28 September 2012

Berhenti ‘Belajar’. Bermainlah!


Oleh:  Hasrizal Abdul Jamil



“Saya tak suka dengan cara montessori(tadika swasta). Banyak main. Belajarnya tidak!” kata seorang ibu.

Tentu sahaja seorang ibu mahukan yang terbaik untuk anaknya.

Namun, amat rugi apabila seorang ibu tidak tahu apa yang terbaik untuk anaknya.

Kerana sayang dan mahukan yang terbaik, boleh sahaja seorang ibu ‘merosakkan’ si anak, atas nama kasih sayang seorang ibu.

Kita mahukan sistem pendidikan melahirkan manusia yang baik. Kita ada idea yang canggih tentang makna BAIK. Tetapi kita sering terperangkap dan keliru dengan makna MANUSIA. Akhirnya dek kerana BAIK yang canggih dan MANUSIA yang keliru, apa yang lahir daripada pendidikan kita adalah ROBOT BAIK.

Di era pendidikan ala-ala ‘lebih banyak lebih tidak cukup’ ini, saya dan isteri sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan anak-anak saya bermain. Kami tidak kisah mereka lambat membaca, kami tidak kisah mereka perlahan mengira, kami juga tidak peduli anak-anak kami pada usia kecil tidak menghafal doa dan surah al-Quran yang panjang-panjang. Kami hanya mahu mereka bermain.

Bukan kerana apa.

Saya dan isteri percaya bermainlah cara yang penting untuk kanak-kanak belajar.

Di Brainy Bunch Islamic Montessori, sedikit sebanyak saya gembira dengan pendekatan yang digunakan untuk mencapai tujuan ini. Si anak diberitahu supaya datang ke sekolah membawa bunga raya (hingga baru saya tahu betapa susahnya hendak mencari bunga raya pada tahun 2012 ini), ada harinya kena ke sekolah dengan membawa apa-apa jenis rumput. Bukannya buku teks seberat 1kg di dalam beg ala-ala pramugari!

Mungkin bagi yang duduk di kampung, membawa rumput dan bunga raya ke sekolah itu mengarut.

Tetapi bagi anak kampung yang membesarkan anak-anak bandar, saya amat menghargai pendekatan belajar seperti ini. Menggunakan seluruh deria anak untuk menimbulkan rasa seronok mereka belajar. Mereka rasa mereka sedang bermain, lalu mereka gembira. Hakikatnya mereka sedang belajar. Dan pelajaran yang mereka belajar dalam permainan itu, tidak mampu diberikan biar pun oleh silibus krim paling krim, yang memisahkan bermain daripada anak-anak.

SUNNAH

Di dalam Sahih Ibn Hibban, Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu menceritakan bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menjelirkan lidahnya kepada Al-Husain bin Ali radhiyallahu ‘anhuma supaya anak kecil itu dapat melihat merahnya lidah baginda lalu dia gembira ceria.

Kalau adalah ustaz atau ustazah di sekolah menjelirkan lidah bergurau dengan seorang budak, mungkin ibu robot akan membalas, “Huh, tak tsiqah!”

Sumber: http://saifulislam.com/ 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

comment here

Anda mungkin juga meminati:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...