19 Oktober 2012
Kisah Nabi Musa Dan Isterinya
Oleh: Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
Saya yakin para pembaca sekalian kenal akan Nabi Musa ‘alaihi salam. Banyak kisah-kisahnya yang terdapat di dalam al-Qur’an. Sebagai orang-orang yang beriman kepada al-Qur’an, kita beriman bahawa semua kisah-kisah tersebut adalah benar dan ia mengandungi mesej atau pelajaran yang bermanfaat di sebaliknya.
Di sini saya ingin berkongsi satu bab dari kisah Nabi Musa. Ia merujuk kepada ketika beliau dalam perjalanan dari Madyan ke Mesir bersama isterinya. Al-Qur’an tidak menceritakan nama isteri beliau, bererti ia bukanlah sesuatu yang penting untuk mengetahui namanya.
Di sini para pembaca sekalian perlu berwaspada dengan para penceramah dan penulis buku agama yang suka menokok tambah nama dan kisah-kisah yang tidak terdapat di dalam al-Qur’an. Ini kerana apa yang diterangkan di dalam al-Qur’an sudah mencukupi sebagai pelajaran yang bermanfaat, apa yang tidak diterangkan dalam al-Qur’an bererti ia bukanlah pelajaran yang bermanfaat.
Tatkala Musa Meninggalkan Isterinya…
Apabila dalam perjalanan dari Madyan ke Mesir, Nabi Musa ternampak api atau cahaya di sebalik Gunung Tursina. Lantas beliau berkata kepada isterinya:
Berhentilah, sesungguhnya aku ada melihat api, semoga aku dapat membawa kepada kamu sesuatu berita dari situ atau sepuntung dari api itu supaya kamu dapat memanaskan diri. [al-Qashash 28:29]
Di sini terdapat sebuah pengajaran bahawa sekali pun Nabi Musa adalah seorang suami dan pemimpin keluarga, beliau tidak pergi begitu saja meninggalkan isterinya untuk menyiasat api tersebut. Beliau memaklumkan kepada isterinya untuk berhenti. Beliau memaklumkan kepada isterinya sebab untuk berhenti – yakni kerana ada melihat api. Beliau memaklumkan kepada isteri tujuan dia pergi sebentar – yakni untuk mendapatkan berita atau sepuntung api untuk isterinya dapat memanaskan diri.
Demikianlah ciri-ciri seorang suami yang baik. Meski pun suami tidak perlu meminta izin daripada isteri untuk pergi ke mana-mana, merupakan satu etika suami-isteri yang baik apabila suami memaklumkan kepada isteri akan aktivitinya dan sebab di sebalik aktiviti tersebut.
Umpama: “Sayang, hari ini abang menjangka pulang lewat dari pejabat. Ada temujanji dengan pelanggan pukul enam petang. Moga pertemuan ini berjaya dan memberikan kita pendapatan tambahan.” Atau: “Ummi, malam nanti abang akan bermain badminton bersama jiran sebelah di kompleks sukan berdekatan. Harapnya dengan senaman yang kerap, abang sentiasa seksi dan menarik kepada ummi.”
Apabila suami mendahului dengan teladan memaklumkan aktiviti serta tujuan di sebaliknya, isteri juga akan mengikuti dengan akhlak baik meminta izin sebelum keluar rumah serta menyatakan tujuan untuk keluar. Apabila suami tidak keluar melainkan dengan tujuan yang baik, isteri juga tidak akan keluar melainkan apabila memiliki tujuan yang baik.
Umpama: “Abang, hari Ahad ini ada kuliah muslimat di masjid berdekatan. Boleh saya menghadirinya, moga-moga mendapat ilmu bermanfaat untuk dikongsi bersama.”
Apabila suami menyatakan tujuannya untuk keluar, isteri dapat memahami apa yang dilakukan oleh suami, dapat memberi sokongan dan mendoakan kejayaan. Kembali kepada contoh di atas berkenaan suami yang pulang lewat dari pejabat, isteri dapat membalas dengan: “Baiklah abang, semoga pertemuan berjalan lancar. Saya akan mendoakan kejayaan abang berurusan dengan pelanggan itu. Nanti balik rumah kita makan malam bersama ya!”
Peranan Seorang Suami….
Sejak sejarah bermula, peranan suami ialah menyediakan perlindungan kepada isteri dan anak-anak. Ini jelas tergambar dalam perkataan Nabi Musa apabila beliau ingin pergi melihat api di sebalik Gunung Tursina, agar beliau dapat membawa balik: …sepuntung dari api itu supaya kamu dapat memanaskan diri.
Hampir semua suami mengetahui tanggungjawab mereka ialah melindungi isteri dan anak-anaknya. Melindungi dari cuaca dengan menyediakan rumah, melindungi dari kelaparan dan dahaga dengan menyediakan makanan dan minuman, serta pelbagai lagi. Akan tetapi mengetahui tanggungjawab tidak bererti mengetahui cara melaksanakan tanggungjawab. Apatah lagi dalam suasana kehidupan yang sangat menghimpit zaman kini, kebanyakan suami merasakan diri mereka gagal apabila tidak dapat menyediakan perlindungan yang sebaiknya untuk isteri dan anak-anak.
Berhadapan dengan cabaran ini, isteri dapat membantu dengan berterima kasih kepada suami dengan apa yang dapat beliau sediakan, serta memberi motivasi untuk beliau terus mengusahakan yang terbaik. Turut bekerja tidak semestinya merupakan pilihan yang terbaik, kerana ia sebenarnya mengurangkan peluang pekerjaan kepada para suami, sama ada suami sendiri atau suami-suami kepada isteri yang lain. Akhirnya golongan para suami akan semakin gagal dalam peranan mereka untuk melindungi dan ini lambat laun akan memberi pengaruh negatif kepada keharmonian rumahtangga semua pihak.
Sikit-Sikit, Lama-Lama Jadi Bukit.
Suami memaklumkan kepada isteri, isteri meminta izin suami, masing-masing menyatakan aktiviti dan tujuan di sebaliknya serta masing-masing melazimkan diri mengucapkan terima kasih dan memberi motivasi….semuanya nampak seperti perkara remeh temeh. Di manakah nilainya apabila dibanding dengan suami yang memberikan cincin berlian kepada suami dan isteri yang memberikan jam tangan berjenama kepada suami?
Percayalah, sebenarnya perkara-perkara kecil memiliki peranan yang lebih besar dalam menjaga keharmonian rumahtangga berbanding perkara-perkara yang besar lagi mahal. Betapa banyak suami-isteri yang hidup di rumah yang besar, peralatan yang canggih dan perhiasan diri yang mewah, namun mereka tetap tidak bahagia. Berbeza dengan suami-isteri yang hidup serba sederhana, namun hari-hari mereka dipenuhi dengan komunikasi yang bermanfaat antara satu sama lain. Mereka sentiasa tersenyum kerana memiliki rumahtangga yang bahagia.
Sekali lagi, apabila Allah menceritakan sesuatu kisah di dalam al-Qur’an, tentu ia memiliki pelajaran yang bermanfaat di dalamnya. Allah tidak menceritakan perkara-perkara kecil yang dilakukan oleh Nabi Musa bersama isterinya, melainkan ia memiliki pelajaran-pelajaran yang besar lagi bermanfaat untuk kita. Bak kata pepatah Inggeris: More often than not, it is the small nonmaterial things that count.
Sumber: http://hafizfirdaus.com/
11 Oktober 2012
Tuhanku! Apakah Daku Telah Kembali KepadaMu?
Oleh: Prof Madya Dato' Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Kita sering mendengar cerita orang itu dan orang ini kembali kepada Islam. Cerita orang tertentu ‘kembali kepada Islam’ kadang-kala boleh dikomersialkan, terutama apabila dia ternama atau celebrity. Mungkin majlisnya bertambah meriah. Bayaran bertambah tinggi. Sorak sorai makin menghilai. Tepukan makin gemuruh.
Kita wajar bertanya: “apakah maksud seseorang kembali kepada Allah?” Ini satu persoalan yang kelihatan mudah tetapi kadang-kala bukan senang untuk benar-benar mengerti hakikatnya. Apabila lambang-lambang agama itu boleh menghasilkan kepentingan dunia, maka soalan ini makin sukar dijawab. Ramai orang yang ingin menggunakan agama bukan kerana dia mencari Tuhan, tetapi kerana agama boleh menjadi jambatan meraih banyak kepentingan duniawi dalam kehidupan ini.
Seorang pesalah yang penuh jenayah ke mahkamah dengan memakai kopiah, apakah itu bererti dia kembali kepada Allah? Seorang penyanyi yang memakai kopiah atau ‘baju melayu’, apakah itu bererti dia telah kembali kepada Allah? Seorang peniaga yang meletakkan ayat-ayat al-Quran di dinding kedainya, apakah dia telah kembali kepada Allah? Seorang yang telah menukar beberapa perkataan hariannya kepada perkataan arab seperti ana, enta, akhi, ukhti, jamaah dan lain-lain, apakah dia telah kembali kepada Allah? Seorang yang menyertai organisasi atau parti yang berlambangkan agama, apakah dia telah kembali kepada Allah? Bahkan seseorang yang mengikut kawan-kawan hadir ke kuliah agama disebabkan tawa-senda riang gembira yang didendangkan oleh penceramah, apakah dia telah kembali kepada Allah?
Kesemua persoalan ini sukar dijawab melainkan oleh diri insan yang berubah itu. Apakah perubahannya itu satu manifestasi ketulusan jiwa yang dahagakan redha dan cinta Tuhan, ataupun itu satu trend yang mempunyai keseronokan yang tersendiri, ataupun satu tindakan yang mempunyai kepentingan duniawi yang tertentu.
Al-Inabah
Perkataan kembali kepada Tuhan disebut sebagai al-inabah ataupun kembali kepada Allah. Al-Quran sering menyeru manusia agar berinabah kepada Allah dan menzahirkan manifestasi tersebut dalam bentuk penghayatan. Firman Allah: (maksudnya)
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan dosa), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan berinabahlah (kembalilah) kamu kepada Tuhan kamu, serta serahlah diri kepadaNya, sebelum datang kepada kamu azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan”.Insan kembali kepada Allah apabila merasakan diri tersesat ataupun berdosa. Dia hanya mengharapkan keampunan dan keselamatannya apabila bertemu Allah nanti. Mencari sakinah atau ketenangan roh di dunia dan kelazatan hidup di akhirat. Dia tidak kembali kepada Allah sebagai satu ‘pameran’ untuk menyukakan perasaan orang lain atau mengaut satu keuntungan atas tiket al-Inabah. Sama sekali tidak! Jika itu berlaku, hakikatnya dia tidak kembali kepada Allah. Inilah yang Nabi s.a.w tegaskan semasa hijrah. Soal keikhlasan jiwa insan yang berhijrah atas nama Tuhan. Mungkin petunjuk zahir kelihatan sama di mata awam, namun hakikat di sisi Allah berbeza.
Justeru Nabi s.a.w menyebut:
“Sesungguhnya setiap amalan itu hanya dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang hanya mendapat balasan mengikut apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan rasulNYA maka hijrahnya itu kepada Allah dan rasulNYA. Sesiapa yang hijrahnya mencari duniawi atau untuk mendapatkan wanita yang ingin dikahwini, maka (pahala) hijrahnya itu mengikut niatnya.” (Riwayat al-Bukhari).Ikhlas
Maka, perkara maha utama dalam agama ini ialah soal keikhlasan insan terhadap tuhannya. Ia adalah perkara rohani yang paling ramai manusia gagal menunaikannya. Bukan sahaja orang jahil yang gagal dalam menanganinya, telah gagal juga orang alim. Bukan sahaja gagal para penceramah agama, telah gagal juga para mujahid yang berperang di jalan Allah. Bukan sahaja telah gagal mereka yang membaca buku biasa, tetapi telah gagal mereka yang membaca al-Quran. Bukan sahaja telah gagal penderma kecil, tetapi telah gagal juga penderma yang besar.
Sabda Nabi s.a.w:
“Orang yang awal dibicarakan pada Hari Kiamat seorang yang mati syahid. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?” Dia menjawab: “Aku telah berperang keranaMU sehingga syahid”. Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau berperang supaya engkau dikatakan berani, dan itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka.Hadis ini sangat merunsingkan kita semua. Demikianlah besarnya peranan ikhlas. Sejauh mana pun manusia memuji kita, tiada ertinya jika amalan kita ini tidak dinilai ikhlas di sisi Allah. Hakikat yang mesti direnung oleh setiap insan tentang dirinya: “siapakah aku ini di sisi Tuhanku?”. Segala ceramah, pakaian agama, bahasa yang ‘berbunyi’ agama, lambang yang ‘bercorak agama’ dan segalanya itu tiada apa-apa erti jika seseorang itu ditolak keikhlasan oleh Allah. Syaitan boleh menukar niat yang murni menjadi bongkak dan riyak. Akhirnya berguguran pahala bagaikan daun yang kering. Ya Allah! Betapa kami takut hal itu. Ampunilah kami, curahkan keikhlasan ke dalam nurani ini.
Datang pula seorang yang lain yang mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia?” Dia menjawab: “Aku telah mempelajari ilmu, mengajarnya dan membaca al-Quran keranaMU”. Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau belajar ilmu supaya engkau dikatakan alim dan engkau baca al-Quran supaya engkau dipanggil qari. Itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajahnya sehingga dihumbankan ke dalam neraka.
Datang pula seorang yang Allah luaskan rezekinya dan telah diberikan pelbagai jenis harta. Dia dibawa memperkenalkan diri. Allah bertanya: “Apakah yang telah engkau lakukan di dunia? Dia menjawab: “Aku tidak tinggal satu jalan pun yang Engkau suka untuk didermakan melainkan aku telah pun menderma padanya keranaMU”. Allah berkata: “Engkau bohong, sebaliknya engkau lakukan supaya engkau dikatakan pemurah, dan itu telah pun dikatakan padamu”. Lalu diperintahkan agar dia dihukum, diheret wajah sehingga dihumbankan ke dalam neraka. (riwayat Muslim).
Mencari Tuhan
Saya tersentuh membaca coretan Naima B. Robert dalam ‘From My Sisters’ Lips’. Karya menarik tentang pengembaraan dirinya dan wanita lain dari alam kesesatan kepada Islam. Beliau mencatatkan betapa wanita di UK yang menemui Islam mempunyai pelbagai latar belakang yang tersendiri. Berubah sekalipun terpaksa berkorban hidup dalam masyarakat seperti UK yang minoriti muslim. Keikhlasan membawa mereka kepada Tuhan. Saya ingin memetik ungkapan beliau:
“As i read through the few stories I have collected, I am reminded of their value: they show the universal appeal of Islam. The sheer diversity of the backgrounds and life experiences that characterize the sisters in this book show that Islam can speak to anyone… they each have their own unique personality, their own voice. They were arch feminists, African nationalists, underground anarchists, music moguls, rock rebels, disco queens, devoted church-goers, designers, athletes, models, singer career girls, Masters students, cultural Muslims, Christians, Sikhs, atheists, from every racial backgrounds and all ages. And, most unexpectedly, Islam was able to reach out to each of them, to settle in their hearts and speak to every one of them in a personel way, giving them the answers they were looking for and changing their lives for ever” (pg 98).Ya, ramai yang telah kembali kepada Tuhan. Mencari kebenaran bukan untuk pameran kebanggaan atau komersial yang mendatang faedah duniawi seperti yang berlaku di sesetengah tempat, tetapi untuk diri sendiri. Ya, boleh dikongsi untuk pengajaran, bukan mengaut kekayaan. Kembali insan kepada Tuhan ialah kepada tauhid yang hakiki dan murni. Menjadikan Allah sebagai paksi kehidupan. Inilah perkara penting yang perlu difahami oleh setiap muslim. Indahnya Islam ini kerana ia membuka hubungan langsung antara hamba dengan Tuhannya. Tauhid yang kudus dan penuh murni. Tiada perantaraan paderi atau ustaz atau pun wali atau siapa sahaja dalam hubungan terus insan dan Tuhan.
Malangnya, sesetengah golongan agama suka mengambil kesempatan atas kejahilan manusia lalu cuba menjadi orang tengah yang mendapat komisyen. Sekali lagi saya ingin memetik apa yang Robert coretkan dalam ‘From My Sisters’ Lips’:
“…to worship God alone. This is the cornerstone of the Islamic faith: tawheed –pure and unadulterated monotheism. The Islamic lifestyle revolves around the worship of the Creator alone, without any partners. There are no intermediaries: no all-powerful clergy, no confessional priests, no saints to be called upon, no prophets to be sacrificed to, no deities to be appeased, no ancestors to be consulted…The depth and comprehensiveness of Islamic monotheism blew my mind. I could not think of another belief system that kept worship uniquely and solely for God alone” (pg 101).Kita semua perlu kembali kepada Tuhan. Kita semua sering melakukan dosa. Tidak kira siapa kita. Kita kembali kepada Tuhan untuk mentauhidkannya dan mendapat keampunan serta hidayahnya. Tidak untuk selain itu. Maka wajar kita sering bertanya: “Siapakah daku di sisi Tuhanku? Wahai Tuhan apakah aku telah kembali kepadaMU?”
Sumber: http://drmaza.com/
Langgan:
Catatan (Atom)