan kerana
prasangka. Cemburu ku bukan kerana melulu. Jauh sekali untuk mengawal
dan memperbudak-budakan. Tetapi sekadar ingin mengingatkan bahawa
kebakaran yang memusnahkan selalunya berpunca hanya daripada percikan
api!
Di antara kita adalah Allah.
DIAlah zat yang Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha Adil. Manusia
tidak akan dapat mengawal dan memantau manusia lain setiap masa dan
ketika. Kini aku pasrah kepada Allah. Aku lelah dan kalah untuk
meneliti dan memeriksa di seluruh penjuru. Aku tidak dapat mengawal hati
mu dan kau juga tidak dapat mengawal hatiku.
Hati
kita berdua, Allahlah yang menjadi pemantaunya. Menyedari hakikat ini,
aku kini hanya fokus untuk memperbaiki diri. Aku ingin memperbaiki
hubunganku dengan Allah dan memperbaiki hubunganku dengan sesama
manusia. Aku yakin Allah tidak akan mengecewakanku. Dan aku juga yakin
Allah akan terus memberi kebaikan-Nya kepadaku melalui dirimu.
Marilah
sama-sama kita perbaiki diri kita atas keyakinan rumah tangga ini
perlu terus diselamatkan dan dimeriahkan. Jika benar itu masih menjadi
harapan dan keyakinan kita, insya-Allah, pasti Allah akan tunjukkan
jalan-jalan-Nya. Dalam hidup ini kita tidak boleh dapat semua perkara
dalam satu masa. Bila kita mendapat sesuatu, pasti pada masa yang sama
kita akan kehilangan sesuatu yang lain. Jadi marilah sama-sama kita
pastikan apa yang kita dapat lebih berharga dan lebih baik berbanding
apa yang kita terpaksa lepaskan.
Oleh
itu jika kita ingin mendapat rumah tangga yang bahagia, kita terpaksa
belajar ‘melepaskan’ perkara-perkara lain. Rumah tangga kita adalah
keutamaan. Ia amanah Allah, harapan kita dan anak-anak kita. Sebaliknya,
segala kesukaan atau keseronokan kita yang lain mungkin terpaksa kita
korbankan demi membina kebahagiaan ini.Inilah pengorbanan.
Tanpa
pengorbanan tidak akan ada kebahagaiaan. Kita akan rela dan tega
berkorban jika kita benar-benar inginkan rumah tangga ini berjaya. Jika
tidak, kita terpaksalah mengorbankan rumah tangga ini… Apakah ini
berbaloi? Tidakkah ini seperti kata pepatah, yang dikejar tak dapat,
yang dikendong berciciran? Atau mendengar guruh di langit, air tempayan
dicurahkan?
Suami ku,
Tipuan
dunia dan godaan nafsu ini sangat memberangsangkan. Syaitan sentiasa
menghias bibit-bibit dosa-dosa dengan segala keindahan dan kecantikan.
Sekali kita terjerumus, payah untuk bebas kembali. Selagi yang diburu
tidak tercapai, selagi itulah kita lelah mengejarnya. Tetapi setelah
kita mendapat, ada yang lain pula datang menggoda. Apa yang ada jarang
disyukuri, apa yang tiada itulah yang kita risaukan. Kita akan lesu
kerana asyik memburu.
Mengejar nafsu
itu bagai mengejar bayang-bayang. Dilihat ada tetapi apabila digenggam
ia hilang… di hujung percarian itu pasti ada lesu dan jemu. Kehendak
nafsu tidak ada batas dan tidak pernah puas. Padahal kematian itu boleh
datang tiba-tiba. Relakah kita tertipu mengejar fatamorgana hanya
kerana dari jauh ia kelihatan umpama air yang tergenang?
Aku
mengingatkan diri ku dan diri mu kerana sayang. Aku selalu bertanya
pada diri sendiri, relakah aku mengorbankan rumah tangga ini hanya untuk
mengejar sesuatu yang tidak pasti? Aku terpaksa melepaskan salah
satunya. Dan insya-Allah, buat selamanya aku lebih sanggup melepaskan
apa dan sesiapa sahaja, asalkan jangan melepaskan kebahagiaan rumah
tangga ku. Itulah yang ada di hatiku. Dan itulah jua yang aku harapkan,
doakan ada dalam hati mu.
Jika dalam
surat ini ada kesedihan… ia bukan kekecewaan tetapi itu hanya harapan.
Jika dalam surat ini ada teguran… itu bukan kebencian tetapi itu hanya
peringatan, buat ku dan buat mu jua. Namun, ku akui dalam surat ini
terlalu banyak doa dan harapan. Doa ku hanya pada Ilahi. Dan harapan ku
tetap untuk mu suami. Jika air mata itu berkesan, nescaya akan tulis
surat ini dengan air mata. Bukan air mata kecewa tetapi air mata
harapan…
Ku harap kau membaca surat ini
dengan hati yang terbuka. Bayangkan semula harapan dan cita-cita kita
seawal kita memutuskan untuk berkahwin dahulu. Saat indah itu telah
berlalu tetapi keindahan itu akan menjelma semula dalam bentuk baru
jika kita berusaha untuk merealisasikannya. Dalam perkahwinan yang
baik, seorang lelaki dan wanita sentiasa mencari ruang dan peluang
untuk memperbaiki dirinya demi orang yang disayanginya.
Dan
sekalipun dalam perkahwinan yang paling bermasalah, penawar yang
mujarab adalah kebenaran. Menyatakan kebenaran kepada pasangan adalah
kaedah terbaik untuk membuktikan cinta adalah lebih utama daripada satu
pendustaan!
Mohon berundur dulu.
Pasangan yang bahagia bukanlah tidak pernah membuat kesilapan. Tetapi
mereka tetap bahagia kerana mereka sentiasa belajar mengakui kesilapan
itu dan belajar daripadanya… dan akhirnya melupakannya! Itulah aku
kini. Ku akui kesilapan ku dan aku sedang memperbaikinya dan aku ingin
melupakannya…
Suami ku, aku masih menaruh harapan. Insya-Allah, kau masih sudi membantu aku untuk itu! Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
comment here