Oleh: Wardina Safiyyah
Perkongsian Dari Hati "Hidayah perlu dicari, macam juga jodoh dan rezeki.."
Bismillahirahmanirrahim.
Dengan nama Allah yang Maha penyayang lagi Maha pengampun.
Assalamualiakum pembaca sekalian. Anggaplah luahan hati ini rintihan
jiwa seorang hamba yang bermusafir yang terlalu ingin lebih dekat
dengan TuhanNya. Moga kita semua diberi kesempatan untuk berkongsi
lebih banyak kebaikan bersama.
Kata seorang rakan pada saya,
“Hidayah perlu dicari, macam juga jodoh dan rezeki konsepnya Dina" .Benar
sekali, hidayah tidak datang bergolek. Akan tetapi ramai yang cuma
menanti hati mereka ‘dibuka’ tanpa sebarang usaha. Ramai yang menanti
‘seru’ hadir tanpa berbuat apa-apa. Seperti yang berkata
“Aku nak kaya” namun
duduk saja goyang kaki, tanpa usaha, maka mana mungkin harta turun
dari langit begitu saja. Samada kita sedar atau tidak, setiap hari kita
memohon hidayahNya. Setiap hari kita memohon Allah menunjukkan kita
kepada jalan yang lurus. Berapa kali kita sebut, baca dan ulang dalam
Surah Al-Fatihah. (ٱهْدِنَا ٱلصِّرَ ٰط ٱلْمُسْتَقِيمَ - Tunjukilah kami
jalan yang LURUS) Berapa ramai yang benar-benar fahami dan bersungguh
tatkala membacanya. Ini peringatan untuk diri juga!
Perkara
yang paling menakutkan saya adalah apabila menyedari hakikat bahawa
hidayah ini hak milik mutlak Allah SWT, Al-IIah, Ar-Rab, yang
dianugerahkan kepada sesiapa yang Allah Al-Wahab mahukan. Allah Al-Hakim
lebih tahu siapa yang berhak mendapat hidayahNya. Allah Maha
Mengetahui kerana Allah itu Al-A’leem, Al-A’alim, siapa yang tidak
patut memilikinya. Seperti bagaimana Rasulullah SAW sendiri memohon dan
berdoa untuk bapa saudaranya, Rasulullah SAW merayu dan memujuk Abu
Talib yang telah membantu baginda dengan masa dan tenaganya, dengan
menjaga dan memeliharanya namun hidayah bukan di tangan kita. Itulah
pengajaran yang paling besar. Itulah hakikatnya.
Hidayah kata Mufti Ismail Menk tempoh hari di dalam kuliahnya, perlu dicari dengan kesungguhan dan kepayahan.
Struggle. Dengan keringat perjuangan.
“Those who struggle in Allah’s way, the doors of Allah will open in their way”
Mereka yang berjuang untuk ke jalan Allah, yang cuba dan berusaha akan
dibukakan pintu kearahNya” InsyaAllah dengan izinNya, hidayah akan
diberi. Apa dia kesan hidayah? Kesan hidayah ini maka kebaikan akan
terasa mudah untuk dilakukan.
Saya simpulkan pengajaran
yang saya perolehi mengenai bagaimana untuk kita terus Istiqamah
setelah mendapat hidayah, ya walaupun sedikit. Semoga Allah yang Maha
Pemurah, memberi lebih dan lebih hidayahNya kepada kita. Peringatan ini
juga amat berguna untuk diri saya yang serba dhaif lagi jahil ini.
Mustaqim dan
Istiqamah
asalnya dari perkataan yang sama. Untuk memastikan kita terus kekal
Istiqamah dengan hidayah yang telah diberi, agar hidayah itu tidak
hilang, lenyap dan sepi kata mufti Menk, ada beberapa panduan yang
diberikan yang ingin saya kongsikan dengan anda semua:-
1) Pengajaran pertama -
Jangan bimbang pandangan orang lain.
Abu Talib ‘takut’ pandangan pembesar Qurasyh yang lain, begitu bimbang
mengenai apa yang akan ‘diperkatakan’ setelah dia meninggal, sekiranya
dia menjadi seorang Muslim, maka kerana ke’risau’an inilah yang
menyebabkan Abu Talib tidak mengucap Syahadah.
2) Kedua
- Istiqamah mengekalkan hidayah tidak akan berlaku sekiranya kita
‘menyibukkan’ diri menilai orang lain kata Mufti Menk. Bergossip
membuatkan kita sibuk dengan hal dan aib orang lain sehingga terlupa
menilai diri. Bergossip dan berkata buruk sudah cukup berdosa, apatah
lagi mengaibkan dan memfitnah. Sibukkan diri mengenai hal diri,
kekurangan diri, keluarga, anak-anak daripada orang lain. InsyaAllah
Allah akan beri kita hidayah. Kedua,
sibukkan diri dengan hal sendiri bukan orang lain.
3) Ketiga-
Hidayah akan kekal sekiranya kita sentiasa i) Beristighfar dan ii) Bertaubat.
Beristighfar bererti kita memohon maaf setelah tersedar dan setelah
melakukan apa saja dosa dan kesilapan, namun bertaubat bererti kita
kembali kepada Allah dengan memalingkan hati dan diri kearahNya.
Beristighfar sahaja belum cukup, namun memalingkan diri kembali adalah
kunci untuk mendapatkan hidayah, seterusnya mengekalkan hidayah itu.
Kita PERLU dan mesti sentiasa beristighfar dan bertaubat, Allah memberi
Taubah itu sebagai hadiah kepada hambaNya, bayangkan jika tiada konsep
taubah? Oleh itu saya sering ingatkan diri, jangan berputus asa,
teruskan perjuangan dan InsyaAllah Allah akan menunjukkan kita jalan
yang lebih baik dari sekarang.
4) Keempat -
Amalan yang berterusan.
Lagi dan lagi. Tambah dan tambah amal. Bagaiamana? Dengan
mengikhlaskan hati, mencari dan mencari dan mengikut contoh dari
Rasulullah SAW.
5) Kelima-
Sampaikan kebaikan.
Hidayah akan terkesan dan kekal sekiranya kita menjadi agen untuk
menyampaikan kebaikan. Konsep Amal ma’ruf nahi mungkar ini dapat
mengingatkan diri dan orang lain. Ya, marilah kita sebarkan kebaikan,
kasih dan sayang, bukan kebencian, keburukan dan kejahatan! Walaupun
sedikit! Sedikit dan sekecil biji sawi sekalipun ianya akan dinilai
Allah Al-Hasib.
6) Keenam –
Carilah kawan yang soleh.
Pilihlah kawan kita, kawan atau rakan yang akan MENGINGATKAN kita
sekiranya kita tergelincir. Rakan dan sahabat yang jujur memberi
teguran. Seram sejuk apabila mufti memberikan contoh bagaimana nanti,
apabila dibangkitkan kembali, sahabat karib kita akan menjadi musuh,
bercakaran sesama sendiri, bertanya kepada kita – “kenapa engkau tidak
menasihati aku dulu?” “Engkau tahu apa yang aku lakukan salah, kenapa
engkau tidak ingatkan?” Na’zubillah. Mari kita ingatkan rakan kita,
dengan penuh hikmah dan kasih.
7) Ketujuh –
Hidayah akan kekal dengan Ilmu.
Kita perlukan ilmu untuk berada di atas jalan yang benar. Terus dan
terus dan terus tanpa henti menggali ilmu dari sana dan sini. Dari
sumber yang sahih lagi dipercayai. Lebih banyak kita tahu lebih
banyaklah kita tahu yang kita ini tidak tahu.
Pesanan mufti yang terakhir benar-benar membuatkan dewan tergamam tanpa suara. Untuk mendapat hidayah, kata mufti
“JAGALAH MATA”
Jagalah mata, kerana khuatir pandangan itu pandangan syaitan.
Tundukkanlah pandangan. Saya sedang cuba mempraktikannya walau saya
seorang wanita. Saya yakin para lelaki mempunyai dugaan yang lebih.
Menjaga mata dengan tidak melihat dan menilai apa yang orang lain pakai,
tidak melihat kereta apa yang mereka bawa, atau melihat kelebihan
mahupun kekurangan. Kenapa? Supaya lebih kurang rasa ingin
membandingkan diri dan mengata. Supaya lebih kurang iri hati dan dengki
hinggap di dalam hati ini. Semuanya bermula dengan mata. Akan saya
pegang nasihat ini.
InsyaAllah semoga kita diberi semua
diberi hidayah oleh Allah SWT. Kita semua sebenarnya sama saja, sedang
berjuang dan berusaha untuk lebih dekat denganNya. Ingatlah Allah,
itulah pesanan terakhir Mufti Menk. Ingatlah Allah pada setiap masa dan
ketika, bukan hanya apabila bertasbih selepas solat di atas sajadah.
Ingatlah Allah tatkala makan, melakukan kerja dan bermesra dengan anak
atau isteri dan suami misalnya. InsyaAllah mari kita cuba. Ingatlah
Allah dengan
sengaja, apabila melakukan apa saja. Jika
semua umat Islam dan semua orang memegang konsep Allah melihat apa
sahaja kita lakukan, MasyaAllah bayangkan betapa banyaknya kemungkaran
dan kejahatan tidak akan berani dilakukan. Kepercayaan bahawa Allah itu
Ar-Raqeeb yang Maha Melihat perlu disematkan kembali didalam jiwa kita
ini.
Wallahua’lam. Amin
Sumber: http://www.wardinasafiyyah.com/