11 Mac 2013

Mencari Hikmah Di Sebalik Duka Dan Derita



Oleh: Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin


Duka, gundah dan derita itu tidak diminta. Bahkan kita disuruh berlindung dengan Allah daripada semuanya. Namun, seperti mana penyakit, ia hadir ke dalam kehidupan seseorang melalui pelbagai jalan. Kita tidak mencari penyakit, tetapi jika ia datang juga, kita akan sabar dengan mengharapkan pahala dan keampunan Allah. Walaupun penyakit itu tidak digemari, tetapi betapa ramai insan yang menghampirkan diri kepada Allah kerana penyakit yang menimpanya. Lalu, dia akan berkata pada suatu hari “alangkah rahmatnya ujian kesakitan itu”.

Duka dan derita itu lebih luas daripada sakit. Sakit merupakan salah satu sebab duka dan derita, tetapi betapa banyak duka dan derita yang tidak disebabkan penyakit. Duka dan derita boleh hinggap kepada insan yang sihat dan yang sakit. Terkena kepada yang miskin dan yang kaya. Menimpa yang bergelar hamba dan bergelar raja. Kadang-kala ia datang dengan bersebab. Kadang-kala seakan tidak tahu sebabnya. Kadang-kala kelihatan sebab itu sangat kerdil, tetapi derita di jiwa sangat besar.

Pelik

Ya, ini satu bab yang perlu dihayati dalam kehidupan. Ajaibnya makhluk yang bernama duka dan derita itu. Ia boleh datang dalam pelbagai rupa, muncul dalam pelbagai gaya. Menerjah ke dalam pelbagai dada dan jiwa. Kecil besar rasa derita dan duka itu kadang-kala tidak diukur dengan kadar sebabnya, tetapi dengan kadar perasaan mengenainya. Perasaan itu tidak dapat dikawal oleh insan, melainkan insan kembali kepada hakikat kehidupan dengan pergantungan kepada Allah. Sebab itu, apabila insan ditimpa musibah, dia disuruh kembali memahami hakikat dunia ini. Allah berfirman (maksudnya):

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda, jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat hidayah” (Surah al-Baqarah 155-157).

Banyak musibah, apabila insan teliti, tidaklah sebesar mana. Jika pun besar, apabila diteliti hakikat kehidupan ini, lantas insan bergantung kembali kepada Allah, maka segalanya itu kerdil semata.

Lalai

Banyak hikmah di sebalik duka dan derita yang melanda kehidupan seseorang insan. Kadang-kala, hidup yang dipenuhi suka dan ceria semata telah melalaikan ramai manusia. Ingatannya kepada akhirat dan kehidupan yang hakiki antara tenggelam dan timbul. Mungkin juga menjadi kabur. Bukan kerana tidak tahu tentang hakikat sementaranya hidup ini, tetapi kerana terlalu dengan kemeriahan hidup, kehalusan perasaan tentang hakikat kehidupan dunia dan akhirat itu terhakis.

Sebanyak mana pun ilmunya dalam agama, bukanlah menjamin hubungannya dengan Allah sentiasa kusyuk dan kudus. Tiba-tiba apabila duka dan derita hadir, insan mula memanggil Tuhan siang dan malam. Insan mula insaf bahawa inilah kehidupan yang sementara, lantas harapannya bergantung kepada Allah semata. Dia pu mengharapkan apa yang hilang di sini, diperolehi di sana.

Betapa ramai kembali mencari akhirat apabila mereka merasai keperitan dunia ini. Betapa ramai yang mula mencintai syurga dan merindui pertemuan dengan Allah disebabkan derita dunia yang dilaluinya. Betapa ramai yang tidak sempat bercerita tentang keindahan syurgawi kerana disibukkan dengan kepalsuan duniawi, kembali menghayati perjalanan hidup yang hakiki disebabkan duka dan derita yang menimpa. Allah menceritakan tentang ucapan ahli syurga apabila mereka memasuki syurga kelak, mereka berkata (maksudnya):

“dan mereka berkata: “Segala puji bagi Allah, yang telah menghilangkan perasaan dukacita dari kami; sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang Yang taat); Tuhan Yang telah menempatkan kami di tempat tinggal yang kekal dengan limpah kurniaNya semata-mata. Kami tidak akan merasa penat lelah di situ, dan kami juga di situ tidak akan merasa letih lesu”. (Surah Fatir, 34-35).

Doa

Insan apabila putus asa dengan segala jalan, jika masih ada dalam jiwanya iman, dia akan mencari tuhan. Betapa ramai yang mempelajari kemustajaban doa ketika dia dalam derita, sedangkan sebelum itu dia tidak pernah mempedulikannya. Cumanya, jika dia tidak dibimbing dengan ilmu yang sahih mengenai sunnah Nabi s.a.w, maka pelbagai unsur khurafat, doa rekaan, hadis palsu akan disambarnya dalam kekalutan mencari kemustajaban. Buku-buku doa banyak yang dimuatkan dengan maklumat yang tidak bersumber fakta yang sahih seperti cerita-cerita pelik yang tidak berasaskan riwayat yang benar.

Namun, jika insan memiliki dalam fikirannya manhaj yang sahih dalam mengambil sumber agama, maka ketika dalam kesusahan itu dia akan mencari nas-nas al-Quran dan hadis yang sahih mengenai kemustajaban doa dan ungkapan-ungkapan yang meredhakan Tuhan al-Rahman. Justeru, ramaikan yang kembali memahami agama, menghayati sunnah Rasulullah s.a.w disebabkan ujian duka dan sengsara yang menimpa dirinya. Demikianlah kadang-kala duka dan derita membawa insan kepada ilmu dan amal.

Antara yang diajar oleh Nabi s.a.w ialah seperti yang disebut oleh baginda dalam hadis:

“Doa orang yang dalam kesusahan: “Ya Allah, rahmatMu yang daku harapkan. Jangan Dikau serahkanku kepada diriku walaupun sekelip mata. Baikilah untukku urusanku semuanya. Tiada yang diabdikan diri melaikan Engkau”. (Riwayat Abu Daud, bertaraf sahih).

Lihat inti doa tersebut. Betapa indahnya apabila insan mengharapkan rahmat Tuhan, memohon Allah menguruskan dirinya sepenuhnya, sehingga agar tidak dibiarkan walaupun sekelip mata. Mohon dibaiki segala urusan. Allah! Alangkah indah penyerahan itu. Alangkah indah perdampingan itu. Alangkah terasa kehambaan diri seorang insan di hadapan kebesaran Tuhan.

Tawakkal

Tawakkal! Ramai yang boleh menyebutnya, bahkan menjadi hiasan di bibirnya. Namun, hakikat tawakkal iaitu pergantungan segala harapan hanya kepada Allah tidaklah mudah untuk dihayati. Ia memerlukan ketakwaan dan asuhan rabbani. Duka dan derita mampu mengasuh insan agar menyerahkan diri kepada Allah Yang Memiliki segala-galanya.
Tawakkal adalah keajaiban. Ramai yang tidak dapat melihat keajaiban tawakkal kerana mereka tidak memiliki jiwa yang benar-benar bertawakkal. Walaupun mulut mungkin menyebut bergantung kepada Allah, namun jantung hatinya masih bergantung dan berharap kepada selain Allah.

Tawakkal tidak menafikan usaha. Tetapi hati nurani yang bertawakkal tiada lain melainkan Allah sahaja pergantungannya. Usaha hanya sebab, Allah penentu segalanya. Apabila insan sampai ke peringkat yang indah itu, maka di situ terlaksananya firman Allah (maksudnya):

“..sesiapa bertawakkal kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya” (Surah al-Talaq, 3).

Duka dan derita mampu membawa insan yang beriman ke darjat yang kudus ini.

Hapus Dosa

Banyak dosa yang terhapus, darjat di sisi Allah diangkat kerana derita yang menimpa jiwa. Nabi s.a.w bersabda:

“Tidak seorang muslim pun yang ditimpa keletihan, penyakit, susah hati, sedih, disakiti orang, derita, sehingga jika sebatang duri menikamnya, kecuali Allah memadamkan dengan itu semua dosa-dosanya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat lain “..kecuali Allah angkat dengan sebab itu darjat dan padamkan dosa”. Lihat, betapa jiwa yang redha itu tidak sia-sia. Bala tidak dicari, derita tidak ditempa, tetapi jika tetap datang, jiwa mukmin akan redha dengan Allah sehingga Allah memberikan ganjaran untuknya dan diangkat kedudukannya. Sesungguhnya keperluan insan tentang penghapusan dosa dan ketinggian darjat di sisi Allah lebih besar dari segala. Namun, dengan berpadukan perasaan dan mata yang terlalu duniawi, insan melupai hakikat kehidupan yang abadi. Padahal nikmat duniawi ini hanya beberapa bilangan hari, yang beransur pergi bersama usia yang meningkat bagi setiap ketika. Kita tidak menempa derita, tetapi derita boleh membawa bahagia selamanya.

Dengan derita juga insan insaf, membetulkan yang silap, meneruskan saki perjalanan yang ada. Betapa ramai yang menjadi soleh kerana derita yang dilaluinya. Maka, demikianlah Nabi s.a.w minta supaya kita membetulkan sikap dalam menghadapi kerenah hidup. Sabda Nabi s.a.w:

“Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin, setiap urusan mukmin adalah baik baginya, hal itu tidak dimiliki oleh siapapun, kecuali oleh seorang mukmin. Apabila mendapat kesenangan dia bersyukur, dan itu baik untuknya. Apabila mendapat kesusahan dia bersabar, dan itu baik untuknya” (Riwayat Muslim). 

Sumber: http://drmaza.com/




03 Mac 2013

Jangan Berhenti Berkenalan : Buat renungan suami isteri.


 Oleh: Noraslina Jusin


“Abang rasa dah makin kuranglah dengan kari..” luah suami sebaik selesai makan tengahari. Saya berpaling mendengar kata-katanya. Entah mengapa, tiada angin, ribut jauh sekali, tiba-tiba sahaja suami berbicara tentang makanan. Saya pula yang tertanya-tanya kehairanan.

“Karipap pun sama…”suami menambah bicara tanpa sempat saya menjawab sepatah dua.

“Alamak, susahlah As.” Saya membalas spontan. Buat-buat cemas sambil menggaru kepala yang tidak beralas.

Anak mata saya tepat memandang ke wajah suami. Cuba menelek-nelek keseriusan di sebalik patah katanya. Mana tahu, luahannya itu sekadar gurauan semata.

Namun, sebaik pandang bertemu pandang, dari sinar mata suami, saya seakan mengerti. Dia tidak berjenaka dengan kata-katanya tadi.

‘Patutlah abang kurang berselera,’saya berbisik. Tidak terucap, sekadar terdengar di dalam diri sendiri sahaja. Terbayang kembali suapan suami yang tidak selaju biasa sewaktu menjamah nasi berlaukkan kari ayam tengahari ini.

PERCERAIAN

Buat kesekian kalinya, usai membaca satu berita dari laman Berita Harian Online bertarikh 6 Oktober 2010 semalam, saya melepaskan satu keluhan yang cukup berat dan dalam. Membaca tajuk berita sahaja sudah cukup meresahkan jiwa. Masakan tidak, kandungan yang dipapar menggambarkan betapa gawat dan runcingnya institusi perkahwinan di kalangan masyarakat Islam dewasa kini.

Walaupun latar tempat dan negara di mana kes perceraian tersebut dilaporkan, bukan berlaku di Malaysia, namun, oleh kerana ia juga merupakan salah sebuah negara umat Islam, saya tetap merasa bimbang dan tidak senang. Berita tersebut melaporkan :

“Kadar perceraian tinggi di Kuwait dilaporkan berterusan

selepas pihak berkuasa mendakwa 3,153 kes perceraian dicatatkan sepanjang enam
bulan pertama tahun ini.
Jumlah keseluruhan perceraian dicatatkan 5,965
kes, tahun lalu. Sementara itu, bilangan perkahwinan pula menurun selepas pihak
berkuasa mencatatkan 6,914 perkahwinan pada enam bulan pertama tahun ini
berbanding 14,155 pada 2009.
Bilangan perkahwinan dan kes perceraian menjadikan
kadar perceraian 42 peratus, antara yang tertinggi di dunia. ”


Keadaan ini mengingatkan saya kepada emel-emel yang menceritakan masalah rumahtangga yang sedang dialami oleh kebanyakan pasangan suami isteri di Malaysia hari ini. Rata-rata emel yang saya terima datangnya dari kaum hawa. Ada yang mengadu suami bertemu cinta yang baru, tidak kurang juga yang merintih bila suami yang disayangi, tiba-tiba beralih kasih.

Demikian juga paparan di dada-dada akhbar yang mengenengahkan berita/kes perceraian terutama di kalangan artis, selebriti dan golongan kenamaan. Hampir saban hari.

Sungguhpun mereka menyatakan, mahligai rumahtangga yang mereka dirikan bermula dengan rasa cinta dan suka, bahkan banyak juga pasangan yang mengakui amat menyintai pasangan masing-masing malahan sebahagiannya sudah memasuki gerbang seabad hidup bersama sebagai suami isteri, tetapi rumahtangga yang dibina atas dasar cinta ini tetap roboh bila berlaku sedikit sahaja perubahan seiring usia dan peredaran masa.

Mengapa?

SALING MENGENALI

Saya yakin, mana-mana pasangan yang telah menempuh alam perkahwinan beberapa tahun lamanya pasti mengakui dengan penuh sedar bahawa cinta bukanlah segalanya di dalam rumahtangga.

Sungguhpun kalimah cinta sebelum pernikahan banyak menjadi penyebab bertautnya jiwa uda dan dara untuk melayari bahtera rumahtangga melalui pernikahan, namun ia tidak akan dapat bertahan lama andai tiada usaha dilakukan bagi memastikan bunga-bunga cinta yang telah bersemi di awal perkahwinan itu terus berkembang indah, hidup subur dan mewangi sentiasa.

Tempoh hidup bersama memungkinkan suami dan isteri untuk masing-masing lebih mengenali. Sejak awal usia perkahwinan, dari sehari ke sehari semakin banyak maklumat tentang pasangan yang dapat diketahui; kelebihan dan kekurangannya, sifat dan tingkahlaku, juga perubahan watak dan reaksi pasangan terhadap sesuatu situasi yang berlaku.

Semua itu merupakan satu proses di dalam rumahtangga. Andai sebelum berkahwin, peratusannya mungkin hanya sekitar 30%, namun sebaik melangkah ke alam rumahtangga, peratusan itu pasti meningkat dari semasa ke semasa.

Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta.
Justeru itu, ramai pasangan suami atau isteri hari ini yang mendakwa sudah cukup masak dengan sikap dan perangai pasangan masing-masing.

“Luar dalam, semua dah tahu.” Demikian ungkapan yang selalu diwarwarkan.

PERUBAHAN

Sikap ‘beranggapan’, mengagak atau menyangka bahawa suami atau isteri sudah mengenali pasangan masing-masing di depan mata adalah umpama racun yang boleh menghakis sedikit demi sedikit keharmonian dan keutuhan rumahtangga.

Hal ini kerana setelah proses mengenali mulai sampai ke tahap kemuncak, kesilapan mula terjadi. sesudah masing-masing mulai merasakan mereka telah saling mengenali, telah mencerna erti faham memahami di antara suami dan isteri, mereka bagaikan berhenti dari terus mengenali.

Sedangkan, di fasa pertengahan perkahwinan, ia merupakan satu tahap yang memerlukan suami dan isteri untuk lebih aktif dan pro-aktif mengenali dan memahami pasangan. Ini kerana ujian kehidupan dengan tanggungjawab dan peranan yang perlu dilaksanakan semakin besar dan mencabar. Dan inilah salah satu punca yang mencetus perbalahan suami isteri setelah sekian lama melayari bahtera bahagia.

Sewajarnya, setiap pasangan perlu memahami dan menyedari bahawa pada awal perkahwinan, perasaan cinta dan rindu yang menguasai ketika itu hanyalah bersifat ‘kosmetik’ dan sementara sahaja, kerana ia belum diuji dan teruji. Rasa cinta pada fasa pertama itu hanya menggebu dengan diwarnai oleh sikap 'ingin dimiliki dan memiliki' terhadap pasangan masing-masing semata.

Manakala cinta yang menjalar secara perlahan-lahan seiring proses mengenali pasangan di sepanjang pelayaran bahtera perkahwinan, sangat berpotensi untuk lebih kekal dan kian mengental andai ditanggapi secara bijaksana, lantaran ia tumbuh dari ujian dan cabaran yang berencam bentuknya. Dari perasaan benci dan kasih yang bersilihganti, tawa dan tangis yang menambah makna yang akhirnya bersebati menjadi kasih sayang, menyemai kemesraan, rasa percaya sehingga menatijahkan hubungan yang bahagia, saling mengasihi dan menghargai.

MANUSIA BERUBAH

Hakikatnya, sangat sukar menemui seseorang yang dapat kekal dengan 'diri' yang sama selama hayatnya. Pertambahan usia, pengalaman hidup, perubahan persekitaran dan pertemuan dengan individu lain baik yang menjadi teman, rakan sekerja, jiran tetangga dan lain-lain mampu mengubah seseorang kepada ‘individu’ yang baru iaitu dengan merujuk kepada cara berfikir, keperibadian, kehidupan sosial bahkan sehingga gaya penampilan, cara bercakap dan seremeh panggilan nama juga turut mengalami perubahan.

Keadaan inilah yang memerlukan suami atau isteri untuk sentiasa ‘up-to-date’ terhadap pasangannya. Jika lalai, leka dan memandang sebelah mata sahaja, maka sudah pasti sebarang perubahan yang berlaku akan menular menjadi satu masalah yang menggugat keharmonian rumahtangga, lebih-lebih lagi jika perubahan itu ketara menjurus ke arah negatif dan tidak selari dengan tuntutan ILAHI.

Oleh itu, sebelum meletakkan 'orang ketiga' sebagai punca perbalahan, sudah takdir dan tiada jodoh menjadi alasan, lakukan muhasabah diri terlebih dahulu. Andai diimbal balik sebab dan punca sebenar masalah yang berlaku kemungkinan ia bermula dari kelekaan untuk mengenali dan memahami pasangan.

Insafilah selalu, bahawa setiap manusia sememangnya diciptakan berbeza (termasuk suami isteri) dengan manfaat dan ruang untuk bertaaruf ( saling mengenal ) di antara mereka. Firman ALLAH SWT :


يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى
وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ
اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ٌ

Maksudnya :

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami (ALLAH) telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang wanita dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (TA’ARUF). Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” ( Surah Al-Hujurat ayat 13 )

Seiring berlalunya waktu, kehidupan di dalam perkahwinan akan beransur menjadi suatu rutin yang biasa, dengan suami atau isteri merasa bahawa seharusnya pasangannya sudah tahu apa yang diinginkan oleh diri masing-masing.

Pada saya, tanggapan ini kurang tepat. Seharusnya, suami dan isteri tetap perlu terus mengenali khususnya melalui komunikasi yang lancar dan saling terbuka. Sentiasa berkongsi cerita, serta menyatakan keinginan tanpa perlu berahsia, seterusnya berusaha untuk saling mengoptimumkan kelebihan masing-masing demi kerukunan perhubungan di samping tidak lupa memuhasabah kekurangan yang ada dan bersedia menerima kesilapan sendiri tanpa memanjangkan perdebatan atau merasa sakit hati.

JANGAN BERHENTI BERKENALAN

“Hmm, nampaknya kena cari resepi baru ni. Alamak…alamak..” gurau saya masih bernada cemas. Sengaja. Perkataan ‘alamak’ itu saya sebut kuat-kuat. Biar jelas menerobos ke corong telinga.
Selepas 11 tahun berumahtangga dan mengetahui menu kegemaran suami ialah kari, kali ini, saya akur sendiri. Di dalam hati, saya mulai berkira-kira untuk meninjau-ninjau resepi terkini dari laman-laman resepi yang sering menjadi rujukan saya memasak terutama ketika ketandusan idea.

Sayang dan menghargai suami, seleranya perlu dijaga. Itu pegangan saya.

“Tapi abang masih minat dengan soto. Daging masak hitam pun sama,” jelas suami tanpa dipinta. Seakan memahami gelodak rasa yang bermain di jiwa saya.

Saya melirik ke arah suami. Melihat senyumannya yang melebar tatkala menatap wajah saya yang agak berkerut, cepat-cepat saya mengalihkan pandangan ke kaca TV. Namun di dalam hati, saya tersenyum lega.

Alhamdulillah…

Terima kasih abang kerana membantu diri ini untuk terus mengenalimu…

Sumber: http://ummuhusna99.blogspot.com/



Anda mungkin juga meminati:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...