Oleh: Pahrol Mohd Juoi
Sayang…Bahagiakah kita?
Sepasang
suami isteri sedang menaiki basikal pada suatu petang. Suami di
hadapan, manakala isterinya membonceng di belakang. Mereka melalui
jalan berhadapan sebuah vila. Kebetulan di halaman vila tersebut sedang
duduk pemilik dan isterinya sambil santai-santai minum petang.
Tiba-tiba
pandangan kedua-dua pasangan suami isteri itu bertembung. Pasangan
suami isteri yang sedang bersantai di halaman vila merenung pasangan
suami isteri yang sedang berbasikal melalui hadapan vilanya.
Walaupun hanya seketika berpandangan tetapi hati mereka sempat berbicara…
“Alangkah
bahagianya mereka,” bicara hati suami yang sedang menunggang basikal.
“Rumah besar, duduk bersantai pula dengan menikmati makanan yang
enak-enak. Isterinya cantik, kereta besar…”
Apa pula bicara hati suami yang sedang duduk bersantai di halaman vilanya?
“Oh,
romantik sungguh kedua-dua suami isteri itu. Isterinya memeluk erat di
belakang. Alangkah bertuahnya mendapat seorang isteri yang disayangi.
Tidak seperti aku, sekalipun mempunyai harta yang melimpah ruah tetapi
aku tidak bahagia seperti mereka…” begitulah bisik hati si suami kaya
itu.
Justeru, siapakah antara kedua-dua mereka yang
bahagia apabila masing-masing merasakan orang lain yang lebih bahagia?
Apa ukuran sebuah rumah tangga yang bahagia? Mempunyai segala kekayaan
dan kemewahan hidup? Rumah besar, perabot mahal dan kereta berjenama,
itukah petanda rumah tangga yang bahagia?
Jika itulah
petanda bahagia, tentu sahaja rumah tangga Rasulullah dan
isteri-isterinya tidak bahagia. Betapa sejarah telah menukilkan sering
kali dapur rumah Rasulullah tidak berasap kerana tidak ada makanan
untuk dimasak. Alas tempat tidur Rasulullah sangat kasar sehingga
berbekas di belakang Baginda apabila tidur di atasnya. Namun, rumah
tangga Rasulullah s.a.w. itulah yang paling bahagia dan hingga kini
menjadi contoh teladan untuk kita ikuti.
Apa sebenarnya
bahagia itu? Hakikatnya ramai manusia masih tertanya-tanya dan
teraba-raba tentangnya. Yang miskin berasa bahagia itu pada kekayaan.
Namun apabila dia mencapai kekayaan, ada yang lain pula disangkanya
bahagia, lalu itulah pula yang diburunya untuk mendapat bahagia.
Bagi
orang yang sakit, sihat itu bahagia. Sebaliknya pada yang sihat, itu
bukan bahagia. Buktinya betapa ramai orang yang sihat tubuh badan
tetapi muram jiwanya.
Bagi orang biasa, ternama dan
termasyhur itu bahagia. Anehnya ramai pula orang ternama yang menyamar
dan ingin lari daripada paparazi kerana benci akan publisiti.
Bahagia Itu dari Hati yang Tenang
Jadi
apa bahagia sebenarnya? Bahagia itu bukan dari luar ke dalam,
sebaliknya dari dalam ke luar. Maksudnya, harta, nama dan lain-lain
perkara berbentuk kebendaan dan luaran bukan penyumbang kepada
kebahagiaan seorang manusia. Bahagia itu datang dari dalam diri dan
sesuatu yang maknawi sifatnya.
Untuk menangani sesuatu
yang berasal atau berpunca dari dalam diri, manusia tidak boleh
bergantung kepada dirinya semata-mata. Manusia harus bergantung kepada
Allah, Penciptanya Yang Maha Mengetahui. Soal dalaman ialah soal hati
atau roh. Itu sangat sedikit diketahui oleh manusia. Untuk mengetahui
rahsia bahagia, manusia perlu kembali kepada Penciptanya (Allah).
Bahagia
itu datang dari hati yang tenang. Hati yang tenang terhasil daripada
sering mengingati Allah. Dalam al-Quran Allah mengingatkan hanya dengan
mengingati-Nya hati akan menjadi tenang. Firman Allah yang bermaksud:
“Ketahuilah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.” (Surah
al-Ra’d 13: 28)
Dengan berzikir hati menjadi tenang dan
dengan ketenangan hati itulah terciptanya kebahagiaan pada diri
seseorang. Itulah resipi kebahagiaan dari segi ilmiahnya. Namun
bagaimana pelaksanaannya?
Saya pernah mendengar kisah
benar yang diceritakan oleh seorang bekas mufti tentang pengaduan
seorang suri rumah tentang kebengisan suaminya. Bayangkan, suaminya
“kaki masjid”, kuat berzikir dan memakai serban serta jubah.
Namun
anehnya, suami itu sangat garang dan ganas. Pantang salah sedikit,
isterinya akan diherdik, ditampar malah ditendangnya. Lalu kita
tertanya-tanya, mengapa suami yang kuat berzikir itu jadi begitu?
Mengapa zikir yang ditegaskan sebagai sumber ketenangan itu gagal
memberikan ketenangan kepada suami yang pemarah itu?
Lalu
kita bertanya, bagaimana faktor zikrullah (mengingati Allah) ini dapat
dipraktikkan dalam rumah tangga agar rumah tangga itu benar-benar
mendapat ketenangan dan seterusnya kebahagiaan? Apakah suami, isteri
dan seluruh anggota keluarga perlu berzikir sahaja sepanjang masa? Atau
mengapa setelah zikir dipraktikkan, rumah tangga masih tidak
tenang-tenang juga? Di mana salahnya?
Ada sepasang suami
isteri yang menghadapi masalah dalam rumah tangga. Isteri keletihan
menguruskan anak-anak yang masih kecil manakala suaminya pula keletihan
bekerja untuk menyara ekonomi keluarga. Mereka sama-sama letih.
Setelah mendengar cerita bagaimana Siti Fatimah dan Sayidina Ali
mendapat kekuatan daripada berzikir dengan kalimah Subhanallah,
Alhamdulillah dan Allahuakbar, mereka pun terus mengamalkannya.
Sayangnya, mereka tidak mendapat ketenangan seperti yang dialami oleh
Siti Fatimah dan Sayidina Ali.
Zikir sudah sama tetapi kenapa kesan pada hati berbeza? Sekali lagi, di mana salahnya?
Zikir
itu bukanlah sekadar menyebut-nyebut kalimah zikir tetapi yang lebih
penting menghayatinya dengan hati dan mempraktikkannya dengan
perbuatan. Oleh sebab itu, zikir itu terbahagi kepada tiga dimensi –
lidah (
qauli), hati (
qalbi) dan perbuatan (
fi’li). Inilah yang hendak dipraktikkan oleh suami isteri agar rumah tangga bahagia.
Zikir
pada lidah, ramai yang sudah tahu. Yakni lidah menyebut-nyebut kalimah
zikir sama ada semasa solat, selepas solat, membaca al-Quran dan
sebagainya. Dalam sebuah rumah tangga, perlu ada program zikir secara
rasmi dan tidak rasmi agar seluruh anggota keluarga berzikir sama ada
secara berjemaah ataupun individu. Seelok-eloknya setiap keluarga ada
amalan-amalan zikir yang khusus dan diamalkan secara istiqamah. Pilih
sahaja sama ada al-Ma’thurat, Manzil atau zikir-zikir warisan keluarga
yang berasal daripada tarekat-tarekat yang muktabar. Atau ambil sahaja
daripada zikir-zikir yang telah terbukti autentik daripada petikan ayat
al-Quran dan hadis-hadis yang sahih.
Tidak cukup sekadar
“membaca” atau “menyebut” kalimah zikir, tetapi paling utama mesti
dihayati maknanya. Jika Subhanallah, ertinya Maha Suci Allah. Apa
maksud Maha Suci Allah itu? Allah suci daripada segala kekurangan,
kelemahan dan lain-lain sifat negatif sama ada dari segi zat, sifat,
perbuatan dan nama-nama-Nya. Allah itu juga suci daripada segala sifat
buruk, hodoh dan seumpamanya. Berlawanan dengan makhluk-Nya yang
serba-serbi lemah, kurang dan hina.
Untuk menghayati
zikir Subhanallah, seseorang mesti memahami makna dan pengertiannya.
Untuk mengetahui dan memahami, seseorang mesti belajar. Setelah itu
barulah erti Subhanallah itu dibawa dalam kehidupan dalam bentuk
penghayatan apabila bertemu dengan pelbagai insiden dalam rumah tangga.
Katakan “Subhanallah” apabila Allah disifatkan dengan sesuatu yang
negatif atau apabila berlaku sesuatu yang di luar dugaan sama ada buruk
atau baik, suka atau duka, untung atau rugi dalam rumah tangga kita.
Tidak
cukup dihayati sahaja, tetapi praktik “Subhanallah” itu hendaklah
diterjemahkan dalam bentuk perbuatan. Segala tindakan sama ada oleh
suami atau isteri mestilah mencerminkan mereka benar-benar menyucikan
Allah. Orang yang benar-benar menyucikan Allah tidak akan marah-marah,
mengherdik apalagi memukul pasangannya. Adakah mereka berani berbuat
demikian jika mereka merasakan yang suci, yang hebat dan kuat hanya
Allah? Orang yang marah-marah, bengis dan mudah naik angin boleh
dianggap tidak menyucikan Allah dalam kehidupannya sebaliknya dia
“menyucikan” dirinya sendiri.
Ya, kebahagiaan itu datang
daripada ketenangan. Ketenangan itu pula datang daripada zikir. Namun
bukan semua zikir menghasilkan ketenangan. Zikir yang menghasilkan
ketenangan hanyalah zikir yang diamalkan secara bersepadu antara lidah,
hati dan anggota. Hanya zikir yang bersepadu itu yang memberi
ketenangan pada hati untuk menghadapi pelbagai pancaroba dalam hidup.
Hati
yang tenang akan bersyukur apabila menerima nikmat, sabar apabila
ditimpa musibah, rela memberi maaf apabila dipinta, mudah meminta maaf
apabila bersalah, qanaah dengan rezeki yang ada, tawakal apabila
berusaha dan sentiasa bersangka baik dengan Allah dan manusia.
Mengapa dengan berzikir hati akan memiliki sifat-sifat baik ini?
(Insya Allah, kita sambung nanti)
Sebelum ini ikutilah dialog ini:
Malam
dingin dengan sapaan angin membelai sekali-sekala. Saya renung
wajahnya. Jelas sudah retak-retak pada pelipis matanya. Pipinya,
walaupun masih merah seperti dulu, tapi sudah ada riak-riak kedutan
yang mula bertamu.
”Bang, bahagiakah kita?”
Masih terngiang-ngiang pertanyaannya lewat bual kami menjelang tidur.
”Bahagia itu di mana?” tanya saya semula.
Dia diam. Matanya redup bagai kerlipan lampu kamar tidur kami.
“Terlalu banyak yang kita telah lalui bersama. Tak sedar dah lebih 20 tahun kita bersama,” kata saya.
Pertanyaannya terus ternganga. Saya pasti dia tidak memerlukan jawapan. Kekadang, soalan dan luahan… sukar dibezakan.
Dalam
suram wajahnya saya renung. Mata kami bertembung. Tidak ada bicara,
namun rasa dalam rentetan pelbagai peristiwa begitu laju menerpa. Satu
demi satu. Masih harum rasanya kenangan malam itu. Waktu kali pertama
tangan kami bersatu. Jari-jarinya berinai merah. Seri wajahnya seakan
purnama menghiasi kamar pengantin. Tapi sekarang… jari-jari itu tidak
sehalus dan semulus dulu. Telah banyak diguris kesusahan, sudah sering
diguris keperitan. Pun seri wajahnya, retak juga dipagut usia.
Masih saya ingat kata-kata malam pertama kami…
”Apa perasaan mu?”
Dia senyum.
”Saya bahagia.”
”Hari
ni boleh jadi bahagia… tapi insya-Allah kita masih ada ribuan hari
lagi yang akan dilalui bersama. Berdoalah, seperti mana muqaddimahnya,
begitulah nanti natijahnya….” kata saya seakan berbisik. Senyum kami
menguntum. Oh, alangkah indahnya ketenangan yang dia berikan. Tetapi
akhirnya ’mentari’ kehidupan pun menyala petanda ’bulan’ bermadu telah
berakhir. Hidup tidak selalu indah kerana di situlah keindahan hidup.
Dan
hari demi hari terus berlalu. Musim pantas mencantas waktu bagai embun
dijilat surya. Putera dan puteri kami menyusul seorang demi seorang.
Tribulasi datang dan pergi. Berpindah dari satu daerah ke satu daerah.
Roda kehidupan berputar laju. Kekadang di atas, sering juga di bawah.
Ada ketikanya, senyum, suka dan ceria. Acapkali juga ada muram, duka
dan air mata. Anehnya, dia terus bersama saya. Kadang tegurannya tajam,
menikam… saya pedih. Namun, jauh di sudut hati, terbujuk juga – itu
kerana sayang. Pernah juga belaian dan manjanya melekakan… mujur hati
sering diingatkan – dia adalah ’hadiah’ Tuhan untuk saya. Masakan
hadiah lebih besar daripada Pemberinya?
Kekadang kolek rumah-tangga gegar dipukul gelombang. Untunglah, kesabaran masih mampu bertahan… pelayaranpun diteruskan.
”Bahagiakah kita?”
Soalan itu kembali mengusik rasa.
”Di mana bahagia itu?”
”Di hujung atau di pangkalnya?”
Lalu saya temukan jawapannya…
”Bahagia itu bukan di pangkal jalan, bukan juga di hujung jalan… tetapi ia ada di sepanjang jalan.”
”Bahagia itu apa?”
Sekali lagi saya terhenyak ke penjuru jiwa. Mencari kata untuk menggambarkan rasa. Mampukah?
”Bahagia itu ketenangan!” kata ulama yang arif tentang wahyu dan sabda.
”Ketenangan itu apa?”
”Hati
yang tenteram dalam semua keadaan dan suasana. Susah mahupun senang,
miskin ataupun kaya, sihat mahupun sakit, pujian dan kejian… sama
sahaja.”
”Bagaimana hendak memiliki hati semacam itu?”
”Ingat Allah… hati akan menjadi tenang.”
Bertalu-talu
monolog diri itu menerjah kamar hati. Apa yang diketahui, apa yang
dirasa, apa yang dilihat, apa yang dibaca sekian lama… terburai
semuanya di malam ini – ditusuk sebuah pertanyaan: ’Bang, bahagiakah
kita?”
”Tanpa Tuhan, tiada ketenangan. Tanpa ketenangan, tiada kebahagiaan.”
”Isteriku,
kebahagiaan itu terlalu maknawi. Tapi ketenangan itu dapat dirasai.
Jika kau tanyakan, bahagiakah kita? Ertinya, kau tanyakan tentang
ketenangan kita. Dan jika kau tanyakan tentang ketenangan kita… kau
sebenarnya bertanyakan sejauh mana kita ingatkan DIA – Tuhan kita!”
”Bang apakah aku telah dapat memberikanmu satu ketenangan?”
”Jangan tanyakan itu, sebaliknya tepuk dada tanya dirimu… apakah aku telah tenang?”
”Kenapa?”
”Hanya orang yang tenang sahaja dapat memberi ketenangan…”
”Ah, semakin sukar pula mencari jawapan… semakin diselam, semakin dalam.”
Malam
kian larut di kolam buana. Mata saya kembali merenung wajah isteri.
Dia yang tidak pernah meninggalkan saya ketika apapun jua. Ketika orang
memuji, dia mengingatkan. Ketika orang mengeji, dia menggiatkan. Bagi
saya itulah ketenangan yang dihadiahkannya… Walaupun mungkin itu hanya
serpihan dari hakikat ketenangan yang hakiki. Namun itupun sudah
memadai. Monolog hati saya terus bergema:
”Isteriku,
apakah perjalanan kita ini masih panjang ataupun pendek… entahlah, aku
tidak pasti. Namun, selagi antara kau dan aku masih ada DIA – Tuhan
kita. Selama itulah kita akan tenang. Jika kau ingat, kaulah sumber
ketenanganku. Jika aku ingat, akulah sumber ketenanganmu. Jika kita
sama-sama mengingati-Nya, maka bahagialah kita. Sebaliknya, jika kita
sama-sama lupa… musnahlah kita.”
Lalu
dalam suram kamar yang sederhana… saya sentuh tangannya. Walaupun
tidak halus dan mulus seperti dulu, tapi sentuhan itu membelai hati
saya. Kali ini bukan rasa tahap rendah yang membara. Tapi rasa tahap
tinggi yang menyala-nyala. Isteriku… kita bahagia!
Perlahan-lahan,
saya bangun, bergerak ke meja tulis. Sebuah sajak yang saya hasilkan
sewaktu berjauhan dahulu saya keluarkan dari lipatan buku catatan
peribadi. Terasa kesal juga tidak kirimkan kepadanya. Akibatnya, sajak
”Jauh itu dekat” tidak pernah dibacanya. Saya baca kembali baitnya satu
persatu:
Kembali kita berjauhan…
salam terpisah, senyum tertahan
rindu berbuah, sayang merendang
jauh-jauh begini…
menguji percintaan
Suaramu telus di langit kelabu
setiamu selimut dingin hujanku
arca bayang-bayang malam
sinar remang-remang siang
melukis setiamu di awan gemawan
Terpisah semakin indah
kian terlarut keruhan rasa
terimbau semula nostalgia lama
jari-jari merahmu…
di malam pertama
Sayang… Jauh itu DEKAT!
Sumber: http://genta-rasa.com/