22 November 2012

Suami Isteri: Belajar bercakap...


Oleh: Nurul Adni Adnan


 Isteri A berkongsi, sebagai seorang student yang berjumpa suami jarang-jarang...

“Dah lah jarang berjumpa, bila jumpa, suami tak tanya pun khabar saya..” luah isteri ini yang baru sebulan dua bernikah.

"Suami tahu tak…?” tanya saya.

"Takkan itu pun nak bagitahu…?" jawabnya.

Isteri B pula berkongsi, banyak perkara-perkara 'kecil' yang dia suka suaminya lakukan..antaranya,

"Bila keluar pergi kerja, saya suka kalau suami cium saya..”

"Suami tahu tak..?" tanya saya.

“Malulah nak bagitahu…”jawabnya.


Jangan Abaikan Perkara Kecil


“Perkara kecil” seperti tanya khabar ‘Sayang apa khabar?’ dan ‘sepotong ciuman’ ini adalah antara perkara yang perlu dikomunikasikan, jika tidak hal yang kelihatannya kecil ini perlahan-lahan memudarkan cinta di hati pasangan. Isteri rasa tak disayangi, padahal banyak lagi kebaikan dan bentuk kasih sayang suami padanya.


Belajar Bercakap

“Saya banyak belajar dari perceraian ini walaupun perit.. di awal-awal perkahwinan dulu kami terlalu sibuk dengan kerja, hingga banyak perkara tak sempat dikomunikasikan dengan baik. Kami selalu berselisih pendapat…” luah seorang isteri yang berakhir pernikahannya setelah 3 tahun.

“Belajar bercakap…” maka itulah jawapan saya apabila ditanya oleh seorang teman yang bakal menginjak kaki ke alam pernikahan, 'apakah persediaan sebelum bernikah?'

Saya bukanlah orang yang arif lagi berpengalaman luas tentang pernikahan, apatah lagi pernikahan sendiri yang baru mencecah usia dua tahun. ‘Masih belum menghadap realiti’, kata sesetengah orang. Biasanya, setahun dua usia pernikahan dikatakan masih di fasa ‘honeymoon’, jadi masih banyak perkara yang kita tidak nampak dan lalui.

Jadi saya hanya kongsikan tentang persediaan pernikahan di sini berdasarkan apa yang telah dilalui dan dari pengalaman teman-teman lain yang juga telah berumahtangga.

Kembali kepada ‘belajar bercakap’, bagi saya ia teramat penting. Bahasa modennya, berkomunikasi.

Sangat-sangat penting. Walau sibuk bagaimana sekalipun, tidak ada kesempatan untuk berdua menatap muka, jika kita ada masa untuk sms client tentang urusan yang berkaitan, untuk emel report dan segala dokumen lain atas urusan kerja, maka gunakanlah segala teknologi ini untuk menyusun seindah bicara mengkomunikasikan harapan dan kehendak pada pasangan. Untuk meneguhkan rumahtangga dalam pelayaran hidup yang sementara.


Bangunkan Komunikasi

Sebelum bernikah, ada di antara kita yang begitu ‘menjaga’, hingga komunikasi tidak dibangunkan. Atau minima sekali. Tidak berbincang dan tidak ada perkongsian tentang apa dan bagaimana kehidupan suami isteri yang diharapkan.

Ada pula yang ‘tak menjaga’, terlebih komunikasi – ungkapan rindu sayang bertali arus, hingga komunikasi menjadi begitu intim mengalahkan intimnya komunikasi suami isteri. Malah komunikasi yang keterlaluan membuka hati dan perasaan pada hubungan yang terlarang.

Maka sebelum bernikahan, kita berusaha membangun komunikasi yang pertengahan, bersederhana. Kuncinya, ittaqilah (taqwa). Secara langsung atau tidak langsung.

Ungkapkan harapan dan perancangan hidup kepada bakal suami atau isteri dengan kepercayaan dan ketelusan. Kongsikan latar belakang keluarga, kelemahan dan keaiban diri seadanya dalam berusaha membina penerimaan dan kefahaman. Luruskan expectations yang meleset dari jangkauan supaya kelak tidak merasa ‘tertipu’ dengan penampilan luaran pasangan.

Hal-hal yang dikomunikasikan sebelum dan di awal-awal pernikahan adalah teramat penting dalam menentukan arah tuju kebahagiaan rumahtangga yang dibina.

Kita mungkin biasa terdengar, salah satu faktor utama perceraian ialah kegagalan komunikasi berkesan.

Komunikasi berkesan…apakah ini…? Complicated sangatkah?

Ya, perkahwinanan akan jadi complicated bila kita tak pandai bercakap – tak pandai menyuarakan keinginan dan tak pandai menyuarakan ketidakpuasan hati tentang rumahtangga dan pasangan.


Bangunkan Keserasian

Kita susah nak ‘serasi bersama’ suami isteri jika tidak tahu bagaimana menyatakan penghargaan dan kekecewaan. Banyak perkara ingin diluah, tak terluah. Tak tahu cara yang betul atau memang tak suka nak berkongsi. Dan, banyak juga yang tak sepatutnya disebut dan diungkapkan, telah menjadi ayat dan bait-bait kata yang mencederakan perasaan pasangan.

Tidak di lupakan juga, lelaki dan perempuan ‘bahasanya’ berbeza walaupun maksudnya sama. Bukalah buku-buku tentang cara berkomunikasi lelaki dan perempuan.

Pada lelaki, bukalah ‘women’s dictionary’.

Pada perempuan, belajarlah ayat-ayat yang berhikmah lagi berkesan untuk memuji atau menegur kesalahan suami.

Contoh lain dialog suami isteri:

“Takde apa..ok je..” jawab si isteri walau mukanya menunjukkan ‘ada apa-apa’.

“Oklah, kalau tak ada apa-apa, abang pergi dulu, kawan-kawan abang dah tunggu…” maka suami pun ‘selamba’ meninggalkan isteri yang mungkin ada masalah yang ingin diluahkan kepada suami. Isteri menahan sendu dan airmata, suami keluar dengan rasa tenang hati kerana merasakan ‘semuanya ok, tak ada apa-apa’.

Wahai isteri, takkan pernah suami itu mampu membaca fikiranmu.. Jawablah dengan bahasa yang difahami lelaki.

Wahai suami, tanyalah penuh perhatian menunjukkan kepedulianmu..Belajarlah sedikit bahasa psikologi seorang isteri.

Tidak perlu salahkan sesiapa, bukan salah sistem pendidikan yang tak pernah ajar tentang psikologi pernikahan dan hubungan lelaki perempuan, bukan salah ibu ayah kita yang sering bercakap dengan bahasa yang saling menjatuhkan – lalu kita pun mengikut gaya bahasa sebegitu.. tapi..

TAPI..mulakanlah dengan diri kita, yang akan bernikah dan telah bernikah.

Muhasabahlah cara kita berkomunikasi dengan pasangan, adakah CARA kita bercakap telah membantu menenangkannya, menggembirakan, memujuk, atau CARA kita bercakap sering ‘membelasah’ dan ‘meremeh-remehkan’ pasangan walaupun kita tak berniat nak meremeh-remehkannya, hingga hatinya terhiris terluka.

Setelah dua tahun bernikah ini, saya masih belajar meningkatkan komunikasi suami isteri. Selama dua tahun bernikah ini, saya juga telah komunikasikan banyak benda kepada suami. Komunikasi secara berdepan, melalui esemes (SMS) , wai-em (YM), emel etc…

Minggu-minggu terakhir sebelum bernikah, banyak pendedahan-pendedahan dari pihak suami kepada saya (bakal suami waktu itu). Beliau secara telus mengungkap pengharapannya kepada saya bakal isteri, beliau juga tidak segan mengkhabarkan kelemahan dan keaiban diri buat persediaan untuk hidup bersama. Beliau turut menceritakan perancangan-perancangan jangka pendek dan jangka panjang setelah bernikah.

Ia tidak berhenti di situ. Setelah bernikah, komunikasi itu perlu kita teruskan dengan jujur dan hikmah. Setelah hidup berdua, sebumbung dan sekatil, kita makin mengenali karakter pasangan, kita makin memahami erti hidup berumahtangga.

Komunikasikan lagi apa yang telah kita dapat dari pasangan dan rumahtangga sejak minggu-minggu dan bulan-bulan awal , apa perkara yang kita syukuri pada ALLAH tentang pasangan, apa perkara yang kita ingin diri kita dan suami perbaiki, duduk bersama suami isteri memuhasabah tentang hubungan suami isteri secara berkala – mingguan dan bulanan.


Mulakan Dari Awal perkahwinan

Di awal perkahwinan, menbina keserasian dengan komunikasi ini sangat-sangat penting. Wajib menyediakan masa untuk bercakap dari hati ke hati. Kita sedang membina sistem rumahtangga, kita sedang mencari kesefahaman, kita sedang ingin menumbuhkan penghormatan dan kasih sayang pada insan asing yang telah bergelar suami atau isteri kita.

Setiap sesuatu sikap dan pemberian yang baik dari pasangan, kita hargai dan berterima kasih. Walaupun ia amat kecil pada kita. Supaya pasangan kita tahu dirinya telah berbuat sesuatu yang baik dan betul sebagai suami dan isteri.

Setiap sesuatu sikap dan tindakan pasangan yang tidak kita sukai, kita perlu luahkan walau kita bimbang dirinya akan berkecil hati dengan teguran kita. Supaya suami atau isteri tahu, dirinya telah berbuat sesuatu yang pasangan tidak selesa dan tidak gemari.

Yang boleh diubah, kita perbaiki. Yang memang tidak boleh atau terlalu sukar untuk diubah, kita terima dengan lapang hati. Ketika itulah rumahtangga mampu menjadi medan kasih sayang dan amal bakti setulus hati. Komunikasi yang baik akan melimpahkan keharmonian dan mendamaikan hati dalam melalui ujian dan dugaan kehidupan seharian.

Sebelum bernikah, ya, kita tahu di dalam sebuah rumahtangga akan ada elemen kewangan, hubungan intim, mertua-ipar duai, kerjaya, anak-anak, hobi, leisure, aktiviti dan tanggungjawab lainnya… tapi kita hanya akan faham tentang elemen-elemen itu bila ia mula menimbulkan konflik dalam rumahtangga. Bila kita menghadapinya, ketika itulah kita akan mempraktikkan teori tentang pernikahan yang kita tahu.

Maka komunikasi teramat perlu untuk meredakan dan meluruskan konflik yang timbul.

Berkomunikasilah…bagaimana pendapatan suami isteri dan kewangan keluarga dibahagi-bahagikan. Supaya suami isteri tak bersangka-sangka bahawa mereka hanya menghabiskan duit untuk kepentingan sendiri. Supaya suami isteri boleh bersinergi mengukuhkan bajet keluarga.

Berkomunikasilah…apa cabaran dan kebaikan dalam pergaulan dengan mertua dan ipar duai. Jika tidak suka atau tidak selesa dengan gelagat mertua atau ipar duai, nyatakan secara jelas dan berhikmah pada pasangan. Jangan sekadar buat muka masam mencuka dengan kehadiran mereka yang tidak disenangi, jangan mencela tak tentu hala, namun duduk berbincang suami isteri, apa jalan tengah untuk meluruskan isu ini.. Perjalanan pernikahan kita masih panjang, tidak mungkin mampu kita hadapi jika perbalahan subur sentiasa.

Berkomunikasilah…untuk mengindahkan hubungan intim suami isteri, untuk terus menyuburkan cinta kasih sesama pasangan. Harus bagaimana untuk saling memuaskan pasangan, harus bagaimana mencari masa berkualiti untuk bermanja-manja suami isteri sewaktu urusan anak-anak, tekanan kerja dan kewangan tak pernah jauh dari fikiran.

Pastinya komunikasi tentang hubungan intim bukan di hadapan anak-anak, bukan sewaktu tengah lapar di meja makan, bukan ketika fokus memandu, tapi ketika ada ruang bermesra-mesra, ketika itulah sedikit-sedikit membina keserasian hubungan seksual. Bukankah ada kajian menunjukkan kadang-kadang bertahun-tahun baru suami isteri dapat menikmati hubungan seksual yang memuaskan…?

Namun segala isu ini- kewangan, keluarga mertua, hubungan intim etc - kuncinya, komunikasi. Supaya kita tak menzalimi pasangan dalam hak-haknya. Supaya kita dapat mencicip sediki kebahagian dalam rumahtangga yang kita bina bersama.


Akui Kesilapan Sendiri, Maafkan Pasangan SELALU

Nada bercakap, perkataan dan ayat-ayat yang terungkap dari bibir-bibir kita telah banyak mengguris hati pasangan bukan? Mungkin dengan perkataan-perkataan kita, hati pasangan telah terluka parah atau mungkin kelukaan kecil.

Maka usah bertangguh dan merasa berat memohon maaf, kenali dan akui kesalahan-kesalahan kita pada pasangan..mohonlah maaf kerana ALLAH. Maafkanlah pasangan..kerana ALLAH. Saya teringat sebuah pepatah:

Perkahwinan yang bahagia itu, lahir dari suami isteri yang suka memaafkan.

Ya, kerana kita bernama manusia tidak berhenti melakukan kesilapan perkataan dan tindakan. Berusaha yang terbaik memperbaiki diri, dan maafkan saja perkara-perkara yang amat sukar diperbaiki.

Saya rasa seperti baru semalam bernikah, dengan cinta dan rindu yang selalu ada pada suami. Nah, bukan cinta rindu ini sentiasa ada kerana tak ada konflik, konflik mingguan dan bulanan memang ada untuk kita semua...

Saya juga perempuan seperti kalian, ada masa duduk di kerusi isteri yang bagus lagi menenangkan :P dan ada masanya di kerusi isteri yang suka membesarkan masalah kerana mengikut melulunya perasaan… :(

Namun bila sering konflik besar dan kecil datang menduga – bila konflik-konflik ini kita luruskan dengan komunikasi yang baik, kasih sayang akan makin berkembang segar. Kita merasa difahami, pasangan merasai disayangi, malah komunikasi yang baik membawa dua-dua suami isteri melalui kehidupan yang damai dan harmoni walau hujan masalah secara berkala menimpa.

Justeru,  Berkomunikasi untuk serasi, dan berkomunikasi untuk menjadi lebih baik sebagai suami dan isteri!

Sumber: http://sisi-kehidupan.blogspot.com/

18 November 2012

Palestin: Tanggungjawab Persaudaraan Dan Kemanusiaan

Oleh: Prof. Dato' Dr. Mohd Asri Zainul Abidin


Pembunuhan ganas yang dilakukan oleh Yahudi Israel di Gaza, Palestin amat memilukan. Ia bukan sahaja mencabar perasaan persaudaraan Islam atau ukhuwwah islamiyyah kita, bahkan ia mencemar dan mengotori nilai kemanusiaan sejagat.

Ketika artikel ini ditulis sudah hampir 400 rakyat Gaza yang dibunuh kejam. Di mana Amerika yang kononnya berjuang memerangi pengganas? Pelindung Israel tersebut pantang ada kegiatan yang dianggap ganas yang dilakukan mereka yang mendakwa muslim terus sahaja dia akan besar-besarkan dan tindakan memeranginya secara membabi buta akan dilancarkannya.

Namun setiap kali Israel melakukan keganasan, dialah yang akan mempertahankannya. Tidak jika Amerika itu digelar syaitan. Bahkan ketika Gaza diserang ganas oleh Israel ketika ini, Bush mengistiharkan HAMAS itulah pengganas. Malanglah umat Islam jika masih ingin mengharapkan dari Amerika.

Demokrasi yang kononnya hendak dijuarai oleh Amerika di dunia Arab hanyalah permainan politik semata. Umpamanya Mesir, sekalipun tampuk kuasa yang ada pada hari ini meminggirkan demokrasi dan mengkhianatinya, namun tampuk tersebut terus dipertahankan oleh Amerika disebabkan berbagai kepentingannya.

Antaranya, Mesirlah pada hari ini yang menghalang kemasukan bantuan melalui sempadannya dengan Palestin. Sukar bagi syaitan berwatak malaikat. Saya tidak pasti dengan lobi Yahudi yang kuat dalam politik Amerika, apakah Obama akan mampu berbuat sesuatu?

Beberapa hari saya menyertai demontrasi membantah kekejaman Israel di hadapan Kedutaan Israel di London. Bersama saya Saudara Maszlee Malik yang sedang menyiapkan Ph.D di sini. Beliau banyak menulis dan membabitkan diri dalam isu-isu Palestin. Juga Saudara Wan Saiful Wan Jan, orang melayu yang aktif dalam politik British dan menjadi calon Parti Liberal Konservatif di UK ini.
Ramai yang menyertainya. Bukan sahaja orang Islam dan Arab, turut sertai juga mereka yang bukan muslim yang terdiri daripada ‘orang putih dan tidak putih’ UK ini. Dato’ Seri Shahidan Kassim yang sekali lagi datang ke London juga turut hadir.

Selama seminggu demonstasi berjalan di London. Bukan sahaja di hadapan Kedutaan Israel, orang ramai turut berdemontrasi di hadapan Kedutaan Mesir kerana negara tersebut menutup sempadannya untuk bekalan makanan dan ubatan disalurkan kepada rakyat Palestin.

Hari Sabtu (hari artikel ini ditulis) demontrasi besar di seluruh London akan diadakan. Bantahan dibuat untuk menyelamatkan rakyat Palestin. Ia melepasi batasan kepuakan atau kepartian yang sempit. Jika sesiapa yang hendak membantah Israel pun masih nak kempen parti, ternyata otaknya sama dengan Israel.

Demonstrasi sebegini, mempunyai peranannya yang tersendiri. Saya juga mengharapkan umat Islam dan masyarakat dunia mengadakannya. Ya, bagi umat Islam sepatutnya tugasan kita lebih besar daripada sekadar tunjuk perasaan. Kita diwajibkan membantu saudara seislam kita yang ditindas atau dikejami dengan harta dan nyawa kita.

Firman Allah: (maksudnya)
“Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas yang terdiri daripada kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya zalim, dan jadikanlah bagi kami daripada pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh). Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan taghut (pelampau). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah”. (Surah al-Nisa, ayat 75-76).
Berdasarkan ini, kata al-Imam al-Jasas (wafat 370H):
“Adalah sesuatu yang diketahui umum bahawa telah menjadi iktikad seluruh kaum muslimin; apabila penduduk sesuatu negeri (kaum muslimin) dalam ketakutan dari serangan musuh, dan mereka tidak mampu menghadapinya merasa terancam negeri, nyawa dan kaum mereka, maka ketika itu wajib ke atas seluruh umat untuk keluar mempertahankan kaum muslimin dari serangan musuh. Ini adalah perkara yang tiada khilaf lagi di kalangan umat. Tiada sesiapa pun yang menyatakan harus dibiarkan ditumpahkan darah kaum muslimin” (Abu Bakr al-Jasas, Ahkam al-Quran, 4/312, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-`Arabi).
Namun atas kekangan keadaan yang ada. Ramai para pemimpin umat Islam yang tunduk kepada kehendak Amerika, lalu mereka menjadi pelindung secara langsung atau tidak langsung kepada Israel. Lihat sahaja Mesir yang sanggup menutup sempadannya sehingga bantuan makanan dan ubatan tidak dapat sampai kepada rakyat Palestin, sehingga rakyat Palestin tidak dapat melepaskan diri kekejaman Israel.

Kita umat Islam menjadi umat yang tidak terdaya. Bukan sahaja bertindak, bahkan bersuara pun ramai yang takut. Tidak ramai pemimpin seperti Tun Mahathir Mohamad yang lantang dan berani untuk mengkritik dan berusaha membantah Amerika dan Israel. Ramai yang lain bergantung rahmat kepada Amerika. Bahkan bukan sedikit yang sedang ‘mengidam kerusi kuasa’ bertawakal harap dari Amerika.

Maka, di saat ini, sekurang-kurangnya demontrasi, atau apa sahaja bantahan yang tidak bercanggahan dengan Islam hendaklah dilakukan oleh umat Islam yang tidak berkemampuan. Demikian juga bantuan kewangan. Di Malaysia, sepatutnya mereka yang memegang tampuk-tampuk pentadbiran agama, sama ada yang berada di atas kerusi politik, atau istana perlu menjadi kelompok yang paling lantang membantah dan menghulurkan bantuan.

Saya terharu ketika berjumpa dengan sekumpulan wanita British yang tidak beragama Islam, mengikat serban Palestin di tengkok mereka dan memberitahu kami mereka akan mengambil cuti seminggu untuk menyertai bantahan terhadap Israel. Mereka mengedarkan risalah tentang kekejaman Israel.

Malanglah, jika yang mereka yang seperti ini membantah Israel, tetapi golongan yang diberikan amanah menjaga agama tenggelam dalam keempukan takhta dan membisu seribu bahasa. Di mana pula Majlis Fatwa Kebangsaan ketika ini? Tidak adakah fatwa tentang apakah kewajiban umat Islam dalam isu Palestin? Setelah berletihan dengan isu yoga dan pengkid, tidakkah mahu difikirkan isu Palestin pula?

Jika tidak, malanglah bagi umat Islam yang terdedah kepada dunia berita dan maklumat, tiba-tiba tidak mengambil endah tentang apa yang berlaku di Palestin dan tanggungjawab muslim membela saudara-mara kita kaum muslimin. Sabda Nabi s.a.w:
“Bandingan orang-orang mukmin dalam kasih-sayang, kesian dan simpati sama seperti satu jasad. Apabila satu anggota merasa sakit, maka seluruh angota lain turut berjaga malam dan demam” (Riwayat Muslim)
Islam bersikap adil. Islam tidak pernah menyatakan setiap mereka yang tidak menganut Islam itu adalah musuh Islam. Demonstrasi di seluruh dunia pada hari ini turut dilakukan oleh mereka yang bukan Islam. Islam hanya bermusuh dengan mereka yang melancarkan permusuhan dan kezaliman kepada umat Islam. Samada permusuhan itu atas kebencian kepada agama ini, atau atas sikap yang ingin menzalimi orang lain.

Kemudian, Islam tidak menerima dan membantah kezaliman di mana sahaja ia dilakukan. Samada ke atas muslim atau bukan muslim, samada kepada insan atau binatang dan alam. Kita membantah kekejaman ke atas saudara seakidah kita di Palestin atas nama Islam dan kemanusiaan. Orang lain membantah atas dasar kemanusiaan.

Jika mereka yang bukan Islam dizalimi, kita tetap akan membantah atas dasar Islam dan kemanusiaan. Ini kerana prinsip Islam merangkumi prinsip kemanusiaan sejagat. Namun jika ada yang langsung tidak membantah, maka dia tiada prinsip Islam dan prinsip kemanusiaan.

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...