11 Januari 2013

Di Sebalik Kehidupan Suami-Isteri…


Oleh: Kapten Hafiz Firdaus Abdullah



Kad-kad jemputan majlis perkahwinan sering kali dilengkapi dengan ayat-ayat al-Qur’an atau hadis-hadis Rasulullah berkenaan perkahwinan. Tindakan ini dibolehkan, dengan harapan orang-orang yang dijemput, khususnya kedua-dua pengantin itu sendiri dapat mengambil iktibar dari ayat dan hadis tersebut.

Atas nafas ini, saya ingin menggunakan kolum bulan ini untuk mengupas salah sebuah ayat yang lazim dikemukakan, iaitu firman Allah yang bermaksud:  

Dan di antara tanda-tanda-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu, pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya dalam yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. [al-Rum 30:21]

Dan Di Antara Tanda-Tanda-Nya…

Allah memulakan ayat ini dengan mengingatkan manusia akan tanda-tanda kekuasaan, kebesaran, keagungan dan rahmat-Nya dalam mencipta. Sebenarnya jika kita merenung kepada langit, bintang, matahari dan bulan, renungan ini akan segera membawa kita kepada yang menciptanya, iaitu Allah. Jika kita mengamati pergerakan angin, awan dan putaran bumi ini serta segala penghuninya seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan, kita akan segera terasa kehebatan Allah sebagai pencipta dan pengurusnya. Jika kita mengkaji tubuh badan kita sendiri, daripada DNA yang halus hinggalah organ yang besar, kita akan segera sujud kepada Allah.

Namun oleh kerana kita sering lupa kepada Allah, maka Allah di dalam al-Qur’an beberapa kali mengingatkan kita akan tanda-tanda kekuasaan, kebesaran, keagungan dan rahmat-Nya dalam mencipta. Salah satu daripadanya adalah ayat 21 surah al-Rum yang sedang kita kupas sekarang ini.

Bahawa Dia menciptakan untuk kamu, pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri...

Dalam rangka kita bersiap-siap menghadapi hari besar yakni hari pernikahan, dalam rangka kita
merancang kehidupan selepas itu, Allah mengingatkan kita bahawa dengan kuasa, hikmah dan rahmat-Nya, Dia telah menciptakan untuk manusia pasangan-pasangan dari jenis mereka sendiri.

Asalnya Allah mencipta Adam dan daripada “model” Adam itu Allah mencipta Hawa. Ini diterangkan dalam ayat yang lain:

Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. [al-Nisa’ 4:01]

Bayangkan jika Allah hanya mencipta satu jenis manusia yang bukan lelaki atau wanita, tentu dunia ini menjadi sangat hambar lagi membosankan. Bayangkan jika manusia perlu mencari pasangan dari jenis yang lain umpama harimau, gajah atau unta, tentu agak mustahil untuk hidup serumah. Bayangkan jika manusia perlu mencari pasangan dari jenis makhluk jin, tentu sukar untuk bermain-main dengan makhluk yang tidak kelihatan bentuknya yang asal.

Maka di sebalik penciptaan lelaki dan wanita, terdapat hikmah yang amat besar bagi kita, sekaligus membuktikan kebesaran, keagungan dan hikmah Allah dalam menciptanya.

Supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya…

Tujuan Allah menciptakan pasangan lelaki dan wanita ialah setelah mereka berdua diikat secara halal melalui pernikahan, setiap seorang daripada mereka dapat hidup bersenang hati dan mesra di antara satu sama lain. Suami dapat bersenang hati dan bermesra-mesraan dengan isterinya sementara isteri dapat bersenang hati dan bermesra-mesraan dengan suaminya.

Apabila sifir ini diubah dengan salah seorang atau kedua-dua suami-isteri sibuk dengan kerjaya dan pulangan kebendaan, maka bermulalah bibit-bibit awal pergeseran rumahtangga. Rumahtangga tidak lagi menjadi suasana bersenang hati dan bermesra-mesraan tetapi suasana persinggahan sementara pada malam hari setelah sibuk mengejar kerjaya dan kebendaan pada siang hari.

Di sini saya bukan bermaksud untuk menafikan kepentingan kerja dan wang ringgit, akan tetapi hendaklah disusun prioriti agar suasana bersenang hati dan bermesra-mesraan di antara suami-isteri tetap mendapat perhatian di tangga yang atas.

Dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.

Apabila pasangan suami-isteri saling berkasih sayang di antara satu sama lain, tahukah, ingatkah dan sedarkah mereka bahawa Allah yang mencipta perasaan kasih sayang itu dan menjadikannya memutik dan mekar di hati masing-masing? Jika belum, maka ketahuilah bahawa Allah yang menjadikan di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.

Di sini terdapat dua pengajaran yang amat penting.

Pertama, apabila kita sayang kepada pasangan kita, maka sayangilah Allah yang telah menjadikan kasih sayang tersebut. Semakin kita menyayangi pasangan kita, semakin kita menyayangi Allah. Bahkan kasih sayang kita kepada Allah hendaklah jauh lebih besar dari kasih sayang kita kepada pasangan, kerana daripada Allah jualah datang nikmat berkasih sayang.

Kedua, apabila terasa kasih sayang di antara pasangan semakin berkurang atau telah hilang, maka kembalilah kepada Allah untuk berdoa kepada-Nya agar dikembalikan kasih sayang tersebut. Kerap kali kita mendengar pasangan yang sudah beberapa tahun mendirikan rumahtangga merungut bahawa “sudah tidak ada apa-apa di antara mereka berdua”. Jangan merungut tetapi rujuklah kepada Allah, kembalilah kepada kehidupan yang diredhai Allah dan mintalah agar kasih sayang tersebut kembali memutik dan mekar di hati masing-masing.

“Ya Allah! Engkaulah yang telah menciptakan bagi manusia pasangan dari jenisnya yang sendiri agar manusia dapat hidup bersenang hati dan bermesra-mesraan. Ya Allah! Engkaulah yang menjadikan di antara pasangan suami-isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan.

Oleh itu Ya Allah, Jadikanlah perasaan kasih sayang dan belas kasihan di antara kami agar kami dapat hidup bersenang hati dan bermesra-mesraan.

Ya Allah, sebelum ini kami telah lupa kepada Kamu dan mengabaikan Kamu. Maafkanlah kami, terimalah kembali kami dan golongkanlah kami di kalangan hamba-hamba-Mu yang berada di bawah keampunan, hidayah, rahmat-Mu.”

Sesungguhnya dalam yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

Semoga kupasan-kupasan di atas mengandungi keterangan-keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi para pembaca yang berfikir.

Sumber: http://hafizfirdaus.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

comment here

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...