Oleh: Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
Kad-kad
jemputan majlis perkahwinan sering kali dilengkapi dengan ayat-ayat
al-Qur’an atau hadis-hadis Rasulullah berkenaan perkahwinan.
Tindakan ini dibolehkan, dengan harapan orang-orang yang dijemput,
khususnya kedua-dua pengantin itu sendiri dapat mengambil iktibar dari
ayat dan hadis tersebut.
Atas nafas ini, saya ingin
menggunakan kolum bulan ini untuk mengupas salah sebuah ayat yang
lazim dikemukakan, iaitu firman Allah yang bermaksud:
Dan
di antara tanda-tanda-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu,
pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang
hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami
isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya dalam
yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang
menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. [al-Rum 30:21]
Dan Di Antara Tanda-Tanda-Nya…
Allah
memulakan ayat ini dengan mengingatkan manusia akan tanda-tanda
kekuasaan, kebesaran, keagungan dan rahmat-Nya dalam mencipta.
Sebenarnya jika kita merenung kepada langit, bintang, matahari dan
bulan, renungan ini akan segera membawa kita kepada yang menciptanya,
iaitu Allah. Jika kita mengamati pergerakan angin, awan dan
putaran bumi ini serta segala penghuninya seperti haiwan dan
tumbuh-tumbuhan, kita akan segera terasa kehebatan Allah sebagai
pencipta dan pengurusnya. Jika kita mengkaji tubuh badan kita
sendiri, daripada DNA yang halus hinggalah organ yang besar, kita akan
segera sujud kepada Allah.
Namun oleh kerana kita sering
lupa kepada Allah, maka Allah di dalam al-Qur’an beberapa kali
mengingatkan kita akan tanda-tanda kekuasaan, kebesaran, keagungan dan
rahmat-Nya dalam mencipta. Salah satu daripadanya adalah ayat 21 surah
al-Rum yang sedang kita kupas sekarang ini.
Bahawa Dia menciptakan untuk kamu, pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri...
Dalam rangka kita bersiap-siap menghadapi hari besar yakni hari pernikahan, dalam rangka kita
merancang
kehidupan selepas itu, Allah mengingatkan kita bahawa dengan
kuasa, hikmah dan rahmat-Nya, Dia telah menciptakan untuk manusia
pasangan-pasangan dari jenis mereka sendiri.
Asalnya Allah mencipta Adam dan daripada “model” Adam itu Allah mencipta Hawa. Ini diterangkan dalam ayat yang lain:
Wahai
sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan
kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada
(Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan juga yang membiakkan
dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai dan
bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan
menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim)
kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas)
kamu. [al-Nisa’ 4:01]
Bayangkan jika Allah
hanya mencipta satu jenis manusia yang bukan lelaki atau wanita, tentu
dunia ini menjadi sangat hambar lagi membosankan. Bayangkan jika
manusia perlu mencari pasangan dari jenis yang lain umpama harimau,
gajah atau unta, tentu agak mustahil untuk hidup serumah.
Bayangkan jika manusia perlu mencari pasangan dari jenis makhluk jin,
tentu sukar untuk bermain-main dengan makhluk yang tidak kelihatan
bentuknya yang asal.
Maka di sebalik penciptaan lelaki dan
wanita, terdapat hikmah yang amat besar bagi kita, sekaligus
membuktikan kebesaran, keagungan dan hikmah Allah dalam menciptanya.
Supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya…
Tujuan
Allah menciptakan pasangan lelaki dan wanita ialah setelah mereka
berdua diikat secara halal melalui pernikahan, setiap seorang
daripada mereka dapat hidup bersenang hati dan mesra di antara satu
sama lain. Suami dapat bersenang hati dan bermesra-mesraan dengan
isterinya sementara isteri dapat bersenang hati dan
bermesra-mesraan dengan suaminya.
Apabila sifir ini
diubah dengan salah seorang atau kedua-dua suami-isteri sibuk dengan
kerjaya dan pulangan kebendaan, maka bermulalah bibit-bibit awal
pergeseran rumahtangga. Rumahtangga tidak lagi menjadi suasana bersenang
hati dan bermesra-mesraan tetapi suasana persinggahan sementara
pada malam hari setelah sibuk mengejar kerjaya dan kebendaan pada siang
hari.
Di sini saya bukan bermaksud untuk menafikan
kepentingan kerja dan wang ringgit, akan tetapi hendaklah disusun
prioriti agar suasana bersenang hati dan bermesra-mesraan di antara
suami-isteri tetap mendapat perhatian di tangga yang atas.
Dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.
Apabila
pasangan suami-isteri saling berkasih sayang di antara satu sama lain,
tahukah, ingatkah dan sedarkah mereka bahawa Allah yang mencipta
perasaan kasih sayang itu dan menjadikannya memutik dan mekar di hati
masing-masing? Jika belum, maka ketahuilah bahawa Allah yang
menjadikan
di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.
Di sini terdapat dua pengajaran yang amat penting.
Pertama,
apabila kita sayang kepada pasangan kita, maka sayangilah Allah
yang telah menjadikan kasih sayang tersebut. Semakin kita menyayangi
pasangan kita, semakin kita menyayangi Allah. Bahkan kasih sayang kita
kepada Allah hendaklah jauh lebih besar dari kasih sayang kita
kepada pasangan, kerana daripada Allah jualah datang nikmat berkasih
sayang.
Kedua, apabila terasa kasih
sayang di antara pasangan semakin berkurang atau telah hilang,
maka kembalilah kepada Allah untuk berdoa kepada-Nya agar dikembalikan
kasih sayang tersebut. Kerap kali kita mendengar pasangan yang sudah
beberapa tahun mendirikan rumahtangga merungut bahawa “sudah tidak
ada apa-apa di antara mereka berdua”. Jangan merungut tetapi rujuklah
kepada Allah, kembalilah kepada kehidupan yang diredhai Allah dan
mintalah agar kasih sayang tersebut kembali memutik dan mekar di
hati masing-masing.
“Ya Allah! Engkaulah yang telah
menciptakan bagi manusia pasangan dari jenisnya yang sendiri agar
manusia dapat hidup bersenang hati dan bermesra-mesraan. Ya Allah!
Engkaulah yang menjadikan di antara pasangan suami-isteri perasaan
kasih sayang dan belas kasihan.
Oleh itu Ya Allah,
Jadikanlah perasaan kasih sayang dan belas kasihan di antara kami agar
kami dapat hidup bersenang hati dan bermesra-mesraan.
Ya
Allah, sebelum ini kami telah lupa kepada Kamu dan mengabaikan Kamu.
Maafkanlah kami, terimalah kembali kami dan golongkanlah kami di
kalangan hamba-hamba-Mu yang berada di bawah keampunan, hidayah,
rahmat-Mu.”
Sesungguhnya dalam yang demikian
itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran)
bagi orang-orang yang berfikir.
Semoga
kupasan-kupasan di atas mengandungi keterangan-keterangan yang
menimbulkan kesedaran bagi para pembaca yang berfikir.
Sumber: http://hafizfirdaus.com/